“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.” (Surah an-Nisa’ : ayat 58)
PMRAM hari ini mengumumkan bahawasanya tarikh pencalonan bagi barisan kepimpinan PMRAM sesi 2010, dibuka bermula pada 23 Disember 2009, bersamaan dengan 6 Muharram 1431H, hari Rabu sehingga pada 30 Disember 2009, besamaan dengan 13 Muharram 1431H, hari Rabu.
Segala urusan pencalonan boleh dibuat sepanjang tarikh tersebut melainkan pada hari Jumaat. Borang pencalonan boleh didapati di Pejabat PMRAM, bagi ikhwah dan di Rumah Selangor, Hayyu 'Asyir bagi pencalonan akhawat. Setiap borang pencalonan yang hendak dihantar, perlu menghantar dari terikh permulaan pembukaan pencalonan sehingga pada tarikh akhir pencalonan selewat-lewatnya pada jam 4 petang.
Segala permasalahan, bolehlah terus berhubung kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) PMRAM, Saudara Rafzan bin Razak di talian, +20114527822 bagi ikhwah, dan Saudari Huzaimah binti Mustaffa di talian, +20191228204.
Rebut..... pertembungan terjadi untuk melibas bola ke gelanggang lawan
MANSYIAH SALAM, 22 DISEMBER 2009/6 MUHARRAM 1431 H : Unit Kebudayaan, Kesenian Dan Sukan DPMZ (UKKS DPMZ) telah mengadakan aktiviti riadah takraw di sebuah gelanggang baru yang terletak di Mansyiah Salam.Sebelum ini, UKKS DPMZ telah mengadakan aktiviti riadah sepak takraw di Mauqif Tanta Qadim tetapi telah menghadapi beberapa masalah tertentu selain keadaan gelanggang yang tidak rata.UKKS DPMZ mengadakan aktiviti sepak takraw bertujuan untuk meneguhkan ukhuwwah sesama ahli, melahirkan Muslim yang cergas tubuh badan serta mengasah bakat sukan yang terpendam di kalangan mahasiswa Mesir.Zagazig juga tidak ketandusan bakat sepak takraw kerana skuad Zagazig telah berjaya mara ke suku akhir pada Kejohanan Sepak Takraw sempena Ekspo Gempak PMRAM 2009 Ogos lalu.
Aktiviti riadah sepak takraw untuk ahli DPMZ telah lama dirancang oleh UKKS DPMZ bersama ahli-ahli yang meminati sukan ini.Perancangan yang dilakukan telah menampakkan daya kreatif dan rekacipta yang tinggi di kalangan ahli DPMZ apabila gelanggang yang dibina menggunakan tali dan tiang besi yang disimen dengan tong berjaya diaplikasikan menjadi sebuah medan permainan yang sesuai dengan keadaan semasa tempat tersebut.Kejayaan ini juga membuktikan mahasiswa Mesir mampu berdikari walau di mana jua kita berada.Selain itu, aktiviti riadah in dapat menyemai rasa patriotik sesama ahli kerana sepak takraw merupakan sukan tradisi masyarakat kita dan sedang mendapat perhatian antarabangsa apabila ianya sedang diusahakan untuk dijadikan acara utama pada temasya Sukan Olimpik.Seluruh ahli DPMZ dari kalangan ikhwah dijemput untuk menyertai aktiviti ini pada setiap petang.DPMZ berharap seluruh ahli akan mendapat manfaat daripada aktiviti ini."Majulah Takraw Untuk DPMZ".
Sedia..... Gelanggang Sepak Takraw sedang disiapkan
Pelik..... warga tempatan tertarik dengan permainan orang Malaysia
Lipat..... Aksi rejaman cantik umpama bekas pemain Malaysia, Adnan Saidin yang mendapat gelaran
"Killer Asia" kerana ketajaman rejamannya.
Servis cantik..... antara ahli yang layak menyaingi tekong Thailand yang merupakan pakar "servis kuda", Suebsak Phoensob
Halang..... aksi "gulung" berjaya dinafikan pihak lawan
Menarik...... aksi "breakdance" yang menggulung bola serta jaring
Lipat juga..... tak dapat lipat bola, jaring pun jadilah.....
Hari ini, bermulalah detik-detik baru untuk kita sebagai syababul islam dalam menyambung dan meneruskan wasilah dakwah yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w, yang mana pada hari ini, sedar ataupun tidak, sudah setahun kita menjalani kehidupan yang penuh onak dan duri, sudah setahun kita manghadapi berbagai-bagai cabaran dan dugaan dalam memperjuangkan agama Allah s.w.t, sudah setahun berbagai-bagai amalan baik yang telah dilakukan yang sudah semestinya Allah s.w.t akan membalasnya dengan ganjaran yang tidak ternilai dan sudah setahun jugalah segala perbuatan buruk dan dimurkai Allah s.w.t tidak dapat diundur kembali walaupun dengan menangis sehingga keluar air mata darah sekalipun ia sememangnya telah berlalu dan tidak dapat diubah melainkan dengan berdoa dan memohon keampunan dari Allah s.w.t.
Tanggal 1 Muharram 1431H iaitu Tahun Baru Hijrah yang menjelma ini merupakan satu tarikh yang yang perlu dihayati dan direnungi oleh seluruh umat islam didunia ini. Tahun Baru Hijrah merupakan satu ungkapan yang perlu kita renungi dan singkapi mengenai pengertian disebalik perkataan ‘Hijrah’ ataupun ‘Penghijrahan’ yang sebenarnya.
Cuba kita renungi kembali sejarah penghijrahan Rasulullah s.a.w ke Madinah yang telah mencetus satu perubahan besar dalam sejarah Umat Islam. Walaupun sebelum itu telah berlaku beberapa penghijrahan kecil seperti penghijrahan beberapa orang sahabat ke Habsyah dan Madinah namun ia hanya sekadar penghijrahan biasa sahaja. Walaupun dari sudut pandangan kasar kita, penghijrahan rasul ini dilihat seolah-olah seperti ‘undur ke belakang’ atau semata-mata melarikan diri dari kezaliman, cemuhan dan seksaan Musyrikin Mekah namun sebenarnya penghijrahan tersebut merupakan satu arahan dan perintah dari Allah s.w.t bagi meneruskan kewajipan sebagai seorang Rasulullah s.w.t untuk menegakkan Panji Islam dan melaksanakan suruhan Allah s.w.t di dalam mewujudkan satu ummah yang hidup bermasyarakat dan bernegara.
Oleh itu sahabat-sahabat sekalian, tanamkanlah didalam diri kita sempena Tahun Baru Hijrah untuk kita berhijrah dari segala bentuk amalan dan perbuatan buruk kepada yang lebih baik dan mendapat keredhaan Allah s.w.t. Jadikan Hijrah ini sebagai satu titik permulaan bagi mengukuhkan keimanan, meningkatkan ketakwaan dan meneguhkan syariat islamiah agar kita menjadi individu Muslim yang aktif, positif, produktif dan inovatif agar bersesuaian dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Kamu merupakan sebaik-baik Ummah yang telah dikeluarkan untuk seluruh umat manusia…..“
Selamat datang 1431H…
Muhammad Shobri Mad Yaakub,
Ketua Unit Dakwah & Pembangunan Insan,
Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig,
Sesi 2009/2010.
Assalamualaikum warahmatullah.. Segala pujian bagi Allah tuhan sekalian alam yang telah memberikan segala kenikmatan kepada hambanya tanpa sebarang bayaran, hanyalah tuntutan melakukan apa yang diperintahkan dan meniggalkan segala larangannya. Selawat serta salam keatas junjungan besar, kekasih hati, penghulu segala nabi, Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, juga keatas keluarga baginda, para sahabat, pengikut serta pejuang agama Allah.
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain..” Al-Anfal 8:75
Muharram tiba lagi, kedatangan muharram mengimbas kembali perjalanan hijrah baginda nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dari Makkah ke Madinah, satu permulaan episod sejarah bermulanya penyebaran agama Islam ke serata dunia. Di sepanjang perjalanan siri penghijrahan ini telah tercatat pelbagai kisah pengorbanan serta perjuangan para sahabat dalam mempertahankan Islam serta memperjuankannya. Bermula dengan tekanan yang diberikan oleh kaum musyrikin Makkah terhadap umat Islam, Rasulullah telah mendapat perintah untuk berhijrah ke Yathrib yang kini dikenali dengan nama Madinah.
Peritiwa hijrah ini menjadi nadi utama dalam siri awal penyampaian dakwah islamiyah ke serata dunia. Islam bukan sahaja dikenali malah dikagumi kawan serta digeruni lawan. Hijrah mengajar kita erti kehidupan,mengajar kita erti pengorbanan, mengajar kita erti persaudaraan dan mengajar kita erti perjuangan. Terdapat banyak sekali hikmah serta pengajaran yang dapat kita ambil dalam peristiwa bersejarah ini, antaranya :
1.Keimanan : Iman yang kental serta untuh melahirkan pejuang yang tabah dalam menulusuri keperitan dalam penghijrahan. Dengan keimanan mereka sanggup meninggalkan kesenangan hidup, dengan iman mereka sanggup melupakan kampung halaman, dengan iman juga mereka rela berpisah dengan insan yang tersayang,insan yang tercinta yang berbeza akidah. Keimanan yang dipertahankan melahirkan ketenangan serta ketenteraman dalam diri, segala kesusahan,keperitan dalam perjuangan yang dilalui tidak menjadi penghalang apabila iman tetap kukuh di dalam diri. Oleh yang demikian itu, bermula dengan kedatangan muharram pada tahun ini sama-sama kita beriltizam bersungguh-sunguh dalam meningkatkan keimanan kita agar dapat mencontohi serta menuruti semangat perjuangan nabi Muhammad Sallahu Alaihi wasllam dan para sahabat.
2.Pengorabanan : Bertunjangkan keimanan yang kental dan ketaatan yang tinggi pada perintah Allah dan rasulNya,orang-orang yang telah beriman ketika itu sanggup berkorban meninggalkan harta benda juga ahli keluarga mereka yang masih dalam kekufuran dengan berhijrah ke Madinah secara senyap-senyap demi menyelamatkan akidah dan nyawa mereka. Daripada kisah pnghijarahan ini juga dapat kita lihat betapa hebatnya kasih sayang saidina Ali kepada baginda dengan sanggup menggantikan baginda di tempat pembaringan sebagai umpan kepada orang kafir yang ketika itu sedang memburu baginda.Dengan pengorbanan saidina Ali itu,maka baginda dan sahabat setianya, abu bakar As-Siddiq Berjaya menyelusup keluar dari Mekah menuju ke madinah. Maka tersebarlah Islam di sana yang menyinari seluruh Yathrib yang akhirnya digelarMadinah AL Munawwarah,Bandar yang Bercahaya,dengan cahaya islam.
Ternyata tanpa keimanan yang teguh dan kecintaan seseorang hamba kepada Allah s.w.t. serta semangat jihad untuk berjuang dan berkorban apa sahaja, pasti hijrah tidak dapat dilakukan sebagaimana yang dilakukan pada zaman Rasulullah s.a.w.
Konsep hijrah dulu dan kini tidak jauh bezanya. Namun kini penghijrahan yang berlaku tiada lagi merentasi padang pasir,menunggangi unta kerana ingin menyelamatkan diri dari diburu orang kafir juga demi menyelamatkan aqidah. Kerana Islam ketika ini,sudah cukup selesa dan bebas untuk diamalkan diserata dunia. Biarpun begitu, kita masih berpeluang melakukan hijrah iaitu hijrah secara peribadi , hijrah hati dengan melangkah ke arah kebaikan dan meninggalkan keburukan serta kemungkaran. Hijrah daripada individu yang tidak bermutu kepada individu yang bermutu dari segi akidah, syariat dan akhlak.
Jika saban tahun umat manusia seluruh dunia begitu teruja mengadakan sambutan tahun baru atau istilah glamournya” new year celebration” dengan sambutan juga ucapan tahun baru , happy new year dan lain-lain yang begitu hebat sekali. Tidak lupa dengan azam-azam baru yang hebat-hebat yang sering berubah tiap kali tibanya tahun baru dengan harapan semoga tahun baru itu adalah lebih baik dari sebelumnya.
Jadi,kenapa tidak pula kita umat islam menyambut awal muharam iaitu tahun baru, bulan baru dalam islam yang dicetuskan oleh saidina Umar Al-Khattab sebagai perkiraan calendar islam dengan memasang niat juga azam baru untuk menjadi umat islam yang lebih hebat dan lebih baik .
Tidak perlulah kita menyambut sambutan tahun baru islam ini dengan percikkan bunga api juga konsert hiburan yang lazimnya diadakan bersempena kedatangan tahun baru saban tahun, sebaliknya sambutlah ketibaan tahun baru islam ini dengan menghayati dan menyoroti perjuangan dan pengorbanan baginda dan para sahabat dalam penghijrahan mereka demi menyelamatkan akidah mereka seterusnya menyebarkan islam dimuka bumi ini.
Semoga dengan menghayatai kisah-kisah perjuangan seperti ini mampu menanam semangat “hijrah” dalam setiap diri kita untuk menjadi seorang islam yang hebat dan lebih menghargai “Islam” itu sendiri seterusnya menanamkan azam untuk melihat islam lebih gemilang pada masa akan datang.
Dalam konteks kita sebagai seorang pelajar pula,marilah kita sama-sama bermuhasabah diri bersempena bermulanya tahun baru dan bulan baru Islam ini untuk memperbaiki segala kelamahan,kekurangan juga kesilapan yang telah kita lakukan . Tambahilah buku amalan kita dibulan baru ini dengan memperbanyakkan ibadah dan melakukan kebajikkan serta perkara kebaikan . Firman Allah Taala lyang bermaksud:
"Sesungguhnya berjaya dan beruntunglah orang yang menyuci (membersihkan) jiwanya." (Surah Al-A’la, ayat 14)
Oleh itu,sekali lagi saya ingin mengajak dan menyeru kepada rakan-rakan semua juga kepada diri saya sendiri untuk sama-sama berusaha melakukan “penghijrahan diri” kepada lebih baik. Yang dulunya culas ke kuliyah, ubah kepada rajin ke kuliyah. Yang dulu sering mengasingkan diri dari program-program ilmiah ,program DPM,PMRAM mahupun OPZ, ubah lah kepada seseorang yang sering berada di barisan hadapan tiap kali program-program ilmiah di adakan, yang dulunya bergaul bebas tanpa batasan, berubahlah kepada seorang yang sentiasa memelihara maruah diri dari melangkaui batasan pergaulan begitu juga segala perubahan daripada negative kepada lebih positif.
Sepotong hadith qudsi Dari Abi Zar r.a., Rasulullah SAW bersabda,"Firman Allah Taala: Wahai hamba-hamba-Ku, kamu semua melakukan salah dan silap setiap masa dan Aku adalah pengampun dosa-dosa, maka pohonlah keampunan daripada-Ku nescaya Aku akan ampunkan..." (Hadis Riwayat Muslim)
Bukanlah penghijrahan diri yang diharapkan adalah 100% tetapi cukuplah andainya setiap hari ada sahaja perubahan kepada lebih baik yang kita dapat lakukan. Walaupun perubahan itu hanya lah 1% , tetapi ia tetap membawa erti yang besar kerana”penghijrahan diri” ini bukanlah sesuatau yang mudah untuk dilakukan, sebaliknya ia memerlukan kekuatan dan keazaman diri yang kuat dan teguh untuk melakukannya. Firman Allah lagi didalam Alquran yang bermaksud:
“Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum sampai kaum tersebut mengubah nasibnya sendiri”(Ar-Ra’d:11)
Untuk akhirnya, saya mendoakan dan mengharapakan semoga tahun baru dan bulan baru Islam ini akan menjadi tahun baru yang penuh gemilang buat kita juga umat Islam. Semoga tahun ini,bulan ini juga hari ini lebih baik dari sebelumnya.
"Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, terpedayalah orang yang hari ini sama seperti semalam, dan celakalah orang yang hari ini lebih buruk dari semalam
"Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia, dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat." "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka."(Al-Baqarah:200-201)
Tekun..... Mahasiswa Pengajian Islam sedang gigih menyertai sesi kelas tutorial
Kelas Tutorial bagi mahasiswa Pengajian Islam sedang giat dijalankan.Unit Pengetahuan Dan Pendidikan DPMZ (UPAP DPMZ)telah merancang serta melaksanakan beberapa buah sesi kelas tutorial khusus untuk mahasiswa Tahun 1 dan 2 bertujuan untuk memantapkan lagi tahap kefahaman para mahasiswa dan memantapkan pembacaan kitab kuliah yang menggunakan Bahasa Arab.Selain itu, Unit Pengetahuan Dan Pendidikan DPMZ juga telah menggabungkan mahasiswa Tahun 1 Fakulti Usuluddin bersama mahasiswa Indonesia serta menggunakan tenaga pengajar Indonesia bagi menambahkan pengetahuan para ahli menjelang peperiksaan yang bakal tiba tidak lama lagi.
Apapun, UPAP DPMZ menyarankan seluruh ahli sama ada mahasiswa Pengajian Islam mahupun Sains Kesihatan untuk menghadiri sesi kuliah bersama para pensyarah di Fakulti masing-masing.Kehadiran ke kuliah amat penting kerana ianya dapat menjana kefahaman yang lebih baik bagi para mahasiswa serta mendapatkan keberkatan daripada sesi "talaqqi" bersama guru kita.Pandangan segelintir pihak bahawa kehadiran ke kuliah tidak diperlukan adalah tidak benar kerana Islam amat mengutamakan para penuntut ilmu supaya mengenali guru kita dan menghormati mereka sebagaimana kita menghormati ibu kandung kita sendiri.
Islam juga menyarankan para penganutnya untuk mencari guru "mursyid" iaitu guru yang boleh memberi petunjuk kepada kita supaya kita tidak sesat menongkah arus cabaran hidup.Sejarah telah membuktikan para cendekiawan yang menghormati guru mereka menjadi manusia terhebat pada zaman mereka seperti Imam Syafie, Imam Bukhari, Imam Abu Hanifah, Ibnu Sina, Sibawaih, Al-Khawarizmi dan ramai lagi.Sesungguhnya kejayaan mendapatkan segulung sijil bukanlah penanda aras kejayaan sebenar hidup seseorang Muslim akan tetapi apa yang berlaku selepas tamat pengajian lebih penting dari itu.Oleh itu, para penuntut ilmu memerlukan keberkatan daripada guru "mursyid" supaya ilmu yang ada pada diri kita bermanfaat dan supaya kita mendapat keredaan Allah SWT.
Rajin...... Mahasiswa Fakulti Usuluddin Tahun 2 mahukan kecemerlangan berterusan di dunia dan akhirat
Teliti...... Guru Kelas Tutorial, Ustaz Jalaluddin Hamdan mengajar para mahasiswa dengan baik
Ahlan Wasahlan..... Pengerusi dan AJKT DPMZ menyambut kedatangan YDP KPKM
(3 dari kanan) serta barisan AJKT KPKM.
MANSYIAH SALAM, ZAGAZIG, KHAMIS, 10 DISEMBER 2009 : DPMZ telah menyambut kedatangan seramai 3 orang mahasiswi baru Fakulti Perubatan Universiti Zagazig yang mendapat tajaan Yayasan Islam Kelantan (YIK).Rombongan mereka telah diketuai oleh Yang Dipertua Keluarga Pelajar Kelantan Mesir (KPKM), Ustaz Mohd Najid Abdullah bersama-sama beberapa orang AJKT KPKM dan tiba di Zagazig pada jam 11.30 pagi dengan menggunakan van yang disewa khas.Kedatangan mereka telah disambut oleh Pengerusi DPMZ, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin, Timbalan Pengerusi DPMZ Ustaz Solihuddin Mohd Jahar serta beberapa AJKT dan ahli DPMZ yang lain.
Ahli-ahli DPMZ telah membantu untuk memindahkan barangan mahasiswi baru tersebut ke rumah mereka.YDP KPKM, Ustaz Muhd Najid Abdullah melahirkan rasa kesyukuran kepada pihak DPMZ di atas bantuan yang telah diberikan untuk menyambut mahasiswi baru tersebut.Pengerusi DPMZ juga berharap hubungan baik DPMZ bersama-sama KPKM dapat diteruskan pada masa hadapan demi mengukuhkan ukhuwwah Islamiah sesama mahasiswa Malaysia serta bersama-sama membentuk masyarakat mahasiswa yang berteraskan konsep"Satu Fikrah Satu Amal".Semoga hubungan yang ditaut DPMZ dan KPKM di bawah naungan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) berkekalan.
DPMZ juga telah menyambut kedatangan 8 orang mahasiswa baru Fakulti Farmasi Universiti Zagazig pada minggu lepas iaitu seramai 3 lelaki dan 5 perempuan.Mereka sebelum ini merupakan mahasiswa Universiti Mansurah yang telah menukar pengajian ke Universiti Zagazig.Kedatangan mereka juga telah diuruskan dengan baik.DPMZ berharap seluruh mahasiswa baru tersebut dapat meneruskan pengajian dengan jayanya serta mengucapkan selamat datang kepada mereka.Semoga kehadiran mereka mendapat rahmat dan reda Allah.
Hayyu Sabiek, 4 Disember - Satu bilik di Asrama Pelajar Wilayah Persekutuan telah dipecah masuk pada hari Jumaat yang lepas ketika umat Islam yang lain menunaikan solat Jumaat. Bilik yang dihuni oleh 3 mahasiswa itu, dipecah masuk oleh pencuri berbangsa Arab. Anatara barang-barang yang hilang adalah sebuah komputer riba, 2 buah telefon bimbit dan sebuah PDA kepunyaan ketiga-tiga mahasiswa itu.
Ekoran dengan kejadian tersebut, Yang DiPertua BKAWM, Saudara Abdul Samad bersama dengan mangsa kecurian tersebut telah melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis di Balai Polis Awwal Madinah Nasr, sambil ditemani oleh Presiden PMRAM, Saudara Abdul Mu'izz dan juga Naib Presiden 3, Saudara Muhamad Zuhaili. Daripada laporan yang telah diajukan, respon dari pihak polis amat baik dan pihak polis bersedia untuk membantu dalam membanteras kes kecurian yang semakin menular sejak ke belakangan ini.
Di samping itu, pihak polis juga menjalankan sesi soal siasat di balai polis itu juga. Siasatan bermula pada jam 4 petang dan kemudiannya disambung pada jam 10 malam sehingga jam 1 pagi. Siasatan itu dibuat berikutan dengan kesan dan masa kejadian itu terjadi. Pihak polis masih dalam usaha untuk menjejaki pencuri yang telah melakukan perkara tersebut dan difahamkan, telah banyak kes kecurian yang berlaku di sekitar kawasan Mahkamah.
Dalam kesempatan itu juga, pihak PMRAM menghulurkan sedikit sumbangan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa kecurian tersebut. Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Naib Presiden 3, Saudara Muhamad Zuhaili bin Saiman.
Unit Pengetahuan Dan Pendidikan (UPAP) DPMZ telah mengadakan sesi Kelas Bahasa Arab untuk Mahasiswa Perubatan dan Farmasi Tahun 1 bermula pada pertengahan November lepas.Sesi perjalanan kelas tersebut kini sedang berjalan rancak di bawah kendalian Pengerusi Kelab Bahasa Arab DPMZ, Ustaz Muaz Hassan dan diselia oleh Ketua Unit Pengetahuan Dan Pendidikan, Ustaz Muhammad Anas Zharif Harun (gambar).Seramai 100 orang mahasiswa baru terdiri dari 35 orang ikhwah dan 65 orang akhawat telah menyertai kelas ini.
Kelas ini dijalankan sebanyak satu sesi setiap minggu.Tenaga pengajar bagi kelas ini ialah Ustaz Dzofeerulhaq Syafiullah bagi peserta lelaki dan 3 orang mahasiswi dari Mansurah bagi peserta perempuan.Para peserta lelaki dibahagikan kepada 2 kumpulan iaitu Kamsis Mauqif Tanta dan Kamsis Salam sementara peserta perempuan dibahagikan kepada 3 kumpulan.Kelas untuk peserta lelaki dijadualkan pada hari Ahad di Mauqif Tanta dan Selasa di Salam serta Rabu bagi peserta perempuan di Imarah Baba Usamah selepas Maghrib.
Tujuan DPMZ mengadakan sesi kelas ini adalah untuk mengukuhkan penguasaan kemahiran berkomunikasi di dalam Bahasa Arab bagi seluruh mahasiswa baru DPMZ.Bahasa Arab amat penting di bumi Mesir ini kerana ia merupakan bahasa pengantar utama bagi masyarakat tempatan.Oleh itu, DPMZ amat berharap ahli-ahli yang mengikuti kelas ini dapat memanfaatkan peluang keemasan yang telah dibuka kepada anda supaya ia dapat memudahkan kehidupan para peserta di sini pada masa hadapan.DPMZ juga menjunjung moto PMRAM bagi sesi kali ini iaitu "Julang Thaqafah Bakti Dicurah" supaya para ahli mendapat ilmu tambahan sepanjang kehadiran di bumi Anbiya` ini.
Perhatian : Jadual Kelas Bahasa Arab DPMZ boleh dirujuk di ruangan "Thaqafah & Ilmiah" di blog DPMZ, www.dpmz.blogspot.com
2 buah buku baru terbitan Pustaka Darul Aman Mesir dengan izin terbit daripada PMRAM telah berada di Kedai DPMZ sekarang.Kedua-duanya adalah karya milik Ahmad Lutfi Bin Abdul Wahab Al-Linggi.
1)Judul Buku : Biografi Bercahaya Muhammad Rasulullah SAW Pengarang : Ahmad Lutfi Bin Abdul Wahab Al-Linggi Terbitan : Pustaka Darul Aman Mesir
Izin Terbit : Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) Harga : LE 40
Karya ini adalah "karya mesti milik" bagi setiap Muslim yang mencintai Rasulullah SAW dan ingin mengetahui jejak perjalanan Rasululullah SAW sepanjang hayat Baginda SAW.
Buku ini mengandungi :
a)Sirah Agung Rasulullah SAW
b)Gambar tempat-tempat yang pernah diduduki atau yang berkaitan dengan Rasulullah SAW seperti tempat lahir Baginda, rumah Baginda serta Biara Buhaira di Busra Syam yang menyaksikan tanda-tanda kenabian Rasulullah SAW.
c)Makam Rasulullah SAW dan keturunannya
d)Percubaan Orang Kristian mencuri Jasad Nabi SAW
e)Nabi SAW diracun
f)Kisah Nabi SAW ketika menghampiri ajal dan kewafatan Baginda SAW
g)Gambaran keadaan Rumah Nabi SAW
2) Judul Buku : Menziarahi Kekasih Allah di Hadhramaut, Yaman Pengarang : Ahmad Lutfi Bin Abdul Wahab Al-Linggi
Terbitan : Pustaka Darul Aman Mesir
Izin Terbit : Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) Harga : LE 40
Karya ini berkisar mengenai catatan perjalanan penulis ke Hadhramaut, Yaman iaitu sebuah bumi yang telah melahirkan jutaan ulama di seluruh dunia.Mengikut catatan Sejarah Melayu, Islam telah disampaikan ke Tanah Melayu melalui pendakwah Yaman dari golongan Sayyid dan Syarif yang digelar Alawiyyin.tanpa kedatangan mereka sudah tentu masyarakat Muslim Malaysia pada hari ini tidak mengenal Allah dan RasulNya.
Antara bahan menarik di dalam karya ini :
a)Sejarah Hadhramaut dalam melahirkan ulama murabbi agung
b)Biografi ulama-ulama Yaman yang agung
c)Kisah Nabi Hud AS di Hadhramaut
d)Kelebihan ulama Yaman dalam hadis Rasulullah SAW
e)Ulama Yaman menyebarkan Islam ke Tanah Melayu
Jadikan kedua-dua karya ini sebagai bahan bacaan kita supaya kita lebih mengenali makna menjadi seorang Mukmin yang sejati.Semoga Allah memberikan anda ganjaran kebaikan kerana berusaha untuk mengenali dan mencintai Rasulullah SAW dan para ulama agung.
Dapatkan karya ini di Kedai DPMZ, Markaz DPMZ Salam dengan segera kerana stok adalah terhad. Untuk keterangan lanjut sila hubungi Bendahari DPMZ, Us Muhammad Lokman Sulaiman (011-1235115).
Hayyu Sabiek, 27 November - Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) amat berterima kasih dengan sokongan padu ahli samada Pengajian Islam mahupun Perubatan, dalam memeriahkan dan menjayakan Solat Sunat Aidil Adha di Masjid Musa Ibnu Nusair Haiyyu Sabie' Madinah Nasr, Kaherah hari ini. Kehadiran yang dijangkakan hampir 1200 mahasiswa dan mahasiswi ini turut diraikan bersama oleh beberapa orang tetamu warga Malaysia, Singapura dan rumpun Melayu yang lain. Gema takbir bermula seawal jam 7.40 pagi sejurus selepas warga Mesir menunaikan solat sunat Aidil Adha.Badan Pengurus PMRAM tidak melepaskan peluang untuk turut sama mengetuai laungan takbir bersama ahli sebagai tanda kebesaran dan keagungan Allah SWT Sejurus selepas itu, seluruh hadirin menunaikan solat sunat Aidil Adha dengan diimamkan oleh Saudara Mohd Azrul bin Ismail, Naib Presiden 1 PMRAM.
Menjadi tumpuan utama, adalah khutbah yang disampaikan oleh yang berbahagia Tuan Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir, Saudara Abdul Mu`izz bin Muhammad. Antara perkara utama di dalam isi khutbah beliau adalah menyeru dan menyarankan kepada seluruh ahli PMRAM supaya menjadikan kisah pengorbanan 2 kekasih Allah, iaitu Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. sebagai pedoman dan pegangan bersama. Ahli PMRAM sepatutnya sedia berkorban dalam apa jua lapangan yang memberikan kebaikan dan bantuan kepada agama Islam. Pengorbanan yang berbentuk wang ringgit, tenaga, harta, masa, ilmu, jiwa dan raga semuanya adalah untuk Allah. Saudara Abdul Mu`izz juga turut mengajak para hadirin supaya bersama-sama meneliti dan memahami erti sebenar perayaan ini dengan menyebutkan 2 resolusi yang perlu dimuhasabahkan bersama. Pertama, adalah seharusnya menjadikan perayaan Aidil Adha ini sebagai perayaan untuk muhasabah. Sebagai umat Islam, Aidil Adha adalah lapangan terbaik untuk kita koreksi kembali sejauh manakah pengorbanan kita selama ini untuk Islam? Adakah kita masih lagi miskin dan papa dalam meneladani kisah-kisah perjuangan dan pengorbanan umat Islam yang agung satu ketika dahulu?. Bertepatan dengan perayaan ini, amat molek dan wajar kita selaku umat Islam bermuhasabah dan sedia berubah dalam memastikan Islam itu adalah segala-galanya. Resolusi kedua yang disebutkan ialah, perayaan ini adalah sebagai mercu dan tanda kita menghayati sifat kesempurnaan Islam. Antara ayat Al-Quran yang terakhir diturunkan ketika peristiwa Hajjatul Wada', adalah menceritakan mengenai kesempurnaan Islam dan kesyumulannya. Justeru, perayaan ini seharusnya kita bermuhasabah adakah kita menjalani kehidupan kita dengan Islam yang Syumul? Adakah Islam dan Ad-Deen itu benar-benar menjadi cara hidup dan tatacara kita sewaktu kita di sini?. Semua persoalan ini adalah sebagai muhasabah dan kesedaran bersama dalam kita menghayati (Aidil Akbar) Perayaan Terbesar dalam Islam ini.
Khutbah kedua yang disampaikan oleh yang berbahagia Presiden, amat memberikan motivasi dan inspirasi kepada para hadirin. Beliau mengulas akan satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a. akan kepentingan kita memohon bantuan dan berserah diri kepada Allah s.w.t. Setiap masalah dan hajat seharusnya ditujukan kepada Allah s.w.t. pemilik kepada dunia dan segala isinya. Umat Islam juga wajib mempercayai akan ketentuan baik dan buruk itu adalah daripada Allah s.w.t. Tidak perlu untuk kita risau dan gundah akan rezeki dan keberuntungan kita kerana semuanya telah ditulis olehNYA. Maka tidak ada sesiapapun dimuka bumi ini yang mampu menidakkan mahupun mendahului urusan Allah s.w.t.
Majlis berakhir pada jam 9.00 pagi dan seluruh hadirin bersalam-salaman dan memohon maaf diatas kesalahan yang dilakukan. Para hadirin turut juga mengambil peluang bersalam-salaman dengan Kepimpinan Badan Pengurus dan HEWI PMRAM. Badan Pengurus dan HEWI PMRAM turut sama mengambil peluang ini untuk bermesra dengan ahli dan saling memaafi antara satu sama lain. Sejurus selepas itu, para hadirin dijemput hadir ke Rumah Kelantan Baru Haiyyu Sabie' untuk menikmati sedikit juadah hari raya.
Di kesempatan ini, seluruh Badan Pengurus dan HEWI PMRAM mengucapkan jutaan terima kasih kepada BKAN dan DPM yang memberikan kerjasama serta kepada ahli-ahli PMRAM yang hadir ke majlis solat sunat hari raya ini. Badan Pengurus dan HEWI PMRAM juga menyusun sepuluh jari memohon maaf sekiranya berlaku kekurangan dan kesalahan samada sedar mahupun tidak. Semoga Ibadah kita semua diterima oleh Allah SWT.
DEWAN SHAHRUL LAYALI, MUBARRAH, ZAGAZIG, 29 NOVEMBER 2009 : Sambutan Hari Raya Aidiladha 2009 (SHAHADAH 09) di bawah anjuran Unit Dakwah Dan Pembangunan Insan DPMZ telah diadakan dengan jayanya.Majlis ini bertujuan untuk mengukuhkan ukhuwwah sesama ahli, memberikan thaqafah kepada ahli mengenai Aidiladha serta mentarbiyah ahli supaya meraikan perayaan dengan berteraskan Islam.Majlis bermula pada jam 8.45 pagi dengan Majlis Perasmian yang disempurnakan oleh anggota Naib Presiden II PMRAM, Ustaz Nik Rosdi Nik Jusoh.Di dalam ucapannya, beliau mengingatkan para ahli mengenai kebaikan meraikan perayaan berlandaskan syariat Islam serta menekankan aspek keselamatan mahasiswa sepanjang keberadaan di bumi Mesir.Pengerusi DPMZ telah menyempurnakan gimik perasmian dengan memakaikan wakil PMRAM tersebut dengan pakaian ihram.
Majlis diteruskan lagi dengan persembahan burdah iaitu salah satu hiburan Islam yang diketuai oleh Ustaz Husni Ginting.Selepas itu, Ustaz Nazrul Nasir telah menyampaikan ceramah Aidiladha.Beliau menekankan para ahli mengenai kewajipan menjaga diri dari dorongan hawa nafsu yang jahat, kewajipan menjaga akhlak bagi wanita Islam serta membina keluarga Islam dengan sempurna.Persembahan AJKT DPMZ diadakan selepas rehat dengan lakonan drama yang berkisar mengenai kehidupan seorang ayah yang diabaikan oleh anak-anaknya yang sibuk di perantauan.Drama ini berakhir dengan kesudahan yang menggembirakan.
Kumpulan In-Saff juga tidak ketinggalan untuk menyampaikan 2 buah lagu.Walaupun tidak menggunakan alatan muzik serta minus one, mereka telah menyampaikan lagu dengan baik dengan alunan serta paduan suara yang mantap dan gaya yang memukau para penonton.Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian Anugerah Tokoh Tadhiyah (Pengorbanan) yang telah disempurnakan oleh Pengerusi DPMZ.Anugerah Tokoh Tadhiyah bagi Mahasiswa Pengajian Islam telah diberikan kepada Ustaz Muhd Alhidayat Khalid dan anugerah bagi mahasiswa Perubatan pula diberikan kepada Doktor Abdul Hadi Mohd Zuki dan Doktor Azlizan Supian.
Selepas itu, para hadirin telah dipersembahkan dengan tayangan slaid mengenai aktiviti ahli DPMZ sepanjang 2 hari Aidiladha berlalu.Ustaz Husni Ginting kemudiannya menyampaikan tazkirah mengenai kewajipan menunaikan haji bagi seorang Muslim.Majlis dikhiri dengan jamuan makan pada jam 2 petang.DPMZ berharap seluruh ahli yang menyertai majlis ini dapat mengukuhkan tali silaturrahim dan memberi kefahaman Islam kepada para ahli dengan baik.DPMZ mengucapkan "Salam Aidiladha" kepada seluruh ahli.
Terhangat Di Pasaran..... Ermyzal Nazirul dan Naim Sarfaraz sebagai pengacara majlis
Terjah..... Pengacara majlis sedang "menyerang" ahli yang hadir
Tahniah..... Mahasiswa Tahun 4 Abdul Hadi Mohd Zuki (kanan) dinobatkan sebagai Tokoh Tadhiyyah 2009/1430H bagi mahasiswa Perubatan
Orang Besar..... Pengerusi DPMZ (dari kiri) bersama-sama Naib Presiden II PMRAM dan Pengarah SHAHADAH 2009, Ustaz Muhd Zul Azri Zainal di Majlis Perasmian
Santapan rohani..... Ustaz Nazrul Nasir (kanan) dijemput khas untuk memberikan ceramah bagi membentuk kesedaran Islam kepada para hadirin
Satu Fikrah Satu Amal..... ahli DPMZ bersama-sama meneguhkan kesatuan ukhuwwah umat Islam
Ceria..... Mahasiswi gembira merayakan Aidiladha bersama-sama teman