Sunday, October 16, 2011

Sistem Hisbah Pelihara Islam

Posted by UPP DPMZ On 1:27 PM No comments


Jeneral Saad Abdullah menggesa seluruh negara Islam 
menubuhkan Badan Amar Ma'ruf Wa Nahy An Mungkar.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Okt – Semua kerajaan Islam termasuk Negara Brunei Darussalam digesa supaya menubuhkan sebuah badan yang mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran yang dilaksanakan di bawah sistem Hisbah, yang turut mampu mencegah jenayah daripada berlaku, sebagaimana menjadi amalan di Arab Saudi sekian lamanya.
Tugas Badan Amar Ma’ruf Wa Nahy An Mungkar adalah membimbing dan menasihati orang ramai mengikuti kewajipan agama yang ditetapkan syari’at Islam dan mengajak mereka menunaikannya serta menegah daripada mungkar dengan apa-apa tindakan yang menghalang perkara haram dan ditegah oleh syara’ dilakukan atau pun mengikuti adat dan ikutan tidak elok atau bid’ah yang mungkar.

Tatkala masyarakat di Barat mula sedar akan bencana kerosakan yang melanda masyarakat mereka pada ketika ini, mereka pun menubuhkan pasukan yang dinamakan sebagai polis komuniti, yang berperanan seperti Badan Amar Ma’ruf Wa Nahy An Mungkar itu, ujar Jeneral Saad Abdullah AlArifie.

Maka jika masyarakat Barat pun sudah terpanggil untuk melaksanakan Hisbah walaupun bukan bertolak dari asas syara’, tetapi daripada keinginan mereka untuk memelihara masyarakat mereka daripada bencana kerosakan akhlak, apatah lagi masyarakat Islam yang sememangnya diperintahkan Allah berbuat sedemikian.

Firman Allah dalam Ayat 104 Surah Al-Imran yang kira-kira bermaksud, “Hendaklah ada di kalangan kamu sekumpulan yang mengajak kepada kebaikan, menyuruh melakukan perkara yang elok dan mencegah daripada melakukan perkara mungkar, mereka itulah sebenar-benarnya golongan yang berjaya.”

Menurut pembentang kertas kerja “Sistem Hisbah dan Kesannya dalam Memelihara Matlamat dan Tujuan Syara” itu, kerajaan Arab Saudi sebagai satu-satunya kerajaan di dunia ini yang melaksanakan syariat Islam secara umumnya dan melaksanakan amar ma’ruf dan nahy mungkar secara khususnya.

Melalui Badan Amar Ma’ruf Wa Nahy An Mungkar di bawah sistem Hisbah itu Arab Saudi mendapat kesan yang begitu besar iaitu keamanan dan kestabilan negara serta berjaya mengawal rakyatnya daripada melakukan perkara buruk yang melanda kebanyakan negara di dunia, tambahnya.

Antara peserta Seminar Antarabangsa Perundangan Islam
yang mendengarkan pembentangan Jeneral Saad Abdullah.

“Badan itu mempunyai pengaruh besar terhadap warga Arab Saudi yang boleh menjadi contoh ikutan bagi dunia Islam lain dalam memelihara segala urusan keagamaannya, antaranya memelihara maruah dan melindungi akhlak kaum Muslimin dengan memerangi segala yang tidak elok dan menyemarakkan segala yang baik.”

Menurutnya lagi dalam Seminar Antarabangsa Perundangan Islam itu, badan berkenaan menghalang pergaulan dan percampuran bebas, mendedahkan aurat dan mempamerkan hiasan kecantikan, mengawasi sekolah-sekolah perempuan dan pasar, menghalang para belia dari melepak di pasar raya dan mengekori wanita.

Contoh paling ketara, menurutnya, adalah sewaktu pelawat dari negara lain sama ada Islam atau bukan Islam datang, mereka akan menyaksikan apabila tiba waktu solat, maka semua kedai dan premis perniagaan akan ditutup, dan semua orang akan ke masjid bagi menunaikan solat berjemaah.

“Begitu juga mereka akan melihat bahawa tidak terdapat sebarang gejala lain yang merosakkan tatasusila Islam atau yang bercanggah dengan ajaran Islam yang suci, mereka tidak akan temui panggung wayang, tempat perjudian, tempat menjual arak, pendedahan aurat dan memperagakan diri oleh wanita, dan tempat pergaulan bebas lelaki dan perempuan.”

Indahnya lagi menjelang Ramadhan setiap tahun, Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan surat keliling menyeru setiap anggota masyarakat yang bukan Islam supaya jangan makan dan minum secara terang-terangan di depan orang Islam, menutup kedai makan dan minum, serta tidak boleh menghidangkan makanan di siang hari.

Menurut pembentang dari Arab Saudi itu lagi, disebabkan pelaksanaan Hisbah itu tergendala di kebanyakan masyarakat Islam, maka pengertian Hisbah dan kefahamannya dilupakan sehingga ia seolah-olah menjadi suatu yang baru dalam masyarakat Islam.

Beliau menerangkan, Hisbah adalah menyuruh berbuat kebaikan apabila nyata ia ditinggalkan atau tidak dilakukan dan melarang daripada mungkar apabila nyata perbuatan itu dilakukan serta merapatkan hubungan antara manusia. Ia adalah satu jawatan keagamaan dari bab menyuruh kebaikan dan melarang kemungkaran.

Sistem Hisbah adalah satu aspek amali dan pelaksanaan sebenar bagi amalan “menyuruh kepada kebaikan dan menegah dari kejahatan” yang bukan saja penting bagi pembangunan dan kemajuan umat, tetapi juga merupakan tapak yang menjadi asas bagi mendirikan Rukun Islam dan menzahirkan syiarnya.

“Hisbah bukan saja antara cara terpenting membentuk masyarakat ke arah keamanan dan kedamaian tetapi juga menjadi langkah yang dapat menghalang jenayah daripada berlaku, tonggak kepada keamanan masyarakat dan bahtera kepada keselamatan umat ini.”

Hisbah adalah satu bentuk jaminan sosial dalam sistem kemasyarakatan Islam. Jika zakat dan sedekah menjadi jaminan sosial di sudut kebendaan, maka Hisbah adalah merupakan jaminan sosial di sudut moral.

Ia menjadi pagar pelindung daripada segala keburukan dan bahaya yang boleh mengancam binaan masyarakat berkenaan, bahkan ia menjadi kumpulan yang bekerja untuk menghalang berlakunya kerosakan serta membetulkannya jika berlaku, katanya.


0 comments:

Sahabat