Wednesday, June 13, 2012

Alah Bisa Tegal Biasa

Posted by UPP DPMZ On 4:29 PM No comments



Manusia Yang Positif Adalah Manusia Yang Cemerlang

Setiap manusia akan menghadapi kesukaran dan cabaran hidup tertentu tanpa mengira latar belakang dirinya. Mustahil bagi seorang manusia untuk tidak menghadapi ujian dalam hidupnya walaupun sekali. Manusia akan mencapai tahap kematangan selepas melalui proses ujian dan dugaan. Sebahagian manusia menghadapi ujian yang menimpa dengan hati yang redha dan mengambil sikap positif.

Ada juga sebahagiannya yang tidak mampu untuk mengawal emosi dan stres lantas bersikap negatif terhadap segala dugaan yang menimpa dirinya. Pepatah Melayu ada menyebut “Alah Bisa, Tegal Biasa”. Positif dalam menghadapi dugaan adalah sikap orang yang cemerlang dan mampu untuk maju dalam segenap aspek kehidupannya.

Ciri-ciri, sikap dan sifat cemerlang orang yang positif dapat dilihat seperti berikut:

1. Orang yang bersikap positif apabila semakin tercabar, semakin kuat.

Seseorang yang positif berperibadi kuat seumpama besi waja; semakin dibakar oleh api yang marak, semakin kuat menghadapi cabaran hidup dan semakin teguh melayari kehidupan. Seseorang yang berperibadi lemah, laksana timah atau lilin; apabila terkena api, hancur lebur. Apabila terketuk oleh cabaran, berkecai!

Imam Hassan al-Banna merupakan reformis sosial dan politik Mesir yang terkenal sebagai pengasas gerakan Ikhwanul Muslimin. Beliau yang pada mulanya bergerak bersendirian dan menghadapi pelbagai kecaman bagi menyebarkan dakwah, akhirnya berhasil membentuk suatu pasukan dakwah yang cukup hebat serta berjaya menyusun manhaj dakwah yang diguna pakai di seluruh dunia. Cabaran hukuman penjara, cacian manusia, kekurangan wang dan sebagainya tidak dilihat sebagai penghalang keberjayaan dakwah beliau, tetapi dihadapi dengan bijaksana dan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya bagi memperbaiki uslub dakwah kepada masyarakat.

Akhirnya, berkat kesabaran dan sikap positif yang dipamerkan, beliau mampu melahirkan pelapis perjuangan beliau yang begitu hebat  yang bertebaran di seluruh dunia umpama Syed Qutb, pengarang tafsir fi Zilalil Quran, Dr. Wahbah az-Zuhaily, pengarang kitab Tafsir Al-Munir,  Dr. Yusuf al-Qaradhawi serta ramai lagi tokoh ilmuwan dan dakwah yang berjaya di tempat membawa manhaj dakwah yang disusun Imam Hassan al-Banna.

2. Orang yang positif melihat peluang dalam kegawatan

Orang yang negatif melihat kegawatan sebagai penghalang kemajuan. Tetapi, orang yang positif dapat melihat peluang keemasan dari kegawatan!. Kisah hidup Onassis amat menarik perhatian saya. Aristotle Onassis, seorang jutawan Greek di Argentina, asalnya adalah seorang budak miskin. Beliau berpindah ke Argentina dari Greek untuk membina kehidupan baru. Umurnya pada waktu itu hanya 17 tahun. Selepas perang Dunia Kedua, dunia menghadapi kemelesetan ekonomi yang teruk.

Banyak syarikat telah jatuh muflis. Namun, Onassis telah melihat suatu peluang daripada perkara tersebut. Beliau sedar bahawa tentera Amerika sedang menghadapi masalah lebihan kapal perang, kapal-kapal tidak lagi digunakan untuk berperang. Lalu beliau telah membeli kapal-kapal kecil tentera Amerika itu dengan harga yang murah. Setelah membuat sedikit ubah suai, kapal-kapal itu sudah boleh digunakan.

Beliau menggunakan kapal-kapal tersebut untuk mengangkut barang-barang dan minyak untuk diperdagangkan. Onassis telah dapat melihat peluang dalam kegawatan. Manakala, orang lain lebih melihat halangan dalam kegawatan.

3. Orang yang positif sentiasa berusaha bersungguh-sungguh

Seseorang yang positif berpegang kepada falsafah bahawa “Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Ia didorong bersama semangat tidak mudah putus asa dan bekerja keras!. Seperti kata pepatah Arab, “Barangsiapa yang berusaha dia pasti akan berjaya. Barangsiapa yang bercucuk tanam maka dia akan dapat menuai hasilnya.”

Fokus yang diletakkan adalah untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkannya untuk berjaya serta mencapainya dengan penuh keberanian dan kesungguhan. Semangat waja Paul Getty juga amat baik sekali untuk kita contohi. Menurut beliau, untuk mencapai suatu kejayaan yang dicita, kita perlu membuat dua perkara. Pertamanya ialah menetapkan suatu matlamat besar, manakala yang kedua ialah berusaha mencapainya dengan penuh keberanian.

4. Orang yang positif sentiasa mencari jalan memperbaiki diri

Kecemerlangan diri tidak ada batasannya sama sekali. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa mencari jalan memperbaiki prestasi diri sendiri. Apa yang dilihat sebagai terbaik hari ini mungkin dinilai sederhana sahaja sepuluh tahun akan datang. Peter Drucker, seorang profesor ilmu pengurusan di Amerika ada berkata “Pengurus yang berjaya sentiasa bertanya kepada dirinya apakah yang boleh dia buat, bukan apa yang orang lain patut buat untuknya.”

Orang yang positif bertanggungjawab kepada diri sendiri serta tindakan-tindakan yang dilakukannya dengan cara berdikari. Dengan bersikap positif, seseorang itu akan mencari jalan untuk memperbaiki kehidupannya. Bukannya berharap kepada orang lain untuk memperbaiki kehidupannya.

Dengan sikap seperti ini, setiap orang boleh berjaya. Malah dengan bersikap demikian juga, dia mampu untuk membawa kejayaan kepada diri, keluarga dan masyarakatnya. Dengan bersikap positif, tenaga yang biasa digunakan untuk mengecam, memaki hamun, dan marah itu dapat digunakan untuk perkara-perkara yang membina potensi diri.

5. Seseorang yang positif tidak menyalahkan keadaan

Seseorang yang positif tidak mengeluh atau mengecam bila ditimpa kemalangan, musibah atau terdapat kekurangan pada dirinya. Sebaliknya ia menggunakan segala kekurangan itu untuk kebaikan dirinya serta kepada orang lain. Napoleon, yang hanya berbadan kecil dan rendah iaitu hanya setinggi kira-kira 5 kaki 1 inci sahaja, selalu dipermainkan oleh rakan-rakannya di Maktab Tentera di tempat beliau belajar.

Tambahan pula, Napoleon berasal dari Pulau Corsica, pulau yang dipandang tidak begitu penting oleh orang-orang Perancis. Kerana itu, Napoleon telah berazam untuk menunjukkan kepada rakan-rakannya bahawa dia lebih baik daripada mereka. Beliau telah mempelajari ilmu ketenteraan dengan begitu bersungguh-sungguh. Akhirnya, beliau menjadi seorang Maharaja Perancis yang berjaya menakluk tiga suku Benua Eropah. Kekurangannya, serta ejekan daripada rakan-rakannya itulah yang mendorongnya menjadi seorang panglima tentera yang terkenal.

6. Orang yang positif mendengar dahulu pendapat orang lain

Orang-orang yang positif tidak mengenepikan kecaman-kecaman musuhnya misalnya dengan terus mengatakan orang itu salah. Tetapi, ia akan mendengar segala kecaman tadi dan memikirkan sama ada benarkah ia salah atau tidak. Perlu diingat, bilamana sesorang mengecam, pastinya di sana ada sebab-sebabnya. Kadang-kadang daripada kecaman orang lain, kita mampu mendapat petunjuk untuk memperbaiki diri dan mutu kerja kita.

Pernah suatu ketika, Presiden Abraham Lincoln telah dikecam oleh Menteri Pertahanan beliau sendiri, Edward Stanton. Beliau telah digelar oleh Stanton sebagai seorang dungu. Namun, adakah Lincoln marah dan memecat Menteri Pertahanan itu? Tidak!, sebaliknya beliau telah bertanya kepada Stanton mengapa dia berkata sedemikian. Stanton telah menerangkan bahawa langkah Lincoln memindahkan beberapa batalion tentera ke suatu tempat itu akan merugikan kerajaan Amerika. Presiden Lincoln yakin terhadap penjelasan Stanton itu, lalu terus menarik balik rancangannya tadi.

Sebaliknya, Presiden Suharto (Indonesia) yang tidak mengindahkan kecaman manusia bahawa dasar pentadbiran dan ekonominya tidak dapat membawa keadilan sosial kepada masyarakat Indonesia, akhirnya terpaksa meletakkan jawatan dalam keadaan yang amat mengaibkan. Inilah juga yang perlu diberi perhatian oleh pemimpin-pemimpin di negara kita sekarang ini. Mereka bukan sahaja perlu mendengar dengan telinga tetapi juga dengan mata, hati, dan fikiran terhadap setiap rintihan rakyat sama ada yang tersurat atau tersirat.

7. Orang yang positif sentiasa bangun apabila terjatuh.

Boleh dikatakan bahawa setiap orang yang mencapai kejayaan pernah jatuh bukan hanya sekali, malah berkali-kali. Namun, mereka ini dapat bangun semula daripada jatuh. Mereka tidak mengalah. Setiap kali jatuh, setiap kali itu juga mereka bangun semula dan terus gigih bertatih untuk lebih mantap berjalan. Biarpun banyak kali terjatuh, banyak kali juga kita perlu bangun.

Kunci kejayaan mereka ialah bukan sedalam mana mereka jatuh, tapi sekuat mana kemampuan mereka bertahan dan berdiri semula pada kedudukan yang lebih tinggi berbanding sebelumnya. Allah SWT sudah menyatakan dalam al-Quran betapa nasib seseorang itu tidak akan berubah melainkan dia sendiri berusaha mengubahnya. Maka, perhatikan dan ambillah iktibar daripada kalam Tuhan yang mulia ini.

"Julang Keilmuan Jana Keizzahan"
"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"

Abdul Naafiq Taqiuddin Bin Roslan
Ketua Badan Pendidikan Dan Komunikasi Bahasa
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012

Sumber : pmram.org

0 comments:

Sahabat