Saturday, February 20, 2010

Jaulah Sinai DPMZ 2010 Bina Kekuatan Jiwa Peserta

Posted by UPP DPMZ On 11:54 AM No comments

 Teguh ukhuwwah..... para peserta yang terdiri dari pelbagai latar belakang negeri serta pengajian menjalin silaturrahim di Sinai

SEMENANJUNG SINAI, 8-10 FEBUARI 2010 : Unit Sambutan Dan Rehlah DPMZ telah mengadakan jaulah ke Semenanjung Sinai yang disertai oleh 49 peserta terdiri dari ahli DPMZ, 9 ahli DPMDM (Damanhur) dan 3 mahasiswa Jordan.Musyrif bagi kembara ini ialah Ustaz Muhammad Mursyid Shafiee.Rehlah ini bertujuan untuk meneguhkan ukhuwwah sesama mahasiswa, menjejaki sirah anbiya` serta mengenali bumi Mesir dengan lebih dekat.
Rombongan bertolak sekitar jam 2 pagi dan singgah di sebuah perhentian di Suez untuk bersolat Subuh sebelum merentasi Terowong Ahmad Hamdi yang dibina sekitar 1983 dan kemudiannya dibaik pulih pada 1991.

          Terusan Suez terdapat di atas terowong ini.Terusan ini telah dibina pada 1859-1869 oleh penggali Perancis dengan menggunakan beratus ribu tenaga kerja manusia.Ia dibina untuk memendekkan perjalanan di antara Timur dan Barat serta digunakan untuk kepentingan penjajah Barat untuk menduduki bumi umat Islam.Terusan ini menjadi laluan kapal terpenting pada masa kini.Selepas itu, para peserta telah dibawa melawat ke bekas Kubu Tentera Israel iaitu Garisan Bar Lev.Kubu ini digunakan oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) selepas penawanan Sinai pada Perang Arab-Israel 1967.Kubu ini mempunyai kedudukan yang strategik serta terlidung dari pandangan musuh selain mampu membalas serangan dari segenap penjuru.Kubu ini akhirnya ditawan pada Perang 6 Oktober atau juga dikenali Perang Ramadan dan Perang Yom Kippur oleh Yahudi setelah Syeikhul Azhar, Syeikh Abdul Halim Mahmud bermimpi tentang strategi penawanannya.Peristiwa ini membuktikan segala kelengkapan canggih bukanlah syarat kemenangan akan tetapi bantuan Allah jualah yang menentukan segalanya melalui karamah seorang ulama.

          Selepas itu, para peserta melawat Uyun Musa dan Telaga Ayub yang dikatakan menyembuhkan Nabi Ayub AS daripada penyakit yang dialami Baginda.Mengikut riwayat, Nabi Musa AS telah membelah laut dengan tongkatnya untuk membawa Bani Israel lari daripada cengkaman Firaun di pesisir pantai ini.Para peserta kemudiannya menuju ke Hamam Firaun untuk melihat serta merasai hawa panas di sebuah gua di mana Firaun pernah datang ke sini untuk menyembuhkan penyakit Rheumatisme.

          Wadi Arbaein pula menjadi destinasi pada watu senja.Wadi Arbaein mempunyai batu 12 mata air yang didakwa menjadi sumber air bagi 12 suku Bani Israel setelah Nabi Musa AS mengetuk batu tersebut dengan menggunakan tongkat serta lembah ini dikatakan pernah menjadi tempat pertemuan 40 anbiya`.Peserta telah berehat sebentar di Fox Camp sebelum mendaki Jabal Musa yang juga dikenali sebagai Jabal Tursina pada jam 12 tenah malam.Kesemua peserta telah sampai ke puncak pada jam 4 pagi.Kelihatan ramai pendaki dari seluruh dunia yang hadir semata-mata untuk melihat keindahan matahari terbit.

          Selepas menikmati panorama matahari terbit, para peserta turun semula sambil bertemu Saint Katherine iaitu sebuah biara yang telah dibina sebelum kelahiran Rasulullah SAW oleh Maharaja Justinian iaitu Raja Empayar Byzantin.Ia mendapat nama sempena anak seorang pembesar Alexandria yang dihukum bunuh.Gereja lama ini merupakan gereja kedua yang menyimpan manuskrip kuno Kristian terbanyak selepas Gereja Sedunia di Vatican City dan disytiharkan sebagai Warisan Sedunia oleh Agensi Pendidikan, Sains Dan Kebudayaan PBB (UNESCO).

          Peserta kemudiannya melawat makam Nabi Saleh AS dan Lembu Samiri yang dibina Nabi Musa AS beruzlah di Jabal Tursina semata-mata untuk mensyirikkan Allah.Peristiwa Lembu Samiri merupakan teladan bagi seluruh umat agar tidak mempersekutukan Allah SWT.Destinasi seterusnya ialah Dahab iaitu sebuah kawasan peranginan di sebelah timur Sinai.Para peserta membeli-belah serta menikmati hidangan makanan laut yang terdapat di sini.Aktiviti pada keesokan pagi ialah menyelam dan berkuda.

          Para peserta bertolak ke Qal`ah (Kubu) Salehuddin Al-Ayyubi.Kubu ini terletak di Pulau Firaun dan dibina oleh Empayar Byzantin.Pada 1116, angkatan tentera Salib telah mendudukinya.Tentera Sultan Salehuddin pula merampas kubu ini pada 1182 dan meluaskannya.Kubu ini mempunyai kedudukan strategik dan dapat menahan asakan serangan tentera Salib dari bumi Palestin.

          Rombongan kemudiannya bertolak pulang dan sempat melawat sebuah batu bersurat milik kerajaan Mamalik yang dipercayai dibina oleh Sultan Qaitbay yang terbunuh di dalam pertempuran dengan tentera Uthmaniyyah di Halab, Syria.Para peserta akhirnya tiba di Zagazig pada jam 11.30 malam.DPMZ berharap jaulah ini dapat mencapai matlamatnya serta membina kekuatan jiwa para ahli.

Senang diri..... seorang pegawai tentera sedang memberi penerangan di bekas Kubu Israel, Garisan Bar Lev

 
Panas..... Telaga Nabi Ayub merupakan mata air panas di Sinai
  
 Spa semulajadi..... peserta merasai kenikmatan hawa panas di dalam Hamam Firaun

  
 Wadi Arbaien..... dipercayai tempat pertemuan 40 anbiya` serta terdapat batu 12 mata air yang merupakan mukjizat Nabi Musa

 
Rehat dulu..... peserta singgah di Fox Camp sebelum mendaki Jabal Musa pada tengah malam

  
 Menunggu matahari terbit..... pelancong seluruh dunia menyaksikan keindahan alam ciptaan Allah SWT

  
 Perkampungan Nabi Ilyas..... antara 4 orang nabi yang dikatakan masih hidup

  
 Makam Nabi Harun..... merupakan abang Nabi Musa yang banyak membantu dakwah agama Allah SWT

 
Skuad Skuba beraksi...... aktiviti menyelam di Dahab menjadi pilihan peserta 
  
  
 Qal`ah Salehuddin Al-Ayyubi..... lambang penentangan terhadap penjajahan tentera Salib di Timur Tengah

0 comments:

Sahabat