Hayyu Salam, Zaqaziq-29 Nov: Ceramah Motivasi Perdana & Solat Hajat 07 telah berlangsung dengan jayanya dengan penyertaan seramai hampir 70 orang ahli DPMZ yang terdiri dari Azhariyyin & Tibbiyyin (Ikhwah & Akhawat) baik yang baru mahupun mahasiswa lama. Program ini dijalankan sempena menyambut fatrah imtihan yang bakal tiba dengan menyediakan input kepada pendengar dari segi teknik pembelajaran dan juga meningkatkan motivasi kendiri masing-masing.
Program bermula dengan Solat Maghrib berjemaah dan diikuti pula dengan bacaan Surah Yasin serta Solat Hajat. Seterusnya, dalam majlis yang sama juga berlangsung pelancaran beberapa kempen khas antaranya "Boikot Barangan Israel Laknatullah", "Kempen Anti Rokok & Biah Solehah", Kempen "Jom Pakat Bayar Yuran", serta pelancaran "Bait Mithali & Bait Muslim" yang telah disempurnakan oleh Pengerusi DPMZ, Ust Mohd Mumtaz Bin Harun. Dalam ucapan perasmiannya, beliau amat mengharapkan kerjasama dari seluruh ahli DPMZ dalam menjayakan kempen-kempen ini yang sememangnya memberi manfaat penuh kepada semua pihak khususnya bagi Ummat Muslimin.
Seterusnya, bermulalah slot ceramah motivasi yang dikendalikan oleh Ust Hanif Jamaluddin sebagai pengacara bersama-sama beliau penceramah jemputan yang didatangi khas dari Kaherah iaitu Ust Firdaus Mazlan; Pelajar Syariah Islamiah Al-Azhar Keherah, dan Sdr Iqbalmunauwir Abd Rashid; Pelajar Perubatan Universiti Kaherah. Kedua-dua panel ini akan mengupas sedikit sebanyak tips-tips dalam pembelajaran dan cara menghadapi fatrah imtihan ini serta berkongsi pengalamtersendiri masing-masing.
Program berakhir pada jam 9.30 mlm dengan jamuan makanan yang telah disediakan. Diharap, setelah menghadiri program ini, mahasiswa tunggak bangsa & agama ini dapat meneruskan perjuangan masing-masing di Bumi Ilmu Bumi Anbia ini dengan lebih berkesan dan bukannya leka ditelan nafsu malas & berhibur sahaja. Hal ini supaya mahasiswa ini menjadi ulama' bidang profesional masing-masing dengan cemerlang dan bukan sekadar menjadi "Ulama' Muqarar".
0 comments:
Post a Comment