Assalamualaikum wbt…
Pertama dan selamanya, setinggi-tinggi syukur
ke atas Allah Subhanahu wa Taala kerana sehingga kesaat ini masih lagi kita
diberi peluang untuk menikmati segala kenikmatan dan selawat dan salam buat junjungan
mulia Rasulullah SAW.
Sedar tak sedar, sekarang kita telah pun
melangkah ke bulan Rejab sepertimana yang kita maklum bahawa bulan Rejab ini berlaku
di dalamnya peristiwa agung iaitu Peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Nabi
Muhammad SAW yang menurut catatan sejarah terjadi pada tanggal 27 Rejab tahun
kesebelas dari masa kenabian baginda, merupakan peristiwa penting yang disambut
setiap tahun oleh seluruh umat Islam.
Dikatakan penting kerana peristiwa bersejarah
tersebut merupakan sebuah peristiwa luar biasa, sebuah mukjizat daripada Allah
SWT kepada Nabi Muhammad SAW yang tidak pernah dilberikan kepada rasul dan nabi
sebelumnya. Hanya Nabi Muhammad SAW sahajalah yang diberikan anugerah dan
kehormatan oleh Allah SWT untuk melakukannya sebagai petanda betapa tingginya
penghargaan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW dan apa yang paling penting
dalam peristiwa ini disyariatkan solat lima waktu sehari semalam kepada umat
Nabi Muhammad SAW.
Selain itu, bulan Rejab juga yang mana salah
satu bulan yang banyak rahmat dan kelebihan diturunkan padanya. Rasulullah SAW
telah bersabda yang bermaksud :
“Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab,nescaya
Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari kiamat” dan “Kelebihan bulan Rejab dari segala
bulan ialah seperti kelebihan Al-Quran ke atas semua kalam (perkataan)”
Amalan bersedekah dan berpuasa dalam
bulan Rejab adalah digalakkan sepertimana hadis di bawah menunjukkan
kelebihan-kelebihan amalan pada bulan Rejab. Rasulullah SAW telah bersabda yang
bermaksud :
“Siapa bersedekah dalam bulan Rejab,
seperti bersedekah seribu dinar, dituliskan kepadanya pada setiap helai bulu
roma jasadnya seribu kebajikan, diangkat seribu darjah, dihapus seribu
kejahatan”
dan baginda juga telah bersabda
yang bermaksud :
“Semua manusia akan berada dalam keadaan lapar
pada hari kiamat, kecuali para nabi, keluarga nabi dan orang-orang yang berpuasa
pada bulan Rejab, Sya’ban dan bulan Ramadhan. Maka sesungguhnya mereka kenyang
serta tidak ada rasa lapar dan haus bagi mereka”
Diharapkan kepada seluruh umat Islam umumnya
dan ahli Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig khususnya dapat mengambil kesempatan
ini sebaiknya dengan berusaha menggandakan amalan kita untuk mendekatkan diri
kepada Allah Taala dan perbanyakkan berdoa kepadaNya sepertimana doa yang diamalkan
oleh Rasulullah apabila datangnya bulan Rejab :
اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ
رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ
Diriwayatkan daripada Sayyiduna Anas bin Malik
r.a. beliau berkata: Adalah Rasulullah apabila telah masuk bulan Rejab, Baginda
berdoa: Ya Allah Ya Tuhan kami, limpahilah berkat kepada kami pada bulan Rejab
dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.
(HR Imam Ahmad, ath-Thabarani dan lain-lain)
Wallahu’allam…
Fizree Bin Abu Bakar
Ketua Unit Sambutan dan Rehlah
Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig
Sesi 2011/2012
0 comments:
Post a Comment