Tuesday, May 22, 2012

Bulan Rejab, Antara Islam dan Jahiliyah

Posted by UPP DPMZ On 11:09 PM No comments


Perkataan Rejab terdiri daripada huruf Ra Jim Ba. Gabungan tiga huruf bermaksud menyokong sesuatu atau menguatkan sesuatu. Dikatakan masyarakat Arab menamakan bulan tersebut sebagai Rejab kerana pada masa itu mereka membuat sokongan pada pokok-pokok kurma yang hampir tumbang. Mereka memuliakan bulan ini dengan beberapa cara. 

Antaranya:

1-Diharamkan berperang pada bulan tersebut.
2-Melakukan sembelihan binatang ternakan yang dinamakan "Athirah".

Perkataan Rejab tidak terdapat di dalam Al-Quran. Al-Quran hanya menyebut bulan-bulan haram tanpa menjelaskan secara khusus apakah yang dimaksudkan dengan bulan-bulan tersebut.

Firman Allah SWT:

{إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ}

[التوبة: 36]

Maksud : “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah SWT ialah dua belas bulan (yang ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu adalah agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum Kafir Musyrik semuanya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya. Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang yang bertaqwa.”                                                           

[At-Taubah: 36]

Faedah Ayat

1-Bulan-bulan Islam itu adalah bulan yang diiktiraf di dalam syariat Islam sebagai penanda masa bagi ibadah. Misalnya penanda masa bagi puasa yang merupakan rukun Islam yang ke-2 adalah bulan Ramadan.

2-Dalam 12 bulan Islam, terdapat pula empat bulan yang disebut sebagai bulan haram. Haram di dalam ayat di atas bermaksud ia perlu dihormati.

3-Allah SWT melarang melakukan sebarang bentuk kezaliman pada bulan-bulan haram. Hal ini bukan bermakna kezaliman itu boleh dilakukan pada bulan-bulan selain bulan haram. Ia tetap  dilarang tetapi penekanan khusus diberikan pada bulan-bulan haram sebagai tanda memuliakannya.

Allah SWT berfirman:

{الشَّهْرُ الْحَرَامُ بِالشَّهْرِ الْحَرَامِ وَالْحُرُمَاتُ قِصَاصٌ فَمَنِ اعْتَدَى عَلَيْكُمْ فَاعْتَدُوا عَلَيْهِ بِمِثْلِ مَا اعْتَدَى عَلَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ}

[البقرة: 194]

Maksudnya : “(Mencabuli) bulan yang dihormati itu ialah dengan (sebab membalas pencabulan dalam) bulan yang dihormati; dan tiap-tiap perkara yang dihormati itu (jika dicabuli), ada balasannya yang seimbang. Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu; dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.”

[Al-Baqarah: 194]

Firman Allah SWT:

{يَسْأَلُونَكَ عَنِ الشَّهْرِ الْحَرَامِ قِتَالٍ فِيهِ قُلْ قِتَالٌ فِيهِ كَبِيرٌ }

 [البقرة: 217]

Maksudnya : “Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: "Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar”

[Al-Baqarah: 217]

Allah  SWT berfirman:

{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحِلُّوا شَعَائِرَ اللَّهِ وَلَا الشَّهْرَ الْحَرَامَ وَلَا الْهَدْيَ وَلَا الْقَلَائِدَ وَلَا آمِّينَ الْبَيْتَ الْحَرَامَ يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِنْ رَبِّهِمْ وَرِضْوَانًا}

 [المائدة: 2]

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar agama Allah, dan mengenai bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Mekah untuk korban), dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah Al-Haram, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan Ibadat Haji di tanah Suci).”

[Al-Maidah: 2]

Sabda Rasulullah SAW:

الزَّمَانُ قد اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يوم خَلَقَ الله السماوات وَالْأَرْضَ السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا منها أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ثَلَاثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الذي بين جُمَادَى وَشَعْبَانَ

Maksud : “Masa itu telah kembali semula seperti asal ketika Allah SWT menjadikan langit dan bumi. Setahun itu mangandungi dua belas bulan. Daripadanya terdapat empat bulan haram. Tiga daripada empat bulan tersebut adalah berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Sementara bulan Rejab umpama kabilah Mudhar yang berada di antara bulan Jumadal Akhirah (Jamadil Akhir) dan Syaaban.”

[Sohih Bukhari, Kitab Permulaan Kejadian, Bab Tentang Tujuh Lapisan Bumi, Jilid:3, m/s:1168, no:30265]

Hadith di atas menjelaskan maksud bulan-bulan haram yang disebut di dalam Al-Quran secara umum iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab.

Hukum Berkaitan Bulan Rejab

Perang

Menurut kepercayaan masyarakat Arab Jahiliah, tidak boleh diadakan sebarang peperangan sepanjang bulan Rejab dan bulan-bulan haram yang lain. Setelah kedatangan Islam, hukum ini dikekalkan. Allah SWT berfirman:

{يَسْأَلُونَكَ عَنِ الشَّهْرِ الْحَرَامِ قِتَالٍ فِيهِ قُلْ قِتَالٌ فِيهِ كَبِيرٌ }

 [البقرة: 217]

Maksudnya : “Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: "Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar”

[Al-Baqarah: 217]


Kemudian larangan ini dinasakhkan dengan akhir ayat yang ke-36 daripada surah at-Taubah. Ini adalah pendapat jumhur ulama'. Sebahagian ulama' berpendapat larangan perang di bulan haram masih lagi kekal tetapi tidak menjadi masalah bagi umat Islam untuk mempertahankan kesucian bulan-bulan haram itu dengan mengadakan peperangan jika ia dimulakan terlebih dahulu oleh pihak musuh.

Allah SWT berfirman:

{الشَّهْرُ الْحَرَامُ بِالشَّهْرِ الْحَرَامِ وَالْحُرُمَاتُ قِصَاصٌ فَمَنِ اعْتَدَى عَلَيْكُمْ فَاعْتَدُوا عَلَيْهِ بِمِثْلِ مَا اعْتَدَى عَلَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ}

[البقرة: 194]

Maksudnya : “(Mencabuli) bulan yang dihormati itu ialah dengan (sebab membalas pencabulan dalam) bulan yang dihormati; dan tiap-tiap perkara yang dihormati itu (jika dicabuli), ada balasannya yang seimbang. Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu; dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.”

[Al-Baqarah: 194]

Puasa

Tiada nas yang sohih menyatakan hukum tentang puasa Rejab secara khusus sama ada yang menunjukan sunat atau laragan. Terdapat hadith yang melarang berpuasa pada bulan Rejab namun ulama' menilaikannya sebagai lemah. Begitu juga terdapat hadith-hadith yang menggalakkan puasa sunat di bulan Rejab. Namun ia dinilaikan oleh ulama sebagai sangat lemah. Sebahagian ulama' berpendapat hukum berpuasa pada bulan Rejab itu adalah sunat berdasarkan hadis yang menggalakkan puasa pada bulan-bulan haram.

عن مُجِيبَةَ الْبَاهِلِيَّةِ عن أَبِيهَا أو عَمِّهَا أَنَّهُ أتى رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ انْطَلَقَ فَأَتَاهُ بَعْدَ سَنَةٍ وقد تَغَيَّرَتْ حالته وَهَيْئَتُهُ فقال يا رَسُولَ اللَّهِ أَمَا تَعْرِفُنِي قال وَمَنْ أنتَ قال أنا الْبَاهِلِيُّ الذي جِئْتُكَ عَامَ الْأَوَّلِ قال فما غَيَّرَكَ وقد كُنْتَ حَسَنَ الْهَيْئَةِ قال ما أَكَلْتُ طَعَامًا إلا بِلَيْلٍ مُنْذُ فَارَقْتُكَ فقال رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم لِمَ عَذَّبْتَ نَفْسَكَ ثُمَّ قال صُمْ شَهْرَ الصَّبْرِ وَيَوْمًا من كل شَهْرٍ قال زِدْنِي فإن بِي قُوَّةً قال صُمْ يَوْمَيْنِ قال زِدْنِي قال صُمْ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ قال زِدْنِي قال صُمْ من الْحُرُمِ وَاتْرُكْ صُمْ من الْحُرُمِ وَاتْرُكْ صُمْ من الْحُرُمِ وَاتْرُكْ وقال بِأَصَابِعِهِ الثَّلَاثَةِ فَضَمَّهَا ثُمَّ أَرْسَلَهَا

Maksud : Daripada Mujibah al-Bahiliyah, bapanya atau bapa saudaranya menemui Rasulullah SAW kemudian beliau pulang ke kampungnya. Setelah setahun berlalu, beliau menemui Rasulullah SAW semula dalam keadaan dirinya yang berbeza daripada sebelumnya. Lalu beliau berkata: Wahai Rasulullah! masihkah engkau mengenaliku? Rasulullah SAW bertanya: Siapakah kamu? Beliau berkata: Akulah orang yang datang menemuimu tahun lalu. Rasulullah bersabda: Apakah yang menyebabkan keadaanmu berubah, sedangkan sebelum ini kamu kelihatan segak? Beliau berkata: aku tidak menjamah makanan melainkan pada waktu malam sejak aku meninggalkanmu tahun lalu. Rasulullah SAW bersabda: Kenapa kamu menyiksa dirimu? Puasalah hanya di bulan Ramadhan dan satu hari pada setiap bulan. Kemudian beliau berkata: Tambahlah lagi wahai Rasulullah. Sesungguhnya aku mampu. Rasulullah menjawab: Puasalah dua hari dalam sebulan. Lalu dia berkata lagi: Tambahlah lagi wahai Rasulullah. Rasulullah SAW menjawab: Puasalah tiga hari. Dia berkata: Tambahlah lagi. Nabi bersabda: Puasalah pada hari-hari daripada bulan-bulan haram dan tinggalkan sebahagian daripadanya. (Nabi mengulangi sebanyak tiga kali).-

 [Sunan Abu Daud, Kitab Puasa Bab Puasa Pada Bulan-bulan Haram, Jilid:2, m/s:322, no:2428]

Hadith ini mempunyai sedikit masalah pada sanadnya. Namun ia merupakan hadith yang paling kuat dalam menyatakan sunat berpuasa pada bulan Rejab di samping bulan-bulan haram yang lain.

Oleh sebab bulan Rejab salah satu daripada bulan haram yang diberkati oleh Allah, maka amalan yang dilakukan padanya sudah tentulah mempunyai kelebihan khusus berbanding bulan-bulan biasa. Begitu juga kejahatan yang dilakukan padanya lebih berat berbanding dengan kejahatan yang dilakukan pada bulan-bulan biasa. Inilah yang difahami daripada larangan yang terkandung di dalam firman Allah SWT yang berbunyi:

فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ


Maksudnya : “Maka janganlah kamu menganiayai diri kamu dalam bulan-bulan haram (dengan melanggar larangan-Nya)”

 [At-Taubah: 36]

Oleh itu, sebahagian ulama' berpendapat digalakkan melakukan amal soleh pada bulan Rejab dan bulan-bulan haram yang lain seperti puasa, solat, sedekah dan seumpamanya.
 
Sembelihan

Antara budaya masyarakat Arab Jahiliah ialah mempersembahkan korban berupa haiwan ternakan kepada berhala-berhala mereka. Korban ini dinamakan 'Athirah'. Setelah kedatangan Islam, amalan ini diharamkan sama sekali. Rasulullah SAW bersabda :

لَا فَرَعَ ولا عَتِيرَةَ

Maksud: “Tiada sembelihan "Faraak" yang dibenarkan, begitu juga sembelihan "Athirah".

[Sohih Bukhari, Kitab Aqiqah, Bab Athirah, Jilid:5, m/s:2083, no:5257]

Faraak ialah sembelihan yang dipersembahkan kepada berhala apabila unta yang diternak oleh seseorang itu memperolehi anak yang pertama.

Athirah pula ialah sembelihan yang dilakukan pada bulan Rejab. Ia juga dinamakan sebagai Rajabiyyah.

Dua jenis sembelihan ini telah dihapuskan oleh Islam. Namun menurut setengah ulama' hanya sembelihan yang dipersembahkan kepada berhala dan dengan anggapan wajib sahaja yang dibatalkan oleh Islam. Oleh itu, mereka berpendapat sembelihan "Athirah" itu hukumnya digalakkan sahaja. Hal ini selagimana ia tidak terikat dengan kepercayaan dan sembahan berhala, maka mana-mana yang disembelih kerana Allah, maka halal sembelihannya.

Berdasarkan kepada hadith daripada Nubaisyah, mereka (para sahabat) bertanya kepada Nabi SAW berkenaan dengan sembelihan athirah sejak zaman jahiliyah iaitu sembelihan dalam bulan Rejab. Lalu Nabi SAW menjawab :

اذْبِحُوا لله فِي أَيِّ شَهْرٍ كان وَبِرُّوا الله وَأَطْعِمُوا

Maksudnya : “Sembelihlah niat kerana Allah pada mana-mana bulan sekalipun, dan lakukan kebaikan kepada Allah dan berilah makan (kepada manusia lain)”

[Abu Daud no 2830,  An-Nasai no 4233]

Ibu Abbad RA menyatakan bahawa makruh menjadikan bulan Rejab sebagai perayaan (iaitu berkaitan sembelihan athirah pada bulan Rejab,yang memberikan maksud sembelihan tersebut sebagai sebuah perayaan). – Kitab Latoif Al-Maarif, cetakan Al-Maktab Al-Islami, m/s 212

Justeru, sebahagian ulama yang menyatakan tidak mengapa melakukan sembelihan ialah apabila tidak terikat dengan kepercayaan iaitu sembelihan adalah niat kepada Allah, dan sembelihan tersebut bukan ada apa-apa kaitan dengan perayaan sebagaimana pada zaman jahiliyah.

Antara Peristiwa-Peristiwa Penting Sepanjang Bulan Rejab

1-Perang Tabuk tahun ke-9 Hijriah
2-Perang Yarmuk tahun ke15 Hijriah
3-Kemasukan awal Tariq bin Ziyad ke bumi Andalus pada tahun ke-97 Hijriah
4-Pembukaan kali ke-2 Baitul Maqdis oleh Solahuddin Al-Ayubi (hari Jumaat 27 Rajab 583 Hijrah)
5-Isra' Mikraj pada 27 Rejab (pendapat yang masyhur. Pendapat ini dipegang oleh Imam Ibnu Hajar)
6-Pensyariatan solat (ketika peristiwa Isra’ Mikraj pada 27 Rejab)


Wallahu a’lam

Disediakan oleh:

Rabiatul Adawiyah Shamsudin
Felo MANHAL PMRAM 2012

Rujukan

1-Al-Quran al-Karim
2-Sohih Bukhari, Dar Ibn Kahtir
3-Sohih Muslim, Dar Ihya' Turath al-Arabiy
4-Sunan Abu Daud, Dar al-Fikr
5-Syarah an-Nawawi ala Sohih Muslim, Dar Ihya' Turath al-Arabiy
6-Mu'jam Maqayis al-Lughah, Dar al-Jil
7-Maktabah as-Syamilah
8-Mizan al-I'tidal, Dar al-Kutub al-A'lamiah
9-Kasyfu al-Khafa', Muassasah ar-Risalah
10-al-Misbah al-Munir, Maktabah al-A'lamiah

Rujukan tambahan :

1-Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh, jilid pertama, oleh Dr Wahbah Az-Zuhaily, cetakan Dar Al-Fikr
2-Latoif Al-Ma’arif, oleh Imam Ahmad bin Rajab Al-Hanbali, cetakan Al-Maktab Al-Islami

Sumber : manhal-pmram

0 comments:

Sahabat