Thursday, August 25, 2011

Krisis Somalia : Sejauh Manakah Keprihatinan Kita ?

Posted by UPP DPMZ On 2:14 PM No comments



“Kami tidak mempunyai bekalan makanan yang mencukupi. Tubuh anak-anak semakin kurus hingga menampakkan rangka akibat kekurangan zat. Saya kasihan melihat mereka namun saya tidak mampu untuk berbuat apa-apa.




“Sungguh sedih apabila dalam perjalanan merentas padang pasir yang kering- kontang bagi mendapatkan bantuan makanan, anak sulung saya meninggal dunia. Lebih memilukan lagi, ana kedua pergi dijemput ilahi sebaik sahaja jenazah anak sulung saya dikebumikan”luah Sainab dalam nada suara bergetar menahan hiba.

Ini antara nasib malang yang terpaksa ditanggung oleh jutaan manusia yang mendiami negara Somalia, sebuah negara yang terletak di benua Afrika.Negara ini yang mengalami krisis makanan yang menjadi krisis kemanusiaan terburuk pada abad ke-21 ini telah memaksa  jutaan rakyatnya berebut bagi mendapatkan bantuan makanan untuk meneruskan kehidupan.

Latar Belakang Sejarah:

Somalia,sebuah negara yang menjadi tuan rumah kepada bencana kemusnahan seperti kemarau, konflik saudara, peperangan suku kaum, ketidakstabilan politik,  penyakit epidemic seperti kolera dan berpuluh lagi bencana yang setiap masa meragut jiwa penghuni negara itu.

Bantuan demi bantuan datang dari segenap penjuru dunia khususnya dari badan-badan kemanusiaan datang bertalu-talu hanya mampu meringankan derita yang dihadapi dalam jangka masa yang pendek. 75 peratus rakyat Somalia menderita disebabkan kekurangan zat makanan.  Tambahan lagi, campur tangan politik yang kononnya untuk membina semula kedamaian dan keselamatan bahkan menambahkan lagi kekacauan dan konflik sedia ada.

Jika diimbas kembali faktor utama yang menjadi punca utama kekacauan di Somalia bermula di era kolonialisme.  Titik pertemuan antara Somalia dengan dunia Islam bermula apabila umat Islam bermigrasi  ke Habsyah bagi lari dari tekanan dan penyeksaan musyrikin  Makkah. 

Penjajahan yang dihadapi oleh negara ini oleh British pada abad ke-19 menarik negara ini ke kancah peperangan, kebuluran dan penyakit yang tidak berkesudahan. Pada tahun 1887, Itali pula mengambil tempat menjadi penjajah kepada negara yang mendapat jolokan “Tanduk Afrika” ini. Takdir telah tertulis bahawa negara ini terpaksa menghadapi zaman penuh penindasan dan kezaliman sebagaimana yang berlaku pada negara-negara Islam yang lain yang dijajah kuasa barat.

Setelah melalui zaman kolonialisme yang panjang, akhinya Somalia mendapat kemerdekaan pada tahun 1960 dan Aden Abdullah dilantik menjadi presiden.

Walau bagaimanapun, penubuhan sebuah sistem pentadbiran yang adil dan stabil tidak dibenarkan. Pada tahun 1960, satu siri rampasan kuasa ketenteraan telah dilakukan dan Jeneral Mohamad Siad Barre mengambil alih tampuk pemerintahan. 

Semua parti politik dihapuskan. Pandangan Barre terhadap Islam yang dianggapnya sebagai tembok penghalang kepada sistem sosialis yang ingin dilaksanakannya menjadi pencetus kepada pengharaman majalah-majalah dan akhbar-akhbar Islamik. Ramai golongan-golongan intelektual dan ulama-ulama yang menentang polisi tersebut dihukum di bawah arahan Barre.

Barre lari meninggalkan Somalia apabila pergaduhan pada 1991 dan terjadilah perang saudara yang besar. Kini, lebih dari sejuta orang kebanyakan umat Islam terpaksa berpindah ke beberapa buah negara Afrika yang lain.

Paling Teruk Di Dunia:

Hari ini, Somalia yang terletak di timur Afrika merupakan salah satu negara yang berhadapan dengan ancaman kemarau dan kebuluran kronik selain di Habsyah (sekarang Ethiopia), Djibouti, Sudan dan Kenya
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) mengjangkakan krisis kebuluran berkenaan akan merebak dalam tempoh 2 bulan di Somalia sekiranya tiada bantuan dihulurkan. Data yang dikeluarkan oleh Unit Analisis Keselamatan Makanan dan Nutrisi(FSNAU) menganggarkan seramai 3.76 juta rakyat Somalia terpaksa mengharapkan bantuan kemanusiaan dari segi bantuan makanan dan ubat-ubatan.

Anda bayangkan, majoriti rakyatnya sanggup merentas kawasan panas kering dengan berkaki ayam di bawah terik matahari yang mencecah 50 darjah Celcius untuk ke kem-kem pelarian yang menyediakan bantuan makanan. Ini semua tidak lain dan tidak bukan adalah kerana mereka tidak tahan lagi menjalani kehidupan di tanah sendiri yang kehabisan sumber makanan.

Akhirnya mereka tiba di kem dalam tempoh 24 jam tetapi mereka tiba dalam keadaan lesu, tidak terurus dan kurus kering. Lebih menyedihkan lagi,ada diantara mereka mati  sebelum sempat menjejakkan kaki di kem berkenaan terutama kanak-kanak dan bayi. Cuaca panas dan kebuluran antara faktor utama meragut nyawa mereka.

Dianggarkan secara purata setiap hari, seramai 60 bayi mati akibat kelaparan dan kurang makanan berkhasiat, selain kemusnahan tanaman dan haiwan ternakan. Berdasarkan kepada statistik Program Pemakanan Dunia (WFP) mendapati seramai 3.5 juta orang di Kenya, 3.2 juta orang di Habsyah, 2.5 juta orang di Somalia dan lebih 100,00 orang di Djibouti terdesak memerlukan bantuan makanan.

Menurut Ketua Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR), Antonio Guterres, krisis makanan dan kemarau di Somalia adalah antara paling teruk di dunia. Beliau juga meluahkan perasaan sedih apabila menyaksikan banyak nyawa terkorban akibat musim kemarau dan panas terik. “Saya tidak pernah melihat kem-kem pelarian yang sesak dengan orang ramai yang hadir dalam keadaan terdesak dan tidak bermaya,” katanya.

“Paling menyedihkan apabila melihat seorang ibu yang kehilangan tiga orang anak serentak ketika menuju ke kem pelarian,” Jelasnya lagi mengenai satu perempat daripada 7.5 juta orang Somalia yang membanjiri kem pelarian.

Krisis Dalaman:

Menurut Penganalisis Ekonomi dan Pensyarah Kanan Pengurusan Stategik Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Haim Hilman Abdullah, krisis kebuluran di wilayah Afrika tidak berkesudahan sekiranya masalah dalaman di negara itu tidak diselesaikan pada kadar segera. Selagi isu rasuah, pergolakan politik dan perbalahan rakyat masih belum diatasi, maka secara tidak langsung ia menyebabkan  ekonomi negara semakin merosot.

Akibatnya, Afrika terus terkekel sebagai negara miskin dan mundur. Selain kacau bilau, kenaikan harga api dan bahan mentah turut menyumbang kepada krisis kepada beberapa wilayah di Afrika.

Disebabkan faktor itu, kebanyakan negara maju, badan korporat, individu dan agensi bantuan terpaksa mengehadkan perbelanjaan stok bekalan makanan yang ingin diagih-agihkan kepada rakyat Somalia. 
Bagi rakyat Afrika pula, mereka mengalami kesukaran mengeluarkan sumber makanan daripada hasil pertanian kerana faktor cuaca yang panas dan kedudukan geografi yang dikatakan tidak sesuai untuk menjalankan aktiviti pertanian.

Kemarau berterusan:

Cuaca panas dan kemarau berpanjangan telah menyebabkan 12 juta rakyat di beberapa wilayah itu terpaksa berjalan kaki ke kem pelarian bagi mendapatkan bantuan makanan dan ubat-ubatan.

Tambahan lagi, krisis kemarau tersebut turut mengakibatkan haiwan ternakan seperti kambing, lembu dan unta terkorban. Jika musim kemarau lima tahun lepas hanya mengorbankan 20-30 ekor haiwan ternakan setiap bulan tetapi kemarau pada tahun ini, angka haiwan yang mati hampir mencecah 50 ekor per bulan. Ia sekaligus menyebabkan rakyat Somalia kehilangan sumber makanan mereka.

Berdasarkan kajian saintis Pusat Geologi Amerika (USGS), Chris Funk, mengjangka musim kemarau di Timur Afrika akan berterusan dalam tempoh yang sukar dipastikan. Kadar purata hujan di Somalia juga mencatatkan di bawah paras paling rendah. Lebih memburukkan keadaan lagi, isu pemanasan global dijangka meningkat dan ini menyukarkan lagi usaha rakyat Afrika untuk menjalankan aktiviti bercucuk tanam kerana kekurangan sumber serta tanah kering kontang.

Bagi menghulurkan bantuan makanan kepada rakyat Somalia yang kebuluran, UNCHR dan kerajaan Habsyah mengambil inisiatif menyediakan kem di Dolo Ado, Habsyah. Dianggarkan kem berkenaan menerima  hampir 2,000 pelarian baru setiap hari.


sumber :

1. Web Rasmi Universiti Utara Malaysia (UUM),
2. Dr Haim Hilman Abdullah; Penganalisis Ekonomi dan Pensyarah  Kanan Pengurusan Stategik Kolej Perniagaan UUM,
3.http://www.pmram.org/v2/index.php

Disediakan Oleh:

Lajnah & Unit Kebajikan dan Kemanusiaan PMRAM 2011

0 comments:

Sahabat