Thursday, December 27, 2007

Sambutan Majlis Hari Raya Korban & Walimatul Urus

Posted by UPP DPMZ On 3:41 AM No comments

21 dan 22 Disember, Dewan Dar As-Salam, Mansyiatul Salam - Detik 4 petang seekor unta telah ditumbangkan berdekatan Dewan Dar As-Salam dengan laungan takbir yang disaksikan oleh ahli DPMZ yang hadir semenjak awal lagi. Kehadiran ahli yang begitu ramai mengerumuni majlis korban tersebut menambahkan lagi kemeriahan menyambut hari raya Aidil Adha di perantauan.Begitu ramai ahli yang datang membantu memberikan sokongan serta bantuan dalam menjayakan majlis korban tersebut. Semangat kerjasama dan bantu-membantu yang ditunjukkan oleh ahli-ahli DPMZ ini kelihatan ketika aksi-aksi melapah,memotong serta memasak daging unta tersebut.Pada malam tersebut,kepenatan yang dialami oleh ahli-ahli DPMZ jelas kelihatan diraut wajah masing-masing.Namun,kepenatan mereka terubat jua apabila dapat menikmati sup daging unta yang enak serta menyelerakan.

Pada seawal pagi Sabtu,kehadiran adhoc serta ahli-ahli DPMZ yang hadir semenjak awal lagi membantu bagi persiapan majlis sambutan Hari Raya Aidil Adha dan Walimatul Urus oleh pasangan mempelai Ustaz Mumtaz Harun dan Ustazah Faezah Sufiyan.Majlis tersebut bermula dengan bacaan Yassin serta Doa Selamat selepas sahaja solat Zohor secara berjemaah.Kemudian majlis diteruskan lagi dengan Perutusan Hari Raya oleh Presiden PMRAM yang dibacakan oleh Pengerusi DPMZ.Dalam perutusan tersebut, Presiden PMRAM iaitu Al-Fadhil Ustaz Hairul Nizam menyeru kepada semua ahli pada hari raya Aidil Adha ini kita semua dapat menghayati sirah pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim alahisalam dan anaknya Nabi Ismail.Selain itu, Presiden PMRAM menyeru lagi kepada semua pendokong PMRAM yang tercinta agar dapat membantu Ustaz Mohd Razi bin Musa dimana anaknya kini menderita akibat penyakit GLAUKOMA KONGENITAL yang boleh mengakibatkan buta pada mata sekiranya lambat diubati.

Selepas sahaja Perutusan Hari Raya dibacakan,majlis diteruskan dengan pengisian rohani sempena majlis Sambutan hari raya Aidil Adha dan Walimatul Urus oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Nazrul bin Abdul Nasir selaku Badan Pengurus PMRAM yang hadir.Kemudian,majlis berikutnya bersama pasangan mempelai iaitu Ustaz Mohd Mumtaz Harun dan isterinya Ustazah Faezah Sufiyyan.Majlis turut diserikan lagi dengan persembahan yang cukup istimewa pada hari itu dengan bacaan Qasidah oleh Ustaz Husni Ginting bersama dengan ahli-ahli DPMZ yang lain.Selesai sahaja majlis tersebut,para tetamu yang hadir menikmati nasi minyak dan lauk daging unta.

Kehadiran tetamu dan ahli DPMZ yang hadir cukup memberangsangkan serta di luar jangkaan lebih-lebih lagi peperiksaan yang hampir menjelang tiba. Kehadiran yang mencecah 700 orang menjadi satu detik sejarah dan kenangan yang paling indah buat Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig.Antara mereka yang hadir serta menjayakan program tersebut ialah dikalangan Badan Pengurus PMRAM dan HEWI PMRAM serta wakil Dewan Perwakilan Mahasiswa/Wi Dumyat, Damanhur, Iskandariah, Mansurah, Tanta serta Wakil Badan Kebajikan Anak-Anak Negeri dan tidak dilupakan wakil Perubatan yang turut hadir pada program tersebut.Ketika ditemui Pengarah Program Sambutan Majlis Hari raya Aidil Adha dan Walimatul Urus,iaitu Ustaz Mohd Muzaidi Mustani beliau berkata dengan program sebeginilah dapat mengeratkan lagi tautan ukhwah dikalangan ahli PMRAM dan beliau menyarankan betapa pentingnya kita duduk dibawah naungan persatuan induk PMRAM yang dapat meyatukan kesemua ahli dalam satu fikrah yang sama tanpa adanya persengketaan dan perpecahan.Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Ustaz Mohd Mumtaz bin Harun kerana dapat mendirikan rumah tangga.Tidak lupa juga,kepada semua adhoc,ajk dan ahli yang turut membantu dalam menjayakan program tersebut secara langsung ataupun tidak.

Semoga kita semua beroleh kejayaan dalam peperiksaan yang semakin hampir. Mudah-mudahan dengan amalan kita membantu persatuan, ianya menjadi satu wasilah untuk kita berjaya didunia dan akhirat.Salam kejayaan buat semua para pendokong dan penyokong PMRAM dan DPMZ. Sirru ala barakatillah.

0 comments:

Sahabat