Apabila berbicara tentang peristiwa Israk dan Mikraj ini, kita
secara spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah S.A.W
bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua
fasa.
1.Israk yakni perjalanan Nabi SAW
menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa,
di Baitulmaqdis, Palestin.
2.Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh.
Perjalanan Rasulullah S.A.W ini telah diabadikan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra' ayat 1 yang bermaksud;
"Maha Suci Allah, yang telah
memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al
Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan
kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya
Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah S.A.W hanya berlangsung pada satu malam.
Para ulama, hadis, ulama feqah dan ulama tafsir secara umum
menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana kedua-duanya
berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda SAW sedar. Ia
berlaku pada jasad atau tubuh dan roh Nabi SAW bukannya roh sahaja.
Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana
Allah menegaskan "asra bi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam.
Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad S.A.W
yang mana meliputi batang tubuh dan rohnya serentak bukannya rohnya
sahaja. Jika ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu firman Allah
itu berbunyi "asra bi rohi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan roh hamba-Nya pada waktu malam tetapi yang berlaku sebaliknya di mana Allah secara jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hamba-Nya iaitu Nabi SAW dalam keadaan tubuh dan rohnya serentak.
Peristiwa ini pada pandangan orang yang tidak beriman atau mereka
yang tipis imannya, mereka menyatakan bahawa peristiwa ini tidak
mungkin akan berlaku atau pun mereka berbelah bahagi samada mahu
mempercayainya atau pun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang benar-benar
beriman kepada Allah dan rasul-Nya maka mereka tetap percaya dengan
penuh keimanan kepada peristiwa ini.
Setelah baginda S.A.W menceritakan apa yang telah terjadi padanya
kepada masyarakat umum maka orang-orang kafir bertambah kuat mengejek
dan mendustakan baginda S.A.W. Fitnah terhadap baginda S.A.W bertambah
kuat malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah memeluk
Islam telah pun murtad kembali. Manakala bagi mereka yang begitu
membenarkan baginda S.A.W maka iman mereka tetap utuh sebagaimana kita
lihat kepada reaksi Sayyidina Abu Bakar apabila dia mendengar berita
daripada orang ramai tentang apa yang telah diberitahu oleh Nabi S.A.W
lalu beliau dengan tegas menyatakan :
"Benar! Aku menyaksikan bahawa engkau
merupakan Rasulullah. Jika baginda S.A.W mengatakan bahawa baginda
telah diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman
kepadanya". Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi
Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai Allah dan rasul-Nya sehingga
beliau digelar as-Siddiq yang membawa maksud pembenar.
Selain itu, pernah juga diriwayatkan Rasulullah S.A.W berjumpa
dengan pelbagai keadaan manusia ketika di dalam perjalanan tersebut.
Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini seringkali
diulangcerita oleh para penceramah setiap kali sambutan Israk dan
Mikraj diadakan, kita boleh lihat iaitu roh dan intipati di sebalik peristiwa
ini masih tidak meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam.
0 comments:
Post a Comment