Tuesday, August 16, 2011

Nuzul Quran - Medan Memahami dan Mentadabbur Isi Kandung Al-Quran

Posted by UPP DPMZ On 11:12 AM No comments


Hari ini ialah hari ke-16 Ramadhan 1432 Hijrah, bersamaan 16 Ogos 2011. Di musim Ramadhan ini ramai yang mengaji, bertadarus atau membaca al-Quran. Ia sememangnya satu amalan yang baik dan mendatangkan pahala, insya-Allah. Namun adakah kita tahu siapakah yang sebenarnya yang membaca al-Quran di sisi Allah?

  Berhubung dengan ini Allah berfirman, " Dan mereka yang telah Kami berikan Kitab kemudian mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itulah yang beriman dengannya. Barang siapa yang ingkar terhadapnya mereka itulah orang-orang yang rugi."(Surah Al- Baqarah ayat 121)

  Dalam ayat ini Allah menegaskan bahawa yang benar-benar membaca Kitab Allah ialah mereka membacanya dengan "haqqa tilawatih". Siapakah mereka itu? As-Syeikh Said Hawa di dalam Al-Asas fit tafsir mendatangkan pendapat sahabat Abdullah ibn Mas'ud ra yang berkata: "Demi Allah, maksud membaca kitab dengan bacaan yang sebenarnya iaitu (haqqa tilawatihi) ialah menghalalkan apa yang dihalalkanya dan mengharamkan apa yang diharamkannya, membaca sepertimana ia diturunkan Allah, tidak mengubah kalam tuhan dari tempatnya dan tidak mentakwilkan ayat-ayatnyasecara yang tidak betul."

  Untuk tujuan ini kita perlu memahami apa yang kita baca dan bukan sekadar membaca, mengaji dan bertadarus begitu sahaja. Allah berfirman, "Apakah mereka tidak tadabbur al-Quran? sekiranya al-Quran itu bukan di sisi Allah tentulah mereka akan mendapati percanggahan yang banyak di dalamnya." (Surah An-Nisa' ayat 82)

  Ketika menerangkan maksud ayat ini, Imam Ibn Kathir di dalam "Tafsir al-Quran al-Azim" berkata, "Allah mengarahkan mereka agar mengamati isi-isi al-Quran dan melarang mereka dari berpaling daripadanya. Allah juga mengarah mereka agar memahami maksud ayat-ayat al-Quran yang begitu halus lafaznya serta dipenuhi kebijaksanaan."

  Ramai dari kalangan umat Islam pada hari ini lebih mengutamakan pembacaan al-Quran mengikut tajwid yang betul tanpa banyak memberi tumpuan kepada kefahaman ayat, sedangkan Allah menghendaki umat Islam memahami dan mengkaji isi-isi al-Quran. Apabila mesej al-Quran dapat difahami dengan betul, barulah penghayatan akan dapat dilaksanakan dengan baik.

0 comments:

Sahabat