KAHERAH, 23 Sept - Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) hari ini menyokong penuh kenyataan terkini Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) berkenaan gesaan kepada pihak Kerajaan agar mengkaji semula dan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.
PMRAM sebagai persatuan induk yang menaungi 20 organisasi mahasiswa di seluruh Mesir turut mendesak dan memohon perhatian kepada pihak kerajaan supaya mengkaji dan meneliti semula AUKU yang dilihat menyekat kebebasan mahasiswa untuk bersuara dan menyatakan pandangan mereka.
Walaupun AUKU ini tidak diguna pakai di Mesir, namun pihak PMRAM amat merasai kongkongan yang dihadapi oleh mahasiswa di Malaysia sebagaimana mahasiswa di Mesir ini merasai tekanan yang sama hasil daripada ugutan zakat dan pinjaman dikenakan oleh pihak-pihak tertentu.
Menyedari akan hakikat tersebut, PMRAM merasai amat wajar sekiranya pihak kerajaan meneliti dan mengkaji semula sekaligus memansuhkan AUKU yang telah dikuatkuasakan terhadap seluruh mahasiswa-mahasiswi di Malaysia sejak sekian lama.
Ini sejajar dengan seruan Perdana Menteri Malaysia yang inginkan masyarakat Malaysia terus maju ke hadapan sebagaimana yang diungkapkan oleh beliau dalam ucapan sempena sambutan Hari malaysia baru-baru ini.
" Justeru, harapan membawa masyarakat untuk terus maju kehadapan sejajar sebagai sebuah negara maju haruslah bersifat komprehensif di segenap peringkat terutamanya golongan muda iaitu mahasiswa. Oleh yang demikian, amat wajarlah golongan mahasiswa ini diberi peluang yang seluas-luasnya untuk membuktikan kebolehan mereka serta meyuarakan pandangan tanpa ada sekatan yang menyebabkan mereka menjadi lesu dan perkembangan keintelektualan meraka terbantut " ujar Abul Aziz bin Ali, Timbalan Presiden PMRAM ketika mengulas isu tersebut.
Sehubungan dengan itu, PMRAM sekali lagi bertegas bahawa tindakan GAMIS megemukakan cadangan pemansuhan AUKU kepada pihak kerajaan merupakan suatu tindakan releven demi menonjolkan reputasi dan kredibiliti sebagai seorang mahasiswa.
PMRAM sentiasa menyokong usaha-usaha yang dilakukan oleh mana-mana pihak alam membela dan mempertahankan hak mahasiswa lebih-lebih lagi isu berkaitan AUKU yang sememangnya memberi polemik yang kurang enak kepada mahasiswa yang telah di perjuangkan sekian lama untuk dimansuhkan.
"Mahasiswa hari ini merupakan pemimpin masa hadapan negara. Sekiranya proses pembentukan kewibawaan mahasiswa pada hari ini terus disekat dan dikongkong dengan undang-undang dan akta-akta yang tidak sepatutnya, maka sudah pasti ianya akan merencatkan perjalanan ke arah penyediaan pemimpin masa depan negara yang berkaliber sekaligus akan merugikan semua pihak " tambah beliau lagi.
Sumber : pmram.org
0 comments:
Post a Comment