Setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan kepada kepada Allah SWT atas kurniaan Iman dan Islam serta peluang dalam melaksanakan tugas selaku hamba , selaut pujian juga kita panjatkan atas nikmat kejayaan yang telah diberikan setelah mengharungi jerit payah dalam peperiksaan yang mendatang , selawat dan salam buat Junjungan Besar Baginda SAW sebagai ikutan dan tauladan ummat sepanjang zaman , dan kaum kerabat serta para sahabat yang bersama-sama dalam medan perjuangan Islam yang penuh dengan cabaran serta mehnah dan tribulasi yang mendatang.
Firman Allah SWT di dalam surah At-Taubah ( 122 ) yang bermaksud :” Dan tidak sepatutnya orang-orang mukmin itu semuanya pergi (ke medan perang ). Mengapa sebahagian dari setiap golongan di antara mereka tidak pergi untuk memperdalam pengetahuan agama mereka dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali agar mereka dapat menjaga dirinya”.
Islam sangat menitikberatkan tentang ilmu dikalangan ummat Islam. Berdasarkan kepada ayat di atas golongan yang menuntut ilmu sangat dipandang tinggi. Ini bertepatan dengan saranan bahawa golongan ini mempunyai satu tanggungjawab besar yang terpundak iaitu mempelajari dan memahami ilmu yang diceburi untuk turun ke medan masyarakat yang lebih mencabar.
Sehubungan dengan itu , antara pembawakan yang menjadi tunjang utama bagi DPMZ sesi 2011/2012 ialah ingin memperkasakan konsep thaqafah kepada mahasiswa dan mahasiswi di bumi Zagazig dengan cara bersama-sama kita menghidupkan kelas-kelas pengajian dan program-program ilmu yang dianjurkan.
Mahasiswa Islam khususnya mahasiswa Zagazig perlu melihat kembali matlamat utama kedatangan ke bumi Mesir adalah mempelajari dan memahami bidang yang diceburi di samping tidak mengenepikan gerak kerja Islam bagi membantu gerakan mahasiswa Islam PMRAM di sini.
Baru-baru ini mahasiswa di bumi Zagazig telah menduduki peperiksaan tahunan yang mana ia menjadi kayu ukur untuk menilai kemampuan setelah bergelumang di dalam dewan kuliah mempelajari dan memahami bidang masing-masing untuk dizahirkan melalui soalan-soalan peperiksaan yang diberikan.
Suasana dan bahang peperiksaan pada ketika itu sudah cukup menggambarkan akan kesungguhan yang ditunjukkan oleh mahasiswa di Zagazig untuk mencapai kejayaan. Segala persoalan kini terjawab , dan hampir keseluruhan keputusan peperiksaan sudah diketahui walaupun ada sebahagian terlibat dengan peperiksaan ulangan kertas.
Walaupun begitu , hampir keseluruhan mahasiswa Zagazig mencapai keputusan yang membanggakan. Sehubungan dengan itu , pihak DPMZ mengucapkan sekalung tahniah dan penghargaan kepada semua mahasiswa di Zagazig atas kejayaan yang diberikan dan selamat menghadapi peperiksaan kepada mahasiswa yang bakal menduduki peperiksaan.
Kejayaan yang diberikan adalah satu anugerah dan ia juga merupakan satu ujian buat kita. Gunakanlah anugerah yang diberikan ini mengikut konsep yang selayaknya dan ia berhak ditarik dan akan dikembalikan kepada yang selayakNya.
0 comments:
Post a Comment