Friday, November 9, 2007

Jaulah Ahli Jawatankuasa PERUBATAN 07/08 (Laporan Ikhwah)

Posted by UPP DPMZ On 11:55 PM No comments

Zagazig, 8 Nov: Jaulah Ahli Jawatankuasa PERUBATAN bagi sesi 2007/08 ke Zagazig telah berjaya dijalankan yang bertujuan untuk memperkenalkan Ahli Jawatankuasa yang terbaru serta portfolio yang dipegang mereka kepada ahli di sini. Kehadiran mereka walaupun sedikit, namun tetap disambut meriah oleh Warga PERUBATAN Zagazig. Jaulah tersebut tiba agak lewat, berikutan ketiadaan & kekurangan pengangkutan ke Zagazig selepas lawatan mereka di Tanta pada sebelah petang. Ini menyebabkan mereka terpaksa berpecah mengikut kumpulan mengikut kepentingan bagi menjayakan lawatan mereka ke Zagazig, manakala sebahagian yang lain terpaksa terus pulang ke Kaherah. Bagi kumpulan yang meneruskan Jaulah ke Zagazig, mereka dibahagikan pula kepada Ikhwah dan Akhawat.

Perjumpaan bagi Ikhwah PERUBATAN telah diadakan di rumah Dr Nik Mohd Abduh (ahli bait Ust Nordin Rusni) di Hayyu Salam dengan disertai kehadiran kesemua Warga Ikhwah PERUBATAN Zagazig, serta wakil warga DPMZ sendiri, Ust Mumtaz B Harun selaku Pengerusi DPMZ yang ditemani oleh Ust Solihuddin B Mohd Jahar (Unit Perumahan) dan juga Ust Nordin selaku tuan rumah.

Majlis perjumpaan bermula pada jam 7.45 malam dengan dipengerusikan oleh Dr Syamsul Bakri B Osman. Majlis dimulakan dengan ucapan Wakil Pelajar PERUBATAN Zagazig, Dr Shafiq B Paridin, juga selaku Ketua Pelajar Perubatan Zagazig. Kemudian diikuti pula ucapan aluan daripada Ust Muhammad Mumtaz B Harun, selaku Pengerusi DPMZ. Dalam ucapan beliau, beliau amat memuji sikap kerjasama antara pelajar PERUBATAN Zagazig dengan DPMZ dalam menjayakan hampir kesemua program yang dilaksanakan oleh DPMZ. Beliau juga menjelaskan, sepanjang 1 tahun yang lalu sehingga kini, pelajar-pelajar ini belum pernah lagi menimbulkan masalah besar terhadap DPMZ.

Majlis diteruskan pula dengan ucapan Wakil Presiden PERUBATAN oleh Muhammad Zul Hazmi B Ahmad Zawawi selaku Timbalan Presiden 1. Beliau menyampaikan salam daripada Presiden PERUBATAN, Dr Tengku Abdul Kadir B Tengku Zainal Abidin, dan menjelaskan keadaan sekarang Tuan Presiden (rawatan susulan selepas kemalangan yang menimpa beliau sebelum ditaklif sebagai Presiden) menyebabkan beliau tidak dapat hadir bersama. Dr Zul Hazmi juga menerangkan bahawa Cawangan PERUBATAN Zagazig ditadbir terus dibawah PERUBATAN Pusat, justeru sebarang masalah adalah di bawah tanggungjawab PERUBATAN Pusat. Sehubungan ikatan ukhwah DPMZ-PERUBATAN Pusat, beliau meminta jasa baik pihak DPMZ dalam bersama-sama PERUBATAN Pusat bagi menjaga kebajikan Warga PERUBATAN Zagazig yang juga Ahli DPMZ sendiri.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan taaruf serta penjelasan portfolio bersama ahli jawatankuasa lain yang hadir iaitu Dr Ahmad Syazwan B Ahmad Nordin (Bendahari Kehormat), Dr Muhammad Husaini B Saleh (Biro Penerbitan & Penerangan), Dr Mohd Asyraf B Mohamad Isa (Biro Pembangunan Insan), Dr Muhammad Syafiq B Mohd Moor (Biro Perumahan) dan Dr Mohamad Najib B Saleh (Biro Kebajikan).
Majlis diakhiri dengan sedikit jamuan ringkas yang telah disediakan disamping beramah mesra bersama serta sesi penggambaran kenangan. Semoga Jaulah Ahli Jawatankuasa PERUBATAN 07/08 kali ini dapat merapatkan lagi Ukhwah Islamiah antara PERUBATAN Pusat, Cawangan PERUBATAN Zagazig dan juga DPMZ.




0 comments:

Sahabat