Satu fenomena yang baru akan tercetus melalui sebuah program realiti terbaru dengan diberikan nama sebagai Ustazah Pilihan ditayangkan siarannya 1 Oktober nanti di saluran televisyen swasta Astro Oasis.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim baru-baru ini.
Selepas Imam Muda berjaya mendapat liputan yang meluas sehingga peringkat antarabangsa, kini Astro Oasis mengatur langkah maju setapak dengan tema yang sama iaitu program keagamaan kontemporari dengan mencari sinar baru untuk golongan Hawa pula.
Di antara sasaran dan tujuan program yang diberikan nama Ustazah Pilihan tersebut, adalah membentuk generasi muslimah yang mampu berdepan dengan kehidupan berorientasikan pendidik, pembimbing dan pemimpin di kalangan masyarakat.
Perjalanan Ustazah Pilihan kelak akan menampilkan 10 peserta yang akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan akan meneruskan pembelajaran selama tempoh 8 minggu dalam akademi merangkumi teori dan praktikal.
Beberapa tugasan akan diberikan kepada peserta untuk mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran meliputi aspek keagamaan, teknologi maklumat, kewangan, kemasyarakatan serta kekeluargaan.
Markah peserta akan dinilai melalui dua elemen penting iaitu gerak kerja berkumpulan dan kesungguhan peserta dalam setiap tugasan yang diberikan.
Tugasan yang diberikan kepada peserta berlegar berkaitan isu semasa terutamanya yang menyentuh kepada ruang lingkup kehidupan wanita dalam merealisasikan keperluan masyarakat sejagat.
Namun begitu, apakah Ustazah Pilihan sandaran ikon muslimah kontemporari ini akan berjaya dilahirkan atau sekadar fantasi yang direalitikan ?
Sudah pasti akan wujudnya kesan positif dan negatif pada program yang bakal berlangsung ini. Apatah lagi, istilah program realiti semestinya akan menjadi tatapan umum masyarakat sekaligus akan menimbulkan fitnah kerana pesertanya pula hanya dikalangan kaum Hawa sahaja.
Segala perlakuan dan perbuatan peserta sepanjang program tersebut akan menjadi tontonan ramai sekaligus membuka ruang pada khalayak masyarakat mencambahkan pelbagai persepsi terhadap wanita.
Biarpun jaminan telah diberikan oleh pihak penganjur, program yang direncanakan itu berlandaskan syara'.
Namun sejauh mana ianya dapat direalisasikan atau hanya sekadar fantasi yang direalitikan dengan sandaran kepada agama sebagai taruhan.
Wanita adalah perhiasan kecantikan dunia, maka sudah pasti kedudukannya tinggi di sisi agama, justeru pelbagai perkara harus dititik beratkan terutamanya penampilan dan pemakaian agar tidak sehingga berlebih-lebihan.
Istilah “ TABARRUJ ” didalam Al-Quran yang menjadi bukti kepentingan menjaga dan memelihara aurat itu perlu pada setiap wanita sejajar dengan firman Allah SWT yang bermaksud :
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka. Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya."
(Surah An-Nur, 31)
Sesungguhnya posisi kaum Hawa tidak seperti kaum Adam di dalam meneladani arena dakwah untuk berdepan dengan masyarakat.
Oleh kerana demikian, ketrampilan muslimah dalam melebarkan sayap dakwahnya tidak perlu membatasi lelaki dan ini memberikan kepada kita untuk berfikir apakah medium terbaik untuk menyampaikan dakwah daripada golongan wanita.
Realitinya kini, kita ketandusan tenaga muslimah yang mampu mendalami dan menerangkan secara jelas mengenai Feqh Wanita sebaliknya kaum Adam pula mampu memahami dan menyampaikan dengan begitu baik sekali, mengapa tidak muslimah sendiri yang mendalaminya ?
Walau bagaimanapun, semangat dan perencanaan pihak Astro dalam memandang serius keperluan muslimah dalam pentas masyarakat boleh diberikan pujian .
Ini memberikan petanda baik bahawa pihak media menyedari kebejatan moral masyarakat kini semakin menular sehingga memerlukan golongan muslimah sendiri sebagai pendakwah .
Apa yang diharapkan agar Ustazah Pilihan ini benar-benar menjadi batu loncatan kepada golongan muslimah betapa pentingnya memahami konsep dakwah dan dapat melahirkan generasi Ustazah yang berkualiti dalam segala aspek sekaligus dapat menampung kehendak semasa bukan hanya fantasi yang direalitikan semata-mata.
NURAIN BT YAACOB
Timbalan Pengerusi
Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2011
Sumber : pmram.org
0 comments:
Post a Comment