Saturday, July 7, 2012

Jalan Dakwah Jalan Anbia

Posted by UPP DPMZ On 6:09 PM No comments



Jalan Dakwah Asas Kemenangan Umat Islam

Jalan dakwah merupakan semulia-mulia jalan untuk menuju rahmat Allah SWT. Ianya adalah jalan para rasul dan nabi-nabi terdahulu. Sudah pasti inilah jalan paling mulia bagi manusia untuk disusuri dalam perkelanaan mereka di permukiman dunia.

Firman Allah SWT : "dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada mereka yang menyeru kepada jalan Allah (agama Allah) dan beramal soleh?"

Inilah jalan untuk melaksanakan amar maaruf dan nahi mungkar dan jalan untuk menegakkan sebuah kesatuan umat di bawah satu jamaah Islam. Inilah jalan untuk mendirikan "Daulah Islamiah" yang selama ini diimpikan setiap kelompok individu yang hidup di dalam sesuatu komuniti.

Jalan dakwah ini merupakan jalan yang memerlukan kesungguhan, pengorbanan, kesabaran dan matlamat yang jelas. Perjalanan ini memerlukan para pekerjanya bergerak dan beramal setiap inci dan detik dalam kehidupan mereka sama ada susah dan senang.

Firman Allah SWT : "Keluarlah kamu semua (ke medan perjuangan) dalam keadaan ringan dan berat  serta berjihadlah dengan harta dan diri kamu pada jalan Allah" (Surah al-Taubah : 41 )

Tujuan Dan Panduan Jalan Dakwah

Tujuan paling utama dalam jalan dakwah adalah untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan jahiliah kepada sinaran hidayah Islam. Islam adalah agama yang akan melengkapkan kehidupan manusia sehari-hari dalam setiap aspek yang mereka hadapi.

Walaupun manusia dikurniakan akal untuk menilai sesuatu perkara, namun ianya mempunyai tahap kemampuan yang terhad. Tidak semua perkara yang dihadapi akal mampu diselesaikan dengan penilaian yang tepat.

Oleh itu, Allah SWT telah menyediakan manual secara khusus kepada hamba-Nya untuk dijadikan rujukan sebagai modal tambah kepada akal dalam memahami situasi dan kondisi sesuatu keadaan yang ditempuhi.

Dalam proses pembentukan manhaj dalam dakwah, Allah SWT dengan rahmat-Nya telah menurunkan al-Quran sebagai panduan kepada para hamba-Nya untuk diikuti. Ianya sebagai sumber hidayah paling utama dan panduan secara lengkap dalam mengurus sistem-atur  kehidupan manusia.

Penurunan al-Quran berkait rapat dengan pengutusan para rasul untuk menjelaskan isi kandungan al-Quran tersebut. Para rasul adalah insan pilihan Allah SWT yang diberikan kedudukan mulia sebagai khalifah di muka dunia untuk mengurus sistem kehidupan manusia dengan teratur beracuankan agama.

Masyarakat Islam Era Kini

Kini, umat Islam sedang dilanda pelbagai ancaman daripada pihak musuh. Pelbagai gejala yang dialami merupakan bentuk dan acuan yang ditiru daripada barat. Ini semua disalurkan melalui ghazwatul fikr (serangan pemikiran) dengan pertolongan arus media moden tanpa sempadan.

Andai dulu, 2/3 daripada dunia pernah disinari oleh cahaya Islam namun kini telah sirna oleh kabus kegelapan. Pelbagai kerosakan berlaku yang tercipta daripada kebobrokan manusia untuk mencapai keinginan dan melunaskan keperluan hidup masing-masing. Sikap individualisma meresapi setiap urat nadi umat Islam kini.

Syeikh Saied Hawwa dalam kitabnya menyebutkan, umat Islam kini kehilangan dua perkara yang paling besar iaitu ilmu dan kesedaran. Kedua-dua elemen ini merupakan asas kepada sebuah keberlangsungan identiti masyarakat Islam yang sebenar. Sebuah masyarakat Islam mesti hidup dalam susasana keilmuan yang disuluh daripada panduan syariat Islam dan kesedaran terhadap tanggungjawab mereka untuk memelihara dunia dengan acuan agama.

Disebabkan itulah keperluan hidup bermasyarakat hendaklah sentiasa dijaga dan dibajai dengan kebaikan dan keadilan melalui konsep amar makruf dan nahi mungkar. Begitulah jalan dakwah dalam pengertian untuk menjaga kestabilan dan keharmonian dalam sosio-kemasyarakatan.

Masa Depan Milik Islam

Untuk melengkapkan kemenangan dalam jalan dakwah yang ditelusuri oleh para pejuang agama Allah, kita perlu memahami beberapa syarat asas untuk mencapainya iaitu :

1. Memahami ghayah : Jelas matlamat perjuangan
2. Memahami hadaf : Jelas objektif perjuangan
3. Memahami manhaj : Jelas skema, disiplin dan arah perjuangan
4. Memahami bai'ah : Jelas realiti cabaran masa kini
5. Memahami isti'dad : Jelas persiapan dan keupayaan perjuangan

Pembentukan individu yang benar-benar memahami kesemua syarat tersebut akan mampu mengembalikan survival Islam. Kita bukanlah pemula namun kitalah penyambung perjuangan dakwah itu.

PMRAM dengan optimis mengajak ahli-ahlinya untuk bersama-sama melangkah ke medan dan jalan dakwah yang pernah ditelusuri oleh golongan-golongan terdahulu. PMRAM pada tahun ini berusaha untuk mencapai tema "Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan" kerana ia adalah matlamat yang murni sebagaimana yang dituntut oleh Islam.

Pelbagai usaha dan aktiviti yang diatur melalui agenda serta program di peringkat PMRAM adalah untuk memenuhi syarat-syarat asas sebagaimana di atas untuk melengkapkan kegemilangan dan kemenangan dalam jalan dakwah ini.

Ianya bermula daripada kita. PMRAM mengharapkan kesepaduan fikrah dan tenaga yang terbaik daripada segenap lapisan ahli-ahlinya berbekalkan kesanggupan untuk sama-sama memartabatkan keilmuan dan memimpin kesatuan di kalangan mahasiswa dan mahasiswi di Perlembahan Nil ini.

"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"

Muhammad Zuhairi bin Zainal Abidin
Ketua Badan Pengetahuan Dan Penyelidikan,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir, PMRAM 2012

Sumber : pmram.org

0 comments:

Sahabat