Assalamualaikum warahmatullah.. Segala pujian bagi Allah tuhan sekalian alam yang telah memberikan segala kenikmatan kepada hambanya tanpa sebarang bayaran, hanyalah tuntutan melakukan apa yang diperintahkan dan meniggalkan segala larangannya. Selawat serta salam keatas junjungan besar, kekasih hati, penghulu segala nabi, Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, juga keatas keluarga baginda, para sahabat, pengikut serta pejuang agama Allah.
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain..” Al-Anfal 8:75
Muharram tiba lagi, kedatangan muharram mengimbas kembali perjalanan hijrah baginda nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dari Makkah ke Madinah, satu permulaan episod sejarah bermulanya penyebaran agama Islam ke serata dunia. Di sepanjang perjalanan siri penghijrahan ini telah tercatat pelbagai kisah pengorbanan serta perjuangan para sahabat dalam mempertahankan Islam serta memperjuankannya. Bermula dengan tekanan yang diberikan oleh kaum musyrikin Makkah terhadap umat Islam, Rasulullah telah mendapat perintah untuk berhijrah ke Yathrib yang kini dikenali dengan nama Madinah.
Peritiwa hijrah ini menjadi nadi utama dalam siri awal penyampaian dakwah islamiyah ke serata dunia. Islam bukan sahaja dikenali malah dikagumi kawan serta digeruni lawan. Hijrah mengajar kita erti kehidupan,mengajar kita erti pengorbanan, mengajar kita erti persaudaraan dan mengajar kita erti perjuangan. Terdapat banyak sekali hikmah serta pengajaran yang dapat kita ambil dalam peristiwa bersejarah ini, antaranya :
1. Keimanan : Iman yang kental serta untuh melahirkan pejuang yang tabah dalam menulusuri keperitan dalam penghijrahan. Dengan keimanan mereka sanggup meninggalkan kesenangan hidup, dengan iman mereka sanggup melupakan kampung halaman, dengan iman juga mereka rela berpisah dengan insan yang tersayang,insan yang tercinta yang berbeza akidah. Keimanan yang dipertahankan melahirkan ketenangan serta ketenteraman dalam diri, segala kesusahan,keperitan dalam perjuangan yang dilalui tidak menjadi penghalang apabila iman tetap kukuh di dalam diri. Oleh yang demikian itu, bermula dengan kedatangan muharram pada tahun ini sama-sama kita beriltizam bersungguh-sunguh dalam meningkatkan keimanan kita agar dapat mencontohi serta menuruti semangat perjuangan nabi Muhammad Sallahu Alaihi wasllam dan para sahabat.
2. Pengorabanan : Bertunjangkan keimanan yang kental dan ketaatan yang tinggi pada perintah Allah dan rasulNya,orang-orang yang telah beriman ketika itu sanggup berkorban meninggalkan harta benda juga ahli keluarga mereka yang masih dalam kekufuran dengan berhijrah ke Madinah secara senyap-senyap demi menyelamatkan akidah dan nyawa mereka. Daripada kisah pnghijarahan ini juga dapat kita lihat betapa hebatnya kasih sayang saidina Ali kepada baginda dengan sanggup menggantikan baginda di tempat pembaringan sebagai umpan kepada orang kafir yang ketika itu sedang memburu baginda.Dengan pengorbanan saidina Ali itu,maka baginda dan sahabat setianya, abu bakar As-Siddiq Berjaya menyelusup keluar dari Mekah menuju ke madinah. Maka tersebarlah Islam di sana yang menyinari seluruh Yathrib yang akhirnya digelarMadinah AL Munawwarah,Bandar yang Bercahaya,dengan cahaya islam.
Ternyata tanpa keimanan yang teguh dan kecintaan seseorang hamba kepada Allah s.w.t. serta semangat jihad untuk berjuang dan berkorban apa sahaja, pasti hijrah tidak dapat dilakukan sebagaimana yang dilakukan pada zaman Rasulullah s.a.w.
Konsep hijrah dulu dan kini tidak jauh bezanya. Namun kini penghijrahan yang berlaku tiada lagi merentasi padang pasir,menunggangi unta kerana ingin menyelamatkan diri dari diburu orang kafir juga demi menyelamatkan aqidah. Kerana Islam ketika ini,sudah cukup selesa dan bebas untuk diamalkan diserata dunia. Biarpun begitu, kita masih berpeluang melakukan hijrah iaitu hijrah secara peribadi , hijrah hati dengan melangkah ke arah kebaikan dan meninggalkan keburukan serta kemungkaran. Hijrah daripada individu yang tidak bermutu kepada individu yang bermutu dari segi akidah, syariat dan akhlak.
Jika saban tahun umat manusia seluruh dunia begitu teruja mengadakan sambutan tahun baru atau istilah glamournya” new year celebration” dengan sambutan juga ucapan tahun baru , happy new year dan lain-lain yang begitu hebat sekali. Tidak lupa dengan azam-azam baru yang hebat-hebat yang sering berubah tiap kali tibanya tahun baru dengan harapan semoga tahun baru itu adalah lebih baik dari sebelumnya.
Jadi,kenapa tidak pula kita umat islam menyambut awal muharam iaitu tahun baru, bulan baru dalam islam yang dicetuskan oleh saidina Umar Al-Khattab sebagai perkiraan calendar islam dengan memasang niat juga azam baru untuk menjadi umat islam yang lebih hebat dan lebih baik .
Tidak perlulah kita menyambut sambutan tahun baru islam ini dengan percikkan bunga api juga konsert hiburan yang lazimnya diadakan bersempena kedatangan tahun baru saban tahun, sebaliknya sambutlah ketibaan tahun baru islam ini dengan menghayati dan menyoroti perjuangan dan pengorbanan baginda dan para sahabat dalam penghijrahan mereka demi menyelamatkan akidah mereka seterusnya menyebarkan islam dimuka bumi ini.
Semoga dengan menghayatai kisah-kisah perjuangan seperti ini mampu menanam semangat “hijrah” dalam setiap diri kita untuk menjadi seorang islam yang hebat dan lebih menghargai “Islam” itu sendiri seterusnya menanamkan azam untuk melihat islam lebih gemilang pada masa akan datang.
Dalam konteks kita sebagai seorang pelajar pula,marilah kita sama-sama bermuhasabah diri bersempena bermulanya tahun baru dan bulan baru Islam ini untuk memperbaiki segala kelamahan,kekurangan juga kesilapan yang telah kita lakukan . Tambahilah buku amalan kita dibulan baru ini dengan memperbanyakkan ibadah dan melakukan kebajikkan serta perkara kebaikan . Firman Allah Taala lyang bermaksud:
"Sesungguhnya berjaya dan beruntunglah orang yang menyuci (membersihkan) jiwanya." (Surah Al-A’la, ayat 14)
Oleh itu,sekali lagi saya ingin mengajak dan menyeru kepada rakan-rakan semua juga kepada diri saya sendiri untuk sama-sama berusaha melakukan “penghijrahan diri” kepada lebih baik. Yang dulunya culas ke kuliyah, ubah kepada rajin ke kuliyah. Yang dulu sering mengasingkan diri dari program-program ilmiah ,program DPM,PMRAM mahupun OPZ, ubah lah kepada seseorang yang sering berada di barisan hadapan tiap kali program-program ilmiah di adakan, yang dulunya bergaul bebas tanpa batasan, berubahlah kepada seorang yang sentiasa memelihara maruah diri dari melangkaui batasan pergaulan begitu juga segala perubahan daripada negative kepada lebih positif.
Sepotong hadith qudsi Dari Abi Zar r.a., Rasulullah SAW bersabda,"Firman Allah Taala: Wahai hamba-hamba-Ku, kamu semua melakukan salah dan silap setiap masa dan Aku adalah pengampun dosa-dosa, maka pohonlah keampunan daripada-Ku nescaya Aku akan ampunkan..." (Hadis Riwayat Muslim)
Bukanlah penghijrahan diri yang diharapkan adalah 100% tetapi cukuplah andainya setiap hari ada sahaja perubahan kepada lebih baik yang kita dapat lakukan. Walaupun perubahan itu hanya lah 1% , tetapi ia tetap membawa erti yang besar kerana”penghijrahan diri” ini bukanlah sesuatau yang mudah untuk dilakukan, sebaliknya ia memerlukan kekuatan dan keazaman diri yang kuat dan teguh untuk melakukannya. Firman Allah lagi didalam Alquran yang bermaksud:
“Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum sampai kaum tersebut mengubah nasibnya sendiri”(Ar-Ra’d:11)
Untuk akhirnya, saya mendoakan dan mengharapakan semoga tahun baru dan bulan baru Islam ini akan menjadi tahun baru yang penuh gemilang buat kita juga umat Islam. Semoga tahun ini,bulan ini juga hari ini lebih baik dari sebelumnya.
"Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, terpedayalah orang yang hari ini sama seperti semalam, dan celakalah orang yang hari ini lebih buruk dari semalam
"Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia, dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat." "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka."(Al-Baqarah:200-201)
“ Berhijrah, Berubah dan Istiqomah”
MUHAMMAD HANIF JAMALUDDIN
PENGERUSI DPMZ
SESI 2009/2010
0 comments:
Post a Comment