Jika Muharam
bermula dengan niat, azam dan tekad yang baru untuk menghijrahkan diri pada
keimanan, apa pula kisahnya di bulan kedua dalam kalendar Hijrah bagi tahun
Qamariah (perkiraan bulan mengelilingi bumi) dalam Islam iaitu bulan
Safar yang sedang kita jalani kini?
Safar bererti
kosong. Dinamakan Safar kerana dalam bulan ini orang-orang Arab sering
meninggalkan rumah mereka menjadi kosong kerana melakukan serangan dan menuntut
pembalasan ke atas musuh-musuh mereka. Antara peristiwa penting yang berlaku
dalam sejarah Islam pada bulan ini ialah Peperangan Al-Abwa pada tahun
kedua Hijrah, Peperangan Zi-Amin pada tahun ketiga Hijrah dan Peperangan
Ar-Raji (Bi’ru Ma’unah) pada tahun keempat Hijrah.
Di Malaysia, pada
bulan ini, terdapat segelintir umat Islam mengambil kesempatan melakukan
perkara-perkara bidaah dan khurafat yang bertentangan dengan
syariat Islam. Dikatakan juga bulan Safar ini sebagai bulan bencana. Adakah
setiap musibah atau bencana yang berlaku itu hanya di bulan Safar? Jika benar,
bagaimana dengan banjir besar dalam dua fasa di Johor yang lalu dan pelbagai
bencana menggemparkan melanda seluruh umat sepanjang 11 bulan lain pada setiap
tahun? Logik akal sudah menjelaskan betapa dangkal,batil dan jahilnya pengamal
adat, budaya dan kepercayaan karut sedemikian. Firman Allah SWT telah
berfirman yang bermaksud:
“Katakanlah (Muhammad), tidak akan menimpa
kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung
kami, dan hanya kepada Allah bertawakkallah orang-orang yang beriman.”
(Surah At-Taubah, Ayat: 51)
Dan Rasulullah SAW telah bersabda
yang bermaksud,
“Tiada jangkitan dan tiada keburukan binatang
terbang dan tiada kesialan bulan Safar dan larilah (jauhkan diri) daripada
penyakit kusta seperti mana kamu melarikan diri dari seekor singa.”
(Hadith Riwayat Bukhari)
Berbeza dengan
keadaan kita, musim Syita’ di Mesir jatuh pada bulan Safar menandakan bahawa Imtihan
fasal pertama telah tiba. Jika orang Arab terdahulu mengosongkan rumah mereka
dari segi fizikal, dan jika selepas kedatangan Islam, berlaku peperangan untuk
menegakkan kalimah yang Haq di atas muka bumi ini, kita, sebagai mahasiswa Islam
keluar untuk ‘berperang’ dari sudut mental,melengkapkan diri dengan senjata
iman dan perisai takwa. Justeru,imtihan juga menguji jiwa kita selaku ‘hamba’
Safar kerana hakikatnya manusia itu tidak memiliki apa-apa melainkan jiwa yang
dekat kepadaNya. Namun janganlah pula menjadikan imtihan sebagai satu sudut
medan tarbiyah rohani lebih berbanding bulan-bulan sebelum atau selepasnya. Pengharapan
kepada Allah itu penting, namun didahului dengan usaha terbaik dan strategi
yang mantap. Setinggi dan sebijak mana pun seseorang hamba maka akhirnya
pergantungan itu kembali kepada Allah. Jiwa yang ‘kosong’ itu hendaklah
dipenuhi dengan aliran keimanan. Jadilah hamba ‘Safar’ yang sentiasa memenuhi
jiwa dengan amalan yang diredhai Allah SWT.
Wallahu ta’ala
a‘alam…
Muhammad Nasuha Bin Mohd Zakariah.
Timbalan Setiausaha Agung,
Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig,
Sesi 2011/2012.
0 comments:
Post a Comment