Saturday, March 24, 2012

TANDA PRIHATIN, PMRAM SERAH SUMBANGAN KEPADA SYRIA.

Posted by UPP DPMZ On 10:06 PM No comments



KAHERAH, 24 Mac 2012 : Jawatankuasa Kempen Prihatin Syria yang dilancarkan di bawah kelolaan PMRAM pada 16 Februari lalu telah berjaya mengumpulkan sumbangan kewangan sebanyak LE 88,500. Sumbangan derma itu termasuk sumbangan mahasiswa dan mahasiswi Perubatan dan Pengajian Islam. 

Salah seorang Anggota Jawatankuasa Kempen Prihatin Syria, saudara Muhammad Abdul Malik Abdul Karim telah menyerahkan bantuan kewangan tersebut kepada pihak Ikhwan Muslimin. 

Sebelum itu, simbolik penyerahan sumbangan derma dari PMRAM kepada Jawatankuasa Kempen Prihatin Syria diadakan di Pejabat PMRAM yang diserahkan oleh Naib Presiden III merangkap Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan PMRAM saudara Ahmad Huzaifah Bin Fauzi kepada saudara Abdul Malik.

Majlis penyerahan sumbangan tersebut diserahkan kepada wakil kerajaan peralihan di Kaherah. Dalam isu Syria, ketegasan PMRAM dengan jelas mengutuk kekejaman yang dilakukan oleh rejim Basyar dan menyatakan sokongan penuh kepada revolusi rakyat Syria yang lebih 40 tahun di bawah cengkaman kuku besi keluarga Asad. 

Saudara Muhammad Abdul Malik yang juga Penasihat PMRAM 2012 berkata, pihaknya akan terus membuka sumbangan derma bagi pusingan kedua. 

Sambil mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan sumbangan, jawatankuasa kempen masih mengharapkan sumbangan berterusan kepada tabung kemanusiaan Syria ini memandangkan situasi di Syria masih belum ada tanda-tanda akan berakhir. 

Bahkan pihaknya merancang akan terus menjelajah ke PMRAM cawangan-cawangan sebelum satu program yang dinamakan Kemuncak Jelajah Syria akan diadakan pertengahan April depan.

DPMZ mengucapkan tahniah kepada PMRAM atas usaha berterusan dalam membantu saudara kita di seberang sana. Hal ini membuktikan PMRAM adalah merupakan satu gerakan mahasiswa yang sentiasa cakna dan menitik beratkan kebajikan bukan sahaja kepada ahli bahkan kepada sesiapa sahaja yang menanggung kesulitan dan musibah sepertimana yang dialami oleh saudara kita di Syiria.



0 comments:

Sahabat