Jenayah Rogol atau Pemerkosaan adalah satu daripada bentuk perzinaan malah jenayah ini lebih keji dan jahat. Sedangkan zina yang diharamkan itu,merupakan perlakuan keji dan salah satu daripada dosa - dosa besar dalam Islam. Tidak terdapat satu agama dalam dunia pun yang mengharuskan perbuatan tersebut.
Oleh itu, Islam menjatuhkan hukuman yang berat keatas pelakunya, lebih-lebih lagi zina dan rogol adalah jenayah yang merosakan nasab dan keturunan. Islam mengambil berat soal nasab keturunan dan menggolongkannya antara lima Maqasid AsSyari`ah ( المقاصدالخمسة ) yang wajib dijaga dan dipelihara.[1] Jenayah ini dijanjikan oleh Allah SWT dengan hukuman berat di dunia dan azab yang pedih di akhirat.
FirmanNya :
وَلاَ تَقْرَبُواْ الزِّنَى إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاء سَبِيلاً
Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).
(Surah Al Israa' : 32)
FirmanNya lagi :
وَالَّذِينَ لَا يَدْعُونَ مَعَ اللَّهِ إِلَهًا آخَرَ وَلَا يَقْتُلُونَ النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَلَا يَزْنُونَ وَمَن يَفْعَلْ ذَلِكَ يَلْقَ أَثَامًا
Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya".
(Surah Al Furqaan : 68)
يُضَاعَفْ لَهُ الْعَذَابُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَيَخْلُدْ فِيهِ مُهَانًا
Akan digandakan baginya azab seksa pada hari Kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan".
(Surah Al Furqaan : 69)
2.Dalil-dalil pensyariatan hukuman Hudud keatas pesalah
Pensyariatan hukuman Sebat adalah berdasarkan firman Allah SWT :
الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ ۖ وَلَا تَأْخُذْكُمْ بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۖ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman".
( Surah An Nur : 2 )
Manakala hukuman Rejam pula adalah berdasarkan AsSunnah seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim RA dalam Sohihnya bahawa Nabi MuhammadSAWmemerintahkan hukuman rejam keatas Maiz RA dan seorang perempuan daripada Bani Ghamid yang sabit dengan pengakuan mereka.[2]
Dan Ijma` Sahabat (bersepakat) tentang pensyariatan hukuman rejam.
Manakala hukuman taghrib (التغريب ) dibuang negeri adalah berdasarkan hadith Baginda Nabi SAW :
"خذوا عنى خذوا عنى قد جعل الله لهن سبيلا البكر بالبكر جلد مائة ونفى سنة والثيب بالثيب جلد مائة والرجم"[3
Bermaksud : "Ambilah jalan penyelesaian daripadaku (dua kali), sesungguhnya Allah telah menentukan jalan (hukuman) bagi mereka, bagi penzina bujang sebatan seratus sebatan dan dibuang negeri selama setahun, dan yang dah berkahwin pula disebat dan direjam".
3.Definisi
Rogol adalah satu daripada bentuk perzinaan.
Zina adalah persetubuhan antara lelaki dan perempuan melalui kemaluan tanpa milik[4] atau syubhah (kekeliruan) milik.[5] Ini adalah takrif di sisi jumhur ulama.
Rogol atau pemerkosaan adalah perzinaan yang lakukan secara dipaksa dan mangsa adalah seorang perempuan.
Bentuk-bentuk paksaan (الإكراه), dua pendapat[6]
Ulama mazhab Hanafi; paksaan dua bentuk:
1. (أو الكامل الإكراه الملجىء)
Paksaan yang menyebabkan mangsa tiada pilihan dan tiada kuasa melawan, dan diancam dengan perkara yang memberi bahaya pada nyawanya, atau anggota badannya.
Contoh : Mangsa diancam akan dibunuh atau dipotong anggotanya ataupun mangsa dipukul pukulan berat yang mencederakan, berturut yang memungkinkan bahaya kepada nyawa atau anggota badan. Hukumnya: Paksaan menyebabkan tiada sifat redha (kerelaan)dan tiada kemampuan menentang.
2. ( أو الناقص الإكراه غير الملجىء)
Ancaman yang tidak membahayakan nyawa atau anggota badan.
Contoh : Mangsa diancam akan dipenjarakan,atau diikat,atau pukulan yang tidak mencederakan,ataudiancam akan memusnahkan harta. Hukumnya: Paksaan menyebabkan tiada sifat redha (kerelaan) tetapi mampu menentang.
Ulama mazhab Syafi`e,Maliki dan Hanbali; paksaan hanya satu bentuk:
(الإكراه الملجىء أو التام)
Paksaan yang menyebabkan mangsa tiada pilihan dan tiada kuasa melawan, dan diancam dengan perkara yang memberi bahaya pada nyawanya, atau anggota badannya. Selainnya tidak dinamakan paksaan.
Berkata ulama mazhab Syafi`e; hukum berbeza berdasarkan keadaan seseorang ,dan ancaman tersebut tidak bertempoh. Paksaan berlaku dengan ancaman menakutkan seperti pukulan dahsyat, penjara dan merosakan harta mangsa.
Syarat-syarat utama paksaan tersebut :
1. Pengancam mampu melakukan perkara yang diancamnya keatas mangsa.
2. Mangsa tidak mampu melawan atau mengelak dengan melarikan diri atau selainnya.
3. Mangsa bertanggapan bahawa jika dia melawan, akan akan berlaku apa yang diancam.
Perempuan yang dipaksa melakukan perzinaan tidak dijatuhkan hukuman Hudud keatasnya, sama ada paksaan tersebut bersifat (الإكراه الملجىء) atau (الإكراه غير الملجىء ).
Walaubagaimana pun, penafian hukuman Hudud tidak menafikan pengharaman zina, kerana zina dan bunuh adalah jenayah yang tidak diharuskan dalam apa jua keadaan sekalipun (walau dipaksa atau terpaksa). Ini adalah pendapat yang disepakati ulama [7].
Dalam kes rogol, paksaan keatas mangsa adalah bersifat (الإكراه الملجىء أو التام ) yang mana mangsa tidak dapat melawan dan mengelak bahkan dicederakan ketika berlakunya jenayah tersebut. Namun jika mangsa mampu melawan, dia wajib mempertahan dirinya berdasarkan hukum (دفع الصائل ).
4.Hukuman
Pesalah boleh dijatuhkan satu atau lebih dari hukuman berikut berdasarkan bukti-bukti dan keterangan yang diberikan kepada hakim.
Hudud :
1. Hudud jenayah zina;
Perogol yang telah sabit kesalahannya dengan bukti-bukti dan keterangan yang dikehendaki oleh syarak tanpa sebarang keraguan dipihak hakim akan dijatuhkan hukuman yang sama seperti pelaku jenayah zina :
· Jika pesalah ghair muhsan (محصن (غيرiaitu yang belum pernah berkahwin : disebat seratus sebatan dan taghrib (التغريب )iaitu dibuang negeri selama setahun.[8]
· Jika pesalah muhsan (محصن ) iaitu yang sudah atau pernah berkahwin: direjam sehingga mati Hukuman ini sabit dengan Ijma` ulama tanpa khilaf.[9]
· Hukuman sebatan bagi penzina muhsan adalah khilaf ulama, pendapat jumhur; yang wajib adalah rejam tanpa sebat .[10]
2. Hudud jenayah Hirabah;
Dalam kes ini terdapat unsur mencederakan atau unsur ancaman ( التخويف)samada ancaman terhadap nyawa,harta benda dan lain-lain,kepada mangsa yang boleh menyebab pesalahnya juga boleh disabitkan dengan hukuman lain iaitu, hukuman Hirabah[11] (حد الحرابة ).
Hukuman Qisas[12](القصاص),
Hukuman ini dijatuhkan jika tertuduh terbuti mencederakan atau membunuh mangsa.
Ta`zir (التعزير)[13],
Tertuduh boleh dijatuhkan hukuman ta`zir jika bukti-bukti yang ada tidak dapat mensabitkan hukuman hudud. Penentuan bentuk hukuman ta`zir adalah terserah kepada hakim seperti yang ditetapkan dalam undang-undang.[14]
Hukuman tambahan,
Namun begitu, hukum tambahan bagi kesalahan rogol, iaitu;
· Perogol wajib membayar mahar misil ( مهر المثل ) kepada mangsa.[15]
· Perogol wajib membayar kepada mangsa pampasan الأرش) ) atau pampasan (الدية)
jika mangsa dicederakan[16], dan pada masa yang sama pesalah tidak disabitkan dengan hukuman Qisas.
5.Syarat-syarat perlaksanaan hukuman Hudud[17]
Hukuman Hudud tidak dapat dilaksanakan melainkan setelah memenuhi segala syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak:
1. Baligh : Dewasa sahaja yang dijatuhkan hukuman Hudud, ini disepakati ulama.
2. Berakal : Orang gila tidak dijatuhkan hukuman Hudud, ini juga disepakati ulama.
3. Muslim : non muslim tidak dihukum hudud tetapi dijatuhkan hukuman Ta`zir(التعزير), namun jika dia morogol seorang muslimah,non muslim tersebut dihukum bunuh dengan sebab melanggar perjanjian (عهد الذمة) dengan pemerintah[18]. Manakala jika sesama suka, muslimah tersebut sahaja dihukum Hudud. Ini adalah pendapat ulama mazhab Maliki.Pendapat terkuat adalah pendapat jumhur ulama, non muslim tetap dihukum Hudud, tetapi tidak direjam disisi mazhab Hanafi.
4. Sukarela :Perempuan yang dipaksa atau dirogoltidak hukum secara disepakati ulama. Namun ulama berselisih pendapat tentang lelaki yang dipaksa berzina; pendapat jumhur ulamak ,dia tidak dihukum,berbeza dengan pendapat mazhab Hanbali.
5. Persetubuhan sesama manusia : jika seseorang bersetubuh dengan selain manusia binatang contohnya,dia hanya dijatuhkan hukuman ta`zir.
6. Perempuan yang disetubuhi seorang dewasa : Ini adalah syaratdisisi mazhab hanafi. Disisi jumhur orang yang bersetubuh secara haram dengan kanak –kanak perempuan tetap dihukum hukuman Hudud.
7. Tiada keraguan : Jika berlaku Syubhah (kekeliruan dipihak tertuduh atau kesamaran dari segi bukti pendakwaan) maka Hudud tidak laksanakan.
8. Mengetahui zina adalah haram : Orang yang tidak mengetahuinya tidak dihukum Hudud (iaitu dengan sebab baru memeluk Islam atau hidup jauh dari ulama[19]).
9. Perempuan yang disetubuhi adalah selain kafir harbi dan berlaku di negara harb (yang menjadi musuh Negara Islam) : Ini adalah syarat disisi mazhab Hanafi, disisi jumhur ulama pula penzina tetap dihukum hukuman hudud walaupun berzina dengan perempuan harbi dan di negara harbi.
10. Perempuan yang disetubuhi bernyawa : Orang yang bersetubuh dengan mayat tidak dijatuhkan hukuman Hudud disisi Jumhur ulama, berbeza dengan pendapat yang masyhur dalam mazhab Maliki.
11. Bersetubuhan haram itu tersebut benar-benar berlaku : iaitu dengan memasukkan Hasyafah zakar(kepala kemaluan lelaki) atau ukurannya ke dalamfaraj perempuan.
Walaupun dalam beberapa keadaan diatas tidak dapat menghukum tertuduh dengan hukuman hudud namun pihak hakim dapat menjatuhkan hukuman Ta`zir jika terdapat Qarinah (bukti-bukti lain yang menguatkan dakwaan tetapi tidak dapat menjatuhkan hukuman Hudud) .
6.Kaedah-kaedah pensabitan kesalahan jenayah rogol
1. Jika mengambil hukuman zina;
Ijma`(tiada perselisihan pendapat)dikalangan ulama bahawa jenayah zina sabit :
- dengan Iqrar (pengakuan pesalah), atau;
- dengan Syahadah (penyaksiaan) empat orang saksi lelaki Muslim yang merdeka (bukan hamba sahaya) yang Adil (tidak Fasik).[20]
Dan yang menjadi khilaf (perselisihan pendapat) dikalangan ulama, adakah kehamilan menjadi bukti dakwaan zina? Dua pendapat;
- Disisi mazhab Syafi`e dan Hanafi, kehamilan tidak menjadi bukti yang boleh mensabitkan hukuman Hudud, kerana Hudud tidak sabit dengan Qarinah. Pendapat ini adalah lebih kuat.
- Disisi mazhab Maliki, kehamilan menjadi bukti yang boleh mensabitkan hukuman Hudud, mazhab Hanbali pula mensyaratkan bahawa suami wanita hamil tersebut berjauhan dengannya.
2. Jika mengambil hukuman Hirabah dan Qisas:[21]
Pensabitan kesalahan berlaku dengan;
- Iqrar (pengakuan pesalah), atau;
- Dua orang saksi, lelaki, muslim, yang adil.
7.Persoalan-persoalan berkaitan kes rogol
- Soalan : Adakah hukuman hudud boleh dijatuhkan berdasarkan bukti-bukti – contohnya DNA,kamera CCTV, gambar dan lain-lain - selain daripada saksi dan pengakuan penzina atau perogol?
Jawapan : Tidak , kerana hukuman Hudud jenayah zinadalah hak Allah Taala[22], jadi hudud tidak dapat dijatuhkan kepada pesalah kecuali dengan Iqrar atauSyahadah di sisi mazhab Syafie dan Hanafi.[23]
- Soalan : Bolehkah perogol dijatuhkan hukuman bunuh tanpa Hudud?
Jawapan : Boleh dihukum bunuh secara ta`zir siyasah, berdasarkan mazhab hanafi dan maliki yang mengharuskan hukuman bunuh secara ta`zir.[24]Hukuman ini boleh dijatuhkan oleh pihak hakim keatas pesalah jika pesalah tidak dapat disabitkan dengan hukuman Hudud, apabila hukuman bunuh ini difikirkan perlu dengan menjadikan Qarinah sebagai bukti dakwaan.
8.Penutup
Perlu diingatkan bahawa hukuman hudud (rejam dan sebat) tidak dapat dilaksanakan melainkan jika dakwaan sabit dengan Iqrar dan Syahadah, ini disisi jumhur ulama, kerana;
- Hukuman jenayah zina adalah hak Allah SWT, jadi hukuman Hudud tergugur (tidak dilaksanakan) kerana Syubhah.Jenayah berkaitan hak Allah SWT sunat disembunyikan, [25] (tidak didakwa di mahkamah melainkan jika jenayah tersebut tersebar dan membawa kerosakan yang lebih besar pada masyarakat, misalnya jenayah rogol).
- Antara prinsip utama perlaksanaan undang-undang jenayah dalam Islam; hukuman keatas pesalah bukanlah matlamat utama, tetapi bermatlamatkan mendidik pesalah dan hukuman hanyalah menjadi jalan untuk mencapai kesejahteraan individu dan masyarakat.[26]
Pemerintah wajib menentukan bentuk hukuman ta`zir yang sesuai bagi menjaga kemaslahatan rakyat. Bukan semua pendapat rajih (kuat dari segi dalil), sesuai dipraktikan dalam masyarakat secara amnya,dan sistem perundangan khasnya.
Penentuan hukum dalam bidang fatwa dan kehakiman adalah bebeza sama sekali dengan pentarjihan dalam kitab-kitab . Ini adalah kerana perubahan fatwa dan hukuman adalah dipengaruhi oleh perbezaan individu, keadaan, masa, tempat, maqasid syarak yang khas bagi sesuatu masalah furu`.
Oleh itu penentuan hukum tersebut hendaklah ditentukan oleh orang yang benar-benar Adil, berautoriti dan layak, (lajnah fatwa atau perundangan sesuatu tempat misalnya) yang mengkaji dan memahami secara terperinci kesesuian dalam memilih sesuatu pendapat untuk dipraktikan.
Maka seorang hakim hendaklah menjatuhkan hukuman yang memberi maslahat (kebaikan) kepada pesalah dan mangsa bukan sahaja di dunia bahkan juga di Akhirat.
والله أعلم بالصواب وإليه مآب وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
Disediakan oleh :
1. Mohd Farid Bin Yahaya
2. Ahmad Kamal Bin Mansor
Felo MANHAL PMRAM
______________________________________________________________
Rujukan :
[1]المقاصدالخمسة الضروريات الخمسة) ) : Iaitu keperluan yang menjadi tujuan dan matlamat pensyariatan Islam, iaitu keperluan menjaga agama, nyawa, akal, harta, dan nasab keturunan.
Lihat :Prof. Dr. Ali Goma`a, ( المقاصدالشرعية لترتيب فقهية حضرية رؤية ),Nahdetmisr: Kaherah, 2011, m.s 13.
[2]Hadith no. 1695, Sohih Muslim bi Syarh AnNawawy ( صحيح مسلم بشرح النووي),Dar alHadith: Kaherah, 2001, jil 6, m.s 211.
[3]Ibid, Hadith no. 1690, jil 6, m.s 204.
[4]Iaitu memiliki hak untuk bersetubuh dengan sebab perkahwinan atau perhambaan.
[5]Prof.Dr. Wahbah AzZuhaily, Al Fiqh Al Islamy Wa Adillatuh- - الفِقْهُ الإسلاميُّ وأدلَّتُهُ ,Dar Al Fikr: Syiria, 2007, jil 7, m.s 5349.
[6]Ibid, jil 6, m.s 4433-4434.
[7] Jalaluddin AsSyuthi, Al Asybah Wa AnNazhoir (الأشباه والنظائر),Dar Al-Kotob Al-Ilmiyah:Lebanon,2007,jil 1, m.s436.
[8]Ini adalah pendapat jumhur ulama berbeza dengan ulama mazhab Hanafi, disisi mereka hukumannya hanyalah sebat seratus sebatan sahaja.
Lihat :Dr. Ameer Abdel Azeez , Al Fiqh Al Jina`ey fil Islam( في الإسلام الجنائى الفقه), Dar AsSalam: Kaherah, 2007, m.s 294-296.
[9]Lihat: Syamsuddin ArRamly, Nihayatul Muhtaj ,( نهايةالمحتاج ) , Mustafa Al Halabi: Kaherah, 1967, jil7, m.s426.
Prof.Dr. Wahbah AzZuhaily, Al Fiqh Al Islamy Wa Adillatuh , m.s 5360-5362.
Hj. Said Hj. Ibrahim (bekas Mufti negeri Sabah),Kanun jenayah Syar`eyyah, Dar Makrifah Kuala Lumpur: t.t, m.s31-32.
[10]Op. cit, AnNawawy, jil 6, m.s 205.
[11]Hirabah: Jenayah berbentuk ganguan terhadap ketenteraman awam, sama ada untuk (membunuh, mencederakan, menakutkan, atau) mengambil harta secara kekerasan, dengan cara menghalang orang awam dan menyekat laluan, sama ada penyekatan dilakukan secara berkumpulan mahupun individu yang mempunyai kuasa, sama ada menggunakan senjata ataupun selainnya.Lihat :Op. cit, Dr. Ameer Abdel Azeez , m.s 294-296.
[12] Iaitu hukuman bunuh balas atau, hukuman mencederakan pesalah dengan cara yang sama yang telah dilakukannya keatas mangsa.
[13](التعزير):Hukuman yang dijatuhkan keatas pesalah yang melakukan maksiat atau jenayah yang tidak ditentukan hukuman hudud mahupun kaffarah. Ibid, m.s 5591.
[14] Contoh bagi takzir secara umum; denda, sebatan kurang daripada hudud, penjara, dll.
[15]Op. cit, Jalaluddin AsSyuthi, jil 2, m.s 85.
[16]Op. cit,Hj. Said Hj. Ibrahim,m.s39-40.
[17]Op. cit, Prof.Dr. Wahbah AzZuhaily, jil 7 ,m.s 5362-5365.
[18]Ali bin Nayif as-Syuhud, ((المفصل في شرح الشروط العمرية Maktabah Syamela.
[19]Al Mawardy, Al Hawy Al Kabir,(كتاب الحاوى الكبير ـ العلامة أبو الحسن الماوردى-),Dar Al Fikr: Beirut, jil 9, m.s 49.
Op. cit, Prof.Dr. Wahbah AzZuhaily, jil 7 ,m.s5359.
Op. cit, Syamsuddin ArRamly, m.s426.
[20]Op. cit, Prof.Dr. Wahbah AzZuhaily, jil 7 ,m.s 5371.
[21]Ibid, jil ,m.s
[22]Hak Allah Taala : Iaitu setiap perkara yang tidak boleh digugurkan perlaksanaannya ( mesti dilaksanakan jika mencukupi segala syarat)- Op. cit, Prof.Dr. Wahbah AzZuhaily, jil 7m.s 5369.
[23]Rujuk perbezaan mazhab dalam mengambil kira qarinah dalam pensabitan hukum, Ibid,jil 7 ms 391.
[24]. Op. cit, Prof.Dr. Wahbah AzZuhaily, jil 7m.s 5594.
[25]As Syarbini, Mughni al Muhtaj (مغني المحتاج ), Mustafa Al Halabi: Kaherah, 1958, jil 4, m.s398.
[26]Op. cit, Prof.Dr. Wahbah AzZuhaily, jil 7 ,m.s 5302.
Sumber : pmram-manhal.blogspot.com
0 comments:
Post a Comment