Segala puji hanya untuk Allah S.W.T Tuhan seluruh alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W serta seluruh sahabat dan pengikut-pengikut perjuangan Baginda samada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana limpahan rahmat dan kasih sayangNya kita masih diberi peluang untuk terus menjalankan kehidupan serta tanggungjawab terhadap Allah terutama dalam bulan yang penuh mulia dan barakah ini, bulan Ramadhan.
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,
Umat Islam seluruh dunia telah melangkah masuk ke bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Rentetan daripada ketibaan Ramadan, suasana baru yang tidak dapat dilihat pada bulan-bulan lain akan kelihatan pada bulan yang mulia ini. Di antaranya menggambarkan ciri ibadah puasa yang sebenar serta tidak kurang juga puasa hanya sebagai satu adat atau pesta tahunan.
Oleh itu, umat Islam perlu benar-benar memahami falsafah puasa yang selaras dengan Al-Quran dan sunnah serta mengelakkan daripada menjadikan puasa hanya sebagai adat tahunan sahaja. Rasulullah s.a.w bersabda : Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala berpuasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya. (riwayat Al-Bukhari)
Oleh itu, kita perlu menghindarkan perkara-perkara yang boleh menjejaskan kesempurnaan puasa demi menjamin pahala yang berganda di bulan yang mulia ini. Ini berdasarkan sabda Baginda s.a.w yang bermaksud : “Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lepas”. (riwayat al-Bukhari)
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,
Kedatangan bulan Ramadhan walaupun menjadi suatu kebiasaan kepada kebanyakan orang, tetapi sebenarnya ianya menjadi suatu mercu tanda kepada orang-orang yang ingin mencapai kepada matlamat penghidupan yang sebenarnya iaitu seperti yang disebutkan oleh Allah S.W.T khususnya dalam konteks kita berpuasa disebutkan sebagai “La‘al lakum tattaqun” maksudnya “dengannya kamu akan memperolehi darjat ketaqwaan kepada Allah S.W.T”. Menjadi suatu yang agak lumrah kepada insan, biasa disebut, di hafal dan diingati kalimah ini “La‘al lakum tattaqun”, tetapi pernahkah, sampaikah kita ke tahap “tattaqun” itu bila tiba dan berakhirnya Ramadhan?
Bersempena bulan Ramadhan yang mulia ini, pihak DPMZ pada sesi ini telah merencanakan beberapa agenda dan aktiviti-aktiviti menarik yang bakal menemui sahabat-sahabat dalam sebuah program mega yang diberi nama ‘Raudhah Ramadhan’ hasil usaha kerjasama Unit Dakwah & Pembangunan Insan, Unit Pengetahuan & Pendidikan, dan Unit Sambutan & Rehlah sesi 2010/2011. Antara aktiviti-aktiviti bermanfaat yang terdapat dalam ‘Raudhah Ramadhan’ ini adalah kelas-kelas pengajian seperti kelas bahasa arab, fiqh, dan hadith, tayangan filem, ceramah badar kubra, diskusi kitab, tadarus Al-Quran dan banyak lagi.
Semoga Ramadhan pada tahun ini lebih baik daripada sebelumnya buat kita semua. Dan janganlah amalan-amalan yang telah kita lakukan pada bulan Ramadhan ini hanya berlaku pada bulan Ramadhan sahaja, semoga ia dapat diteruskan sehingga kita bertemu Ramadhan yang seterusnya InsyaAllah. Marilah bersama kita menjadi hamba yang sentiasa cuba meningkatkan iman dan amalan dari masa ke semasa, dan janganlah kita menjadi hamba yang hanya mempertingkatkan amalan pada waktu-waktu tertentu sahaja.
Sekian, segala yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T, dan segala yang lemah itu datangnya daripada kelemahan diri ana sendiri. Wa billahi taufiq wal hidayah wassalamu ‘alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh. Ramadhan Kareem.
‘KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH’
Muhamad Lokman B. Sulaiman,
Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig
Sesi 2010 / 2011.
0 comments:
Post a Comment