Sunday, January 20, 2013

Pengaruh Media Elektronik Terhadap Keruntuhan Akhlak Pelajar

Posted by UPP DPMZ On 11:58 PM No comments



Abdullah Sulong & Mawaddah Abdullah
Fakulti Pendidikan,
Universiti Teknologi Malaysia




Abstrak : Kajian ini bertujuan untuk melihat pengaruh dan hubungan yang wujud antara media elektronik dengan keruntuhan akhlak pelajar. Fokus kajian meliputi pemerhatian terhadap kandungan bahan-bahan yang ditayangkan, penayangan waktu siaran, pemantauan ibu bapa, dan penampilan personaliti televisyen. Kajian ini dijalankan di Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia, Skudai. 

                 Satu set soal selidik yang mengandungi 33 item telah diedarkankepada 91 responden daripada tiga kursus yang dipilih sebagai responden kajian. Walaubagaimanapun, hanya 87 responden yang mengembalikan. Ianya dianalisis secara deskriptif bagi mendapatkan nilai kekerapan, peratusan, dan min dengan menggunakan Statistical Package ForSocial Science (SPSS) versi 13.0 for Windows. Hasil kajian rintis menunjukkan nilai Cronbach’s Alpha 0.808. Secara keseluruhannya, dapatan kajian menunjukkan bahawa kecenderungan responden terhadap permasalahan akhlak membabitkan pelajar adalah sederhana iaitu pada tahap min 3.50. 



              Di samping itu, kandungan bahan-bahan yang ditayangkan, penayangan waktu siaran, pemantauan ibu bapa, dan penampilan personaliti televisyen berada pada tahap min yang sederhana iaitu masing-masing 3.50, 3.10, 3.59, dan 3.28. Analisis secara inferensi dilakukan menggunakan pekali korelasi Pearson (r) dan regrasi (r2) untuk melihat hubungan dan pengaruh yang wujud antara kedua-dua angkubah. Faktor-faktor media elektronik memberikan input yang besar terhadap keruntuhan akhlak pelajar berdasarkan kandungan bahan-bahan yang ditayangkan dengan nilai r = 0.925, r2 = 0.855, penayangan waktu siaran dengan nilai r = 0.764, r2 = 0.584, pemantauan ibu bapa dengan nilai r = 0.853, r2= 0.727, dan penampilan personaliti televisyen dengan nilai r = 0.798, r2= 0.637. 

Katakunci : pengaruh media elektronik,  keruntuhan akhlak pelajar.

                              Pengaruh media elektronik perlu dipantau dan diberi pendedahan yang baik
                                                                                     agar tidak merosakkan pelajar


Pengenalan

Perkembangan industri media amat dirasai pada pertengahan abad 1990an apabila kerajaan telah mengubah dasarnya terhadap perkhidmatan penyiaran, dengan pindaan akta penyiaran yang membolehkan wujudnya siaran televisyen satelit. Begitu juga dipertengahan tahun 1990an, didapati perubahan dasar kerajaan yang memberikan lesen untuk mengendalikan perkhidmatan siaran kepada beberapa stesyen televisyen dan radio swasta bagi merancakkan lagi perkembangan media massa di Malaysia. Hasilnya, media menjadi penyumbang utama kepada corak kehidupan belia hari ini (Samsudin A.Rahim, 1998 : 92).

Media merupakan satu alat yang mampu merangsang dan mempengaruhi sikap serta tingkah laku individu atau masyarakat merangkumi semua aspek kehidupan manusia. Ini kerana, media berperanan dalam membina identiti bangsa dan budaya untuk pembangunan keseluruhannya. Di peringkat budaya, media massa di harap supaya menjadi jambatan penting bagi mewujudkan dialog antara agama dan peradaban pelbagai bangsa di dunia negara agar ia menjadi semakin penting kepada dunia dalam menuju era globalisasi iaitu dunia tanpa sempadan. Oleh itu, pelbagai kemudahan sosial dan budaya disalurkan melalui televisyen, VCD,
majalah, buku cerita, radio, telefon bimbit, internet, dan lain-lain kemudahan yang sedia ada.

Media massa bukan sahaja merupakan saluran maklumat bagi memperolehi hiburan dan pengetahuan, tetapi juga mencorakkan pelbagai tingkah laku sosial, budaya, perkembangan personaliti dan seterusnya memperkasa kendiri individu sama ada ke arah positif ataupun sebaliknya. Justeru, pengaruh negatif media massa yang terdiri daripada media cetak dan media elekronik ini sebenarnya secara tidak langsung mempengaruhi tingkah laku masyarakat.

Fenomena hari ini menyaksikan kewujudan pengaruh media massa seperti media cetak dan media elektronik dilihat sebagai punca yang menyebabkan akhlak belia pincang dan rosak. Hal ini disebabkan, belia kini lebih berminat menonton televisyen, mendengar radio, berinteraksi dengan komputer sama ada bermain ‘game’ komputer atau melayari internet daripada bersemuka dengan ibu bapa dan ahli keluarga. Secara tidak langsung, keasyikan ini menyebabkan pelajaran, kerja rutin harian dan tanggungjawab lain diabaikan.


Pernyataan Masalah
 
Penyalahgunaan media elektronik boleh mengundang berlakunya pelbagai kesan terhadap masyarakat terutamanya golongan remaja yang terdiri daripada pelajar. Sudah menjadi lumrah peringkat umur remaja mudah terikut dengan budaya yang melekakan. Tambahan lagi, dengan kepelbagaian media elektronik seperti televisyen, alat perakam, video, radio/kaset, ‘overhead projector’ (OHP), slaid, komputer, dan sekarang ini dengan kewujudan telefon bimbit yang dibekalkan kemudahan 3G secara tidak langsung memberi impak yang kuat kepada akhlak pelajar.

Akibatnya, berlaku pengimportan budaya asing melalui rancangan-rancangan yang jelas menunjukkan bahawa perancangan musuh adalah untuk merosakkan generasi muda agar leka dan asyik dengan hiburan dan hidup dalam keseronokan yang sementara. Pendedahan kepada hiburan yang keterlaluan menyebabkan golongan remaja banyak membuang masa tanpa memikirkan hala tuju dan masa depan. Kesannya, wujud kegilaan yang keterlaluan dan melampau sehingga terikutikut dengan pembawaan budaya Barat sebagai contohnya kemunculan industri muzik moden seperti rock, reggae, dan rap.

Di samping itu juga, kerancakan perkembangan teknologi telekomunikasi danperkembangan dalam industri serta organisasi media yang memperluaskan liputan di setiap pelusuk dunia tanpa mempunyai tapisan dan tiada pemantauan yang sewajarnya daripada pihak yang bertanggungjawab memungkinkan remaja terdedah kepada pengaruh yang negatif. Hal ini kerana, melalui penayangan program di kaca televisyen sebagai contohnya dilihat banyak mengandungi unsur-unsur yang ditiru daripada budaya asing.


Justeru, polemik tentang isu-isu sosial remaja di negara ini sebenarnya hasil daripada pengaruh industri media. Perkembangan industri media di Malaysia di lihat telah menunjukkan ke arah memperagakan budaya popular seperti yang berlaku di negara barat khususnya Amerika Syarikat. Oleh kerana itulah, penggunaan media perlulah di berikan pemantauan yang sepatutnya bagi mengelakkan penayangan unsur-unsur yang menyumbang kepada keruntuhan akhlak pelajar.


Situasi permasalahan yang berlaku ini mendorong pengkaji untuk membuat kajian mengenai “Pengaruh Media Elekronik Terhadap Keruntuhan Akhlak Pelajar”. Ini kerana mereka merupakan aset dan generasi yang bakal memimpin negara pada masa akan datang serta masalah-masalah timbul di kalangan mereka perlu diberi perhatian sewajarnya.


Objektif Kajian
 
Tujuan utama kajian ini dilaksanakan adalah bagi mengenal pasti pengaruh media elektronik terhadap keruntuhan akhlak pelajar. Secara khususnya objektif kajian penyelidikan ini adalah seperti berikut:

1. Untuk mengenal pasti permasalahan akhlak yang membabitkan pelajar.
2. Untuk melihat sejauh mana hubungan media elektronik dalam menyumbang kepada
keruntuhan akhlak.
3. Untuk mengenal pasti pengaruh media elektronik terhadap masalah akhlak di kalangan
pelajar.

                                  Pendedahan perlu dilakukan disetiap peringkat, tidak memadai hanya di sekolah
                                                                                                        sahaja.


Kepentingan Kajian

Pengkaji sangat berharap melalui kajian yang dilakukan ini dapat dimanfaatkan olehseluruh umat Islam. Antara kepentingan kajian yang dijalankan ini mempunyai beberapa kepentingan iaitu :

1. Membolehkan pihak-pihak berwajib seperti Kementerian Penerangan, Kementerian Kesenian dan Kebudayaan serta beberapa kementerian lain menetapkan spesifikasi rancangan yang akan di tayangan melalui media elektronik agar bersesuaian terutama bagi golongan remaja.


2. Kajian ini membolehkan ibu bapa melakukan pemantauan rancangan yang hendak ditonton oleh anak-anak mereka agar bersesuaian dan memberi manfaat kepada anak mereka.

3. Kajian ini juga diharap dapat menyedarkan masyarakat supaya tidak menyalahgunakan penggunaan media elektronik.


Reka Bentuk Kajian

Kajian yang dijalankan ini adalah berbentuk deskriptif dan inferensi bagi melihat hubungan serta pengaruh media elektronik dalam menyumbang kepada keruntuhan akhlak pelajar. Kajian deskriptif merupakan kajian berbentuk tinjauan serta menggunakan kaedah soal selidik dalam memperolehi data bagi melihat peratusan, min, dan kekerapan.


Kajian inferensi adalah bertujuan bagi melihat pengaruh (r2) dan hubungan (r) antara pembolehubah bersandar dan pembolehubah bebas. Selain itu, penyelidik menggunakan regrasi dan kolerasi bagi melihat hubungan dan pengaruh di antara (kandungan bahan-bahan yang ditayangkan, penayangaan waktu siaran, pengawasan ibu bapa dan penampilan personaliti televisyen) dengan masalah keruntuhan akhlak di kalangan pelajar.

Kaedah soal selidik digunakan sebagai instrumen kajian. Melalui penggunaan soal selidik dapat menjimatkan masa dan tenaga serta dapat mengurangkan kos perbelanjaan jika dibandingkan dengan instrumen kajian yang lain. Setiap soalan soal selidik mengandungi arahan soalan-soalan jenis tertutup untuk dijawab oleh responden yang terlibat dalam kajian ini. Semua maklumat yang diperolehi akan diklasifikasikan mengikut aspek yang telah ditentukan dan dianalisis secara kuantitatif. 

Populasi dan Sampel Kajian

Populasi dalam kajian ini hanya melibatkan pelajar-pelajar yang beragama Islam Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia, Skudai Johor yang terdiri daripada 91 orang pelajar
lelaki dan perempuan Fakulti Pendidikan yang mengambil kursus SPS, SPL, dan SPP. Populasi
yang terlibat bagi kajian ini dapat dilihat berdasarkan jadual 1 di bawah :


Bilangan           Kursus                 Bilangan Pelajar
    1               SPS (Sukan)                     41
    2               SPL (Tesl)                        33
    3               SPP (Fizik)                       17
                    Jumlah                               91 

Berdasarkan jadual 1, jumlah populasi adalah seramai 91 orang berdasarkan tiga kursus yang dipilih dalam kajian ini. Walau bagaimanapun, hanya 87 unit borang soal selidik yang telah dikembalikan kepada penyelidik, manakala bakinya sebanyak empat unit tidak dikembalikan. Dalam kajian ini, penyelidik menggunakan jumlah keseluruhan populasi sebagai sampel kajian. Pemilihan keseluruhan populasi sebagai sampel kajian adalah merupakan penyelidikan kes (Mohamad Najib Abdul Ghafar, 2003 : 37). Rasional pemilihan populasi ini adalah kerana terdapat ciri-ciri yang boleh dikaji dalam kumpulan pelajar tersebut
 

Instrumen Kajian
 
Kajian ini dijalankan dengan menggunakan set soal selidik. Set soal selidik ini merupakan alat untuk mengumpul data bagi penyelidik. Oleh itu, bagi satu-satu kajian, satu soal selidik yang sama hendaklah digunakan untuk semua responden bertujuan bagi memastikan keseragaman bagi membolehkan pemprosesan data melalui komputer di mana setiap soalan dikemukakan mengikut urutan yang sama (Ahmad Mahdzan Ayob, 2005 : 59). Soal selidik ini terdiri daripada 7 bahagian iaitu bahagian A, bahagian B, bahagian C, bahagian D, bahagian E, bahagian F dan bahagian G. Jadual 2 menunjukkan maklumat yang
terdapat pada setiap bahagian.


Jadual 2 : Maklumat Setiap Bahagian

Bahagian                                  Jenis Maklumat
     A                            Latar Belakang Responden
     B                            Permasalahan akhlak yang membabikan pelajar
     C                            Kandungan bahan-bahan yang ditayangkan
     D                            Penayangan waku siaran
     E                            Pemantauan Ibu bapa
     F                            Penampilan personaliti televisyen


Pada bahagian A mengandungi item-item demografi seperti jantina, umur, status bilangan anak, dan tahun pengajian. Responden bebas mengisi tempat kosong dengan hanya menandakan salah satu pilihan jawapan. Tetapi, bagi bahagian B, C, D, E, F, dan G menggunakan kaedah skala Likert iaitu responden perlu menandakan jawapan mereka mengenai sesuatu kenyataan berdasarkan skala tersebut. Responden dikehendaki menandakan jawapan berdasarkan skala sebagaimana yang terdapat dalam jadual 2. Setelah itu, data yang telah diperolehi daripada soal selidik ini mengandungi arahan dan soalan-soalan jenis tertutup untuk dijawab oleh responden. Semua data yang diperolehi akan dianalisis secara kuantitatif.

Kajian Rintis

Sebelum kajian sebenar di lakukan, penyelidik akan menjalankan kajian rintis ke atas 10 orang pelajar Fakulti Pendidikan yang terdiri daripada pelajar yang mengambil kusus SPK. Hasil kajian rintis menunjukkan nilai Cronbach’s Alpha 0.808. Kajian rintis yang dibuat ini adalah bertujuan untuk memastikan soal selidik yang hendak digunakan mempunyai kebolehpercayaan dan kesahan yang tinggi (Reliability Coefficent). Rasional pemilihan sampel untuk kajian rintis ini kerana ianya mempunyai ciri-ciri yang sama dengan sampel yang hendak diuji. Di samping itu, kajian rintis ini juga adalah untuk memastikan soal selidik yang diedarkan kepada sampel sebenar adalah berkualiti.
 

Analisis Keseluruhan
 
Rumusan di dalam bahagian ini adalah berdasarkan kepada analisis data bagi bahagian B dan C. Min keseluruhan dapat diterangkan seperti berikut bagi keseluruhan konstruk item.
 

Jadual 3: Nilai min bagi keseluruhan konstruk item

Konstruk                                                                   Nilai Min
1.  Permasalahan akhlak yang membabikan pelajar           3.50
2.  Kandungan bahan-bahan yang ditayangkan                 3.50
3.  Penayangan waku siaran                                             3.10
4.  Pemantauan Ibu bapa                                                 3.59
5.  Penampilan personaliti televisyen                                 3.28

Jadual 3 menunjukkan bahawa min keseluruhan bagi konstruk permasalahan akhlak membabitkan pelajar ialah 3.50. Manakala kandungan bahanbahan yang ditayangkan ialah 3.50, penayangan waktu siaran ialah 3.10, pemantauan ibu bapa ialah 3.59, dan penampilan personaliti televisyen ialah 3.28.

Jadual 4 : Keputusan Korelasi

                                                Kandungan            Penayangan       Pemantauan         Penampilan
                                                bahan2 yang           waktu                Ibu Bapa             Personaliti 
                                                ditayang.                 siaran.                                          Televisyen

Keruntuhan     Regression         0.925**                0.764**            0.853**                0.798**
akhlak             (r)2 Sig              0.00                       0.00                 0.00                        0.00
pelajar            (2-Tailed)N          87                          87                     87                            87



**Aras Signifikan : 0.01

Jadual 4 di atas menunjukkan bahawa kandungan bahan-bahan yang ditayangkan, penayangan waktu siaran, pemantauan ibu bapa, dan penampilan personaliti televisyen mempunyai hubungan yang kuat dengan keruntuhan akhlak pelajar di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai. Ini dapat dibuktikan dengan melihat nilai r yang diperolehi iaitu kandungan bahan-bahan yang ditayangkan dengan nilai r = 0.925, penayangan waktu siaran dengan nilai r = 0.764, pemantauan ibu bapa dengan nilai r = 0.853, dan penampilan personaliti televisyen dengan nilai r = 0.798.
 

Jadual 5 : Keputusan Regrasi

                                                Kandungan            Penayangan       Pemantauan         Penampilan
                                                bahan2 yang           waktu                Ibu Bapa             Personaliti 
                                                ditayang.                 siaran.                                          Televisyen

Keruntuhan     Regression         0.855**                0.584**            0.727**                0.637**
akhlak             (r)2 Sig              0.00                       0.00                 0.00                        0.00
pelajar            (2-Tailed)N          87                          87                     87                            87


**Aras Signifikan : 0.01


Jadual 5 di atas menunjukkan bahawa kandungan bahan-bahan yang ditayangkan, penayangan waktu siaran, pemantauan ibu bapa, dan penampilan personaliti televisyen mempunyai pengaruh yang pelajar dengan keruntuhan akhlak pelajar di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai. Ini dapat dibuktikan dengan melihat nilai r2 yang diperolehi iaitu kandungan bahan-bahan yang ditayangkan dengan r2 = 0.855, penayangan waktu siaran dengan nilai r2 = 0.584, pemantauan ibu bapa dengan nilai r2 = 0.727, dan penampilan personaliti televisyen dengan nilai r2 = 0.637.


Perbincangan

Maklumat latar belakang yang pertama ialah jantina. Kebanyakan responden yang terlibat dalam kajian ini adalah terdiri daripada mahasiswi iaitu seramai 60 orang (69.0%). Manakala, bilangan mahasiswa pula terdiri daripada 27 orang (31.0%). Berdasarkan bilangan ini jelas bahawa majoriti responden terdiri daripada mahasiswi jika dibandingkan dengan bilangan mahasiswa. Oleh kerana itulah kebanyakan pelajar perempuan yang banyak memonopoli Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang wujud pada hari ini.


Selain itu, analisis seterusnya adalah bagi mengetahui berkaitan dengan taburan umur responden.Berdasarkan kajian yang telah dijalankan kesemua responden berumur di antara 21tahun sehingga 25 tahun iaitu seramai 87 orang (100%). Berdasarkan taburan umur ini kesemua responden terdiri daripada golongan remaja yang masih mentah dalam menilai kebaikan serta keburukan. Begitu juga, mereka ini mudah terpengaruh dengan perubahan persekitaran yang berlaku di sekeliling mereka.


Maklumat terakhir yang diperolehi dalam latar belakang responden adalah bagi melihat taburan jenis media elektronik yang digemari oleh responden. Kebanyakan mahasiswa menggemari semua peralatan media elektronik seperti televisyen, radio, telefon bimbit, dan komputer atau internet iaitu seramai 61 orang (70.1%). Manakala 12 orang (13%), enam orang (6.9%), dan tujuh orang (8.0%) mahasiswa masing-masing menggemari televisyen, telefon bimbit serta computer atau internet. Walau bagaimanapun hanya seorang (1.1%) mahasiswa sahaja yang menggemari radio. Berdasarkan maklumat tersebut menunjukkan jenis media elektronik sangat digemari oleh mahasiswa memandangkan ia memberikan hiburan di samping
bagi memenuhi tuntutan dalam kehidupan seharian.

Berdasarkan hasil kajian yang telah dijalankan didapati bahawa permasalahan akhlak pelajar dapat dilihat kecenderungan pelajar menghabiskan masa untuk berhibur dan kurang menjalankan kerja-kerja yang berfaedah. Sebagai contohnya,sebanyak 89.7% pelajar lebih gemar menonton rancangan hiburan realiti seperti “Akademi Fantasia” kerana bagi mereka ia bertujuan bagi mencungkil bakat golongan remaja. Selain itu, sebanyak 89.6% pelajar lebih suka meluangkan masa menonton rancangan televisyen serta melayari internet atau berchatting bagi mengurangkan tekanan kerja yang mereka hadapi. Oleh itu, jelas di sini bahawa kebanyakan masa lapang pelajar diisi dengan menonton rancangan yang disiarkan di televisyen daripada melakukan aktiviti pengisian rohani pelajar di mana sebanyak 88.5% daripada mereka kurang
melibatkan diri dalam majlis ilmu yang dianjurkan oleh masjid. Ini jelas menunjukkan bahawa pengisian rohani dalam diri pelajar itu penting dalam membentuk sahsiah dan akhlak yang baik dalam diri seseorang pelajar itu sendiri.

Nilai min yang diperolehi berada pada tahap yang sederhana iaitu 3.50. Ini menunjukkan bahawa kecenderungan pelajar ke arah menghabiskan masa dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah berbanding melakukan aktiviti yang mendatangkan kebaikan dan manfaat kepada mereka. Berdasarkan analisis ini menunjukkan bahawa permasalahan akhlak di kalangan pelajar berada pada tahap yang sederhana.

Pengaruh pertama yang dibincangkan dalam bahagian ini ialah kandungan bahan-bahan yang ditayangkan. Hasil kajian mendapati sebanyak 88.5% berpendapat rancangan “Jalan-jalan Cari Makan” yang ditayangkan di televisyen banyak mendatangkan kebaikan kepada mereka.\Begitu juga sebanyak 87.3% pelajar sangat menyukai drama atau filem yang berunsurkan cinta dan komedi kerana bagi mereka ia sangat menghiburkan hati. Jelas di sini bahawa kandungan bahan-bahan yang disiarkan di dalam televisyen lebih menarik terutamanya golongan muda-mudi hari ini.


                                         Siaran di televisyen perlu seimbang agar tidak memberi kesan 
                                                                             negetif terutamanya kepada pelajar.


Analisis bagi keseluruhan min yang diperolehi berada pada tahap yang sederhana iaitu 3.50. Berdasarkan analisis ini jelas menunjukkan bahawa terdapat pengaruh yang melibatkan kandungan bahan-bahan yang ditayangkan dalam menyumbang kepada keruntuhan akhlak pelajar walaupun nilai min keseluruhan tidak menunjukkan pada tahap yang tertinggi.
 
Pengaruh kedua yang dibincangkan dalam bahagian ini ialah dari segi penayangan waktu siaran. Hasil kajian mendapati majoriti pelajar iaitu sebanyak 88.5% berpendapat bahawa siaran larut malam seperti “Bola Sepak” boleh mengganggu waktu beribadat kepada Allah seperti qiamullail. Begitu juga, sebanyak 39.1% pelajar mengatakan penayangan waktu siaran televisyen selama 24 jam sehari boleh menyebabkan masyarakat leka daripada beribadah kepada Allah. Hal ini disebabkan sebanyak 31% pelajar mengatakan kebanyakan rancangan yang menarik seperti rancangan karton yang disiarkan pada waktu maghrib, secara tidak langsung ini akan mengganggu kanak-kanak daripada mempelajari Al-Quran pada waktu tersebut. Begitu juga, sebanyak 27.6% daripada mereka berpendapat cerita bersiri melayu yang ditayangkan di TV3
seperti “Spa Q” ditayangkan kepada penonton antara waktu maghrib dan Isyak. Analisis bagi keseluruhan min yang diperolehi berada pada tahap yang sederhana iaitu 3.10. Berdasarkan analisis ini jelas menunjukkan bahawa penayangan waktu siaran boleh mempengaruhi keruntuhan akhlak pelajar di mana mempunyai nilai min keseluruhan yang berada pada tahap yang tinggi.

Pengaruh ketiga yang dibincangkan dalam bahagian ini ialah dari segi pemantauan ibu bapa. Hasil kajian mendapati sebanyak 89.6% pelajar mengatakan bahawa ibu bapa mereka hanya suka mengikuti rancangan keagamaan dan berita sahaja. Begitu juga, sebanyak 88.5% pelajar mengatakan bahawa ibu bapa mereka sentiasa memantau setiap rancangan televisyen yang di tonton oleh mereka. Selain itu, sebanyak 59.7% pelajar mengatakan ibu bapa mereka sering mengajak mereka solat berjemaah di masjid atau di rumah. Manakala, sebanyak 55.2% pelajar berpendapat bahawa ibu bapa mereka akan menegur apabila mendapati mereka menonton televisyen, bermain komputer atau melayari internet jika melebihi had yang sepatutnya. Begitu juga, sebanyak 29.9% pelajar berpendapat ibu bapa mereka sentiasa memastikan mereka
menonton rancangan yang berfaedah sahaja. Berdasarkan peratusan ini jelas menunjukkan bahawa majoriti ibu bapa pelajar sangat prihatin dan mengambil berat akan setiap rancangan yang ditonton oleh anak mereka agar bersesuaian dengan peringkat umur mereka serta tidak merosakkan akhlak mereka.


Analisis bagi keseluruhan min yang diperolehi berada pada tahap yang tertinggi iaitu
sebanyak 3.59. Berdasarkan analisis ini jelas menunjukkan bahawa pemantauan ibu bapa juga
sangat mempengaruhi keruntuhan akhlak pelajar di mana mempunyai nilai min keseluruhan yang
berada pada tahap yang tinggi.

Pengaruh keempat yang dibincangkan dalam bahagian ini ialah dari segi penampilan personaliti televisyen. Hasil kajian mendapati sebanyak 89.6% pelajar berminat dengan cara berpakaian yang disiarkan di dalam drama atau filem kerana bagi mereka ia mencerminkan fesyen berpakaian masa kini. Ini kerana, sebanyak 55.2% pelajar berpendapat terdapat artis wanita yang menampilkan nilai-nilai moral yang baik seperti tidak mendedahkan aurat serta berpakaian sopan di televisyen. Sebagai contohnya, sebanyak 39.1% pelajar berpendapat rancangan “Melodi” menampilkan artis yang menunjukkan ciri-ciri keislaman. Selain itu,
sebanyak 29.9% daripada mereka mengatakan bahawa kebanyakan personaliti televisyen terutamanya wanita mengenakan pakaian yang tidak menyalahi agama antaranya mereka meminati penyanyi dan penghibur Malaysia iaitu seperti Mawi dan Dato’Siti Nurhaliza di sebabkan mempunyai penampilan serta personaliti diri yang baik.


Analisis bagi keseluruhan min yang diperolehi berada pada tahap yang sederhana iaitu sebanyak 3.28. Berdasarkan analisis ini menunjukkan bahawa penampilan personaliti televisyen boleh mempengaruhi keruntuhan akhlak pelajar walaupun mempunyai nilai min keseluruhan yang berada pada tahap yang sederhana sahaja.



Rujukan

Abd. Rahim Abd. Rashid (1993), “KBSM Pendidikan Nilai Merentasi Kurikulum” Dewan
Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur.
Abdul Karim Zaidan Dr (2002), “Islam Dan Dakwah” Pustaka Salam Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.
Fariza Md. Sham, Sulaiman Ibrahim, Ideris Endot (2000), “Dakwah Dan Perubahan Sosial”
Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.
Ghazali Darusalam (1997), “Dinamika Ilmu Akhlak Islamiah” Utusan Publications &
Distributors Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.
Humaidi Tatapangarsa, Terjemahan Syed Ahmad Semait Drs. (1999), “Akhlak yang Mulia”
Pustaka Nasional PTE LTD, Singapura.
Ibrahim Mamat (1997), “Memimpin Remaja Sekolah Teori Dan Praktik” Kumpulan Budiman
Sdn.Bhd. Kuala Lumpur.
Mohamad Najib Abdul Ghafar (2003), “Penyelidikan Pendidikan” Johor Darul Takzim :
Universiti Teknologi Malaysia.
Samsudin A.Rahim (1998), “Pembangunan, Ketembusan Media dan Identiti Budaya Remaja”,
Kumpulan Penyelidik IRPA Media dan Identiti Budaya, Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Zukarnain Zakaria dan Hishamuddin Md.Som (2001), “Analisis Data Menggunakan SPSS
Windows”, Penerbit Universiti Teknologi Malaysia Skudai, Johor.
Idris Awang (1996), “Kelakuan Seks Bebas Di Kalangan Remaja Melayu”. Jurnal Usuluddin
(13) : 177-191.
Rahimin Affandi Abd. Rahim Dr. (1999), “Krisis Remaja dan Media Massa di Malaysia : Suatu
Tinjauan Dari Perspektif Islam”. Jurnal Usuluddin (10) :125-134.
Shukeri Mohammad (1998), “Pembentukan Masyarakat Berakhlak Mengikut PolitikIslam”.
Jurnal Usuluddin (12) : 145-174.
Nur Amirah Binti Mohd Rashid (2006),“Pengaruh Globalisasi Terhadap Gaya Hidup Pelajar
Di Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia” .
Rohayati Binti Derani (2004), “Persepsi Ibu Bapa Terhadap Faktor-Faktor Keruntuhan Akhlak
Remaja Islam Masa Kini : Satu Tinjauan Di Taman Aman Anak Bukit, Alor Setar,
Kedah”.
Rusmini Binti Hat (2006), “Pengaruh Hiburan Realiti TV Kepada Pelajar Tingkatan 4 Di SMK
Skudai, Johor Bahru, Johor”.
Zuhdah Binti Sayed (2006), “Persepsi Remaja Terhadap Media Massa : Satu Kajian Ke Atas
Pelajar Tingkatan 4 SMK Taman Universiti”.
                            
Disediakan Oleh 

Saudara Amirul Adli
Ketua Unit Biah Solehah
Dpmz 2012/2013


0 comments:

Sahabat