Saturday, November 26, 2011

Hijrah 1433 : Satu Transformasi Untuk Suatu Kebaikan

Posted by UPP DPMZ On 8:27 AM No comments

بسم الله الرحمن الرحيم

                Setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan kepada kepada Allah SWT atas kurniaan Iman dan Islam serta peluang dalam melaksanakan tugas selaku hamba , selawat dan salam buat Junjungan Besar   Baginda SAW sebagai ikutan dan tauladan ummat sepanjang zaman , dan kaum kerabat serta para sahabat yang bersama-sama dalam medan perjuangan Islam yang penuh dengan cabaran serta mehnah dan tribulasi yang mendatang. 

Firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa’ ayat 100 : “ Dan barang siapa berhijrah di jalan Allah SWT nescaya mereka mendapati di muka bumi tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Barang siapa yang keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan RasulNya kemudian ia ditimpa kematian ( sebelum sampai ke tempat hijrah ) , maka sesungguhnya telah tetap pahalanya di sisi Allah dan Allah lah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang “.

                Hakikat kepada ayat di atas adalah betapa Islam menuntut kepada penganutnya  memahami dan melaksanakan tuntutan supaya beramal dengan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT kerana disebalik rahsia amalan itu lahirnya ganjaran dan balasan yang berlipat kali ganda daripada Allah SWT. Tidak akan sama kedudukan antara  golongan yang berjihad di jalan Allah SWT dan golongan yang tidak turut berjihad tanpa mempunyai keuzuran dan lebih memilih ketenangan dan tinggal di rumah mereka daripada kesusahan di perjalanan dan kesulitan ketika menghadapi musuh Allah SWT.

 Ayat di atas juga mengingatkan kita tentang perjuangan Baginda Rasulullah SAW dalam membawa survival agama Islam yang pada permulaan penyebarannya telah mendapat tentangan begitu hebat dikalangan arab quraisy pada ketika itu. Oleh hal yang demikian ,orang-orang Islam dari seluruh pelusuk diseru untuk melakukan hijrah ke Yathrib yang sekarang ini dikenali sebagai Madinah. Ia bukan sahaja untuk melepaskan diri dari belenggu kezaliman yang ada di Mekah , bukannya mundur ke belakang bagi melarikan diri dari sendaan dan ejekan , tetapi yang lebih penting dari segala-galanya ialah meneruskan kewajipan menegakkan Islam dan menunaikan perkara-perkara yang baru dihasilkan dan peluang mesti diisi bagi meneruskan perintah Allah SWT dalam konteks bermasyarakat dan bernegara dan inilah merupakan hijrah kerana Allah dan RasulNya.

                Orang-orang Islam telah memulakan hijrah menuju ke Yathrib. Manakala orang-orang Musyrikin pula tidaklah berdiam diri atau berlepas tangan sahaja dan di sana telah berlaku beberapa perkara ketika berjalannya hijrah yang mana ia telah menimpa kepada beberapa orang sahabat seperti peristiwa yang menimpa Abu Salamah dan keluarganya yang mana beliau terpaksa meninggalkan isteri dan anaknya pada saat-saat akhir untuk melaukan hijrah kerana kekangan oleh pihak keluarga isterinya dan banyak lagi peristiwa yang telah menimpa kepada angkatan-angkatan pertama melakukan hijrah. Peristiwa hijrah membawa pengalaman baru dalam perjuangan Islam. Kalau sebelumnya , mereka mengalami ujian diejek , ditahan , disiksa dan ada yang mati dibunuh , tetapi hijrah menguj kecintaan mereka terhadap Allah SWT dan RasulNya , mengatasi kasihkan tanahair , harta benda dan rumah tangga. Mereka telah Berjaya dalam ujian pertama tersebut dan membuktikan kesanggupan menghadapi ujian yang berikutnya apabila mereka telah melaksanakan hijrah menuju Yathrib dengan meninggalkan tanahair yang dikasihi , harta dan rumah kediaman. 

                Oleh hal yang demikian , peristiwa hijrah ini sangat memberi kesan kepada pencinta akan  perjuangan Islam. Islam tidak akan tertegak melalui kata-kata dan lisan , akan tetapi kebangkitan Islam akan muncul apabila kata-kata dan lisan itu disertakan dengan gerak kerja yang tiada tolok bandingnya. Sehubungan dengan itu , angkatan pemuda memainkan peranan yang sangat penting dalam mengembalikan kebangkitan Islam itu kerana seorang pemuda adalah seorang pemilik risalah yang kekal dan , pewaris kepada para Nabi-nabi. Angkatan pemuda adalah suatu tempoh kekuatan dan semangat yang kuat kerana ia adalah berada pada tempoh pertengahan dan sebaik-baik perkara adalah pertengahan dan juga ketika mana matahari itu berada di tengah-tengah langit pada waktu tengahari , maka ia telah menunjukkan cahayanya itu bertambah kuat dan lebih panas. Jadi , tempoh pemuda adalah tempoh kekuatan dan semangat pemuda perlu mengambil berat terhadap tempoh ini. 

                Generasi pemuda juga merupakan generasi pelapis bagi menggantikan tampuk pemerintahan masa kini. Maka pelapis yang akan menggantikan keizzahan pemerintahan ini perlulah yang berkualiti disegenap aspek. Kefahaman agama yang jelas merupakan aspek yang terpenting , kerana jika dilihat variasi ketokohan sejak berkurun lamanya yang berlandaskan kefahaman agama yang jitu disebut-sebut sehingga kini. Contohnya Abu Bakar As-Siddiq , Umar Al-Khattab , Othman Bn Affan , Ali Bin Abi Talib , Amru Bin Al-Ash , dan ramai lagi kepiminan yang berjaya. Abdullah Nasih Ulwan pernah menyebut :

 “Disebalik keagungan ilmu dan ketamadunan Islam , maka kita dapati generasi pemudalah yang dianggap telah memainkan peranan yang begitu hebat , hinggakan keagungan Islam tercapai di tangan mereka. Niat mereka sungguh suci. Ketabahan hati mereka amat mengkagumkan sekali. Mereka tidak tertipu dengan kemewahan yang mereka perolehi di dunia ini. Mereka terus berusaha , bekerja dan berjihad untuk berdakwah ke jalan Allah SWT sehingga tercapai segala hasrat dan cita-cita mereka yang suci murni itu”.  

                Melihat kepada hakikat yang berlaku terhadap beberapa peristiwa yang tercatat hari ini iaitu revolusi yang telah berlaku terhadap beberapa buah tempat seperti di Tunisia , Mesir , Syria dan Yaman. Di dalam peristiwa yang berlaku ini , angkatan pemuda-pemuda mereka yang telah melaksanakan  satu anjakan sehinggalah tercetusnya revolusi dan telah menjatuhkan rejim diktator yang telah berpuluh-puluh tahun bergelumang dengan kezaliman yang telah dilakukan terhadap rakyat mereka.  Ini menunjukkan hakikat kepada usaha dan jihad yang telah dilakukan oleh pemuda-pemuda merupakan satu tenaga yang paling berpotensi bagi mengatasi dan memecah sebarang masalah. Usaha kea rah keagungan dankegemilangan akan terkabul di tangan-tangan pemuda-pemuda Islam , bukan dikalangan orang yang tida bermaya lagi tidak berpotensi. Seandainya angkatanpemuda ini diasuh dan ditarbiyah dengan tarbiyah Islamiyah hingga jiwa-jiwa ini penuh padu keimanan dengan Allah SWT maka pemuda yang dihasilkan adalah pemuda yang mempunyai suatu tenaga yang utuh. Berteraskan dengan keimanan yang tulin sahajalah kedudukan ummah ini dapat ditingkatkan sehingga melahirkan ummah yang aman makmur. 

                Oleh hal yang demikian , bersempena dengan awal muharam yang baru sahaja mebuka tirai , marilah bersama-sama untuk kita meneruskan cita-cita melaksanakan amanah yang paling besar yang telah dipundakkan , iaitu untuk menegakkan syariat Allah SWT di atas muka bumi dan mengeluarkan manusia dari perhambaan manusia kepada perhambaan yang sebenar iaitu kepada Allah SWT. Maka cabaran yang paling utama yang menghalang kita daripada mendaulatkan syariat Allah adalah datang daripada kelemahan diri kita dan bukanlah daripada musuh-musuh yang datang dari luar dengan segala perancangan dan kelengkapan untuk menggagalkan hasrat kita. Marilah sama-sama kita memantapkan akidah kita , kerana keimanan kepada Allah SWT menyebabkan lahirnya pengorbanan untuk Islam , bertambah kuat keyakinan kita kepada Allah SWT bertambah kuat keyakinan kita untuk berkorban memenangkan Islam. Setiap orang pemuda mestilah  memahami  bahawa masa depan mereka masih panjang , semangat mereka masih kuat , cita-cita mereka yang berkobar-kobar mesti diterjemahkan dengan ilmu yang mantap , bukan semangat yang tanpa bimbingan ilmu , dan semangat yang melulu. Setiap zaman ada tokohnya , setiap peringkat ada pemimpinnya , dan kita mewarisi perjuangan tersebut dan sekarang tugas ini terletak di bahu kita untuk memastikan Islam dapat didaulatkan. Tegakkan negara Islam itu di dalam diri kita , nescaya ia akan dapat ditegakkan di muka bumi Allah SWT. Kemenangan yang kita idam-idamkan mestilah datang daripada kekuatan diri kita dan bukanlah mengharapkan kelemahan daripada musuh.


Salam maal hijrah 1433H,

Mohd Zainullah Bin Mohd pauzi ,
Pengerusi,
Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig ,
Sesi 2011 /2012

0 comments:

Sahabat