Sabtu, 9 Jun 2012 -- Jawatankuasa Kempen Prihatin Syria (KPS) melihat situasi Syria
kebelakangan ini dengan penuh kebimbangan dan kekecewaan. Ini kerana pembunuhan
yang berlaku sejak tercetusnya revolusi telah melebihi 15, 000 nyawa, namun
dunia terus berdiam diri terutama Liga Arab dan Majlis Keselamatan PBB yang
'bisu' apatah lagi 'blok penyokong kuat'
Syria iaitu Iran dan Hizbullah yang meneruskan sokongan kepada rejim tanpa
henti.
Dalam tempoh tidak sampai sebulan telah
berlaku dua penyembelihan beramai-ramai iaitu di Haulah pada 25 Mei dan
El-Qobair pada 8 Jun yang kedua-duanya mengorbankan lebih 200 nyawa,
sebahagiannya kanak-kanak dan wanita.
Menurut saksi, askar rejim Syria memasuki
kampung dan membakar rumah kediaman penduduk menyebabkan sebahagian mangsa
meninggal dunia akibat terperangkap dalam kebakaran manakala sebahagian yang
lain disembelih menggunakan pisau.
Hati dan sanubari umat Islam bagai disiat dan
dihiris apabila rejim Syria terus menafikan penglibatannya dalam pembunuhan di
Haulah. Bahkan Presiden Syria, Basyar Al-Assad berjanji akan memperhebatkan
kempen perang ke atas tentera bebas Syria yang disifatkan sebagai 'pengganas'
yang memudaratkan keselamatan negara.
Pada 4 Jun lalu, beberapa hari sebelum
penyembelihan di El-Qobair berlaku, Presiden Syria, Basyar Al-Assad melantik Perdana Menteri baru
Riyadh Hijab, yang merupakan penyokong kuat parti pemerintah untuk menubuhkan
kerajaan baru menggantikan kerajaan 'Adil Safar.
Serangan dan pembunuhan kecil saban hari terus
berlaku di seluruh Syria. Lebih membimbangkan lagi apabila kes penculikan
wanita dan beberapa orang yang menyertai demonstrasi aman anti kerajaan turut
terjadi. Majlis Kebangsaan Syria, sebuah pertubuhan pembangkang adalah
dilaporkan sebagai menyatakan, kebanyakan mereka terdedah kepada pembunuhan
seperti nasib yang menimpa Zainab Al-Husni dan mangsa lain sebelum ini.
Untuk itu, Kempen Prihatin
Syria (KPS) menyeru:
1)Seluruh mahasiswa dan mahasiswi Mesir cakna
dan meneruskan doa masing-masing walaupun dalam tempoh peperiksaan pada waktu
ini. Memang tidak dapat dinafikan, fokus terhadap peperiksaan dan sesekali
terhadap politik semasa di Mesir menyebabkan kita terlepas pandang berkaitan
isu di Syria.
2)Menyemarakkan semangat kempen di bulan Rejab
yang mulia ini bagi pembebasan Palestin dan Syria. Kedua-dua tempat ini dirakam
dalam sejarah Islam yang mana terletak dalam lingkungan negara Syam seperti
disebut dalam al-Quran sebagaimana firman Allah SWT dalam ayat pertama surah
Al-Isra'.
3)Jawatankuasa KPS akan menggerakkan semula
kempen bagi fasa kedua selepas peperiksaan nanti dan mengharapkan sokongan dari
seluruh mahasiswa dan mahasiswi sekalian.
Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada
saudara kita di Syria untuk terus thabat.
"Mahasiswa Mendepani Isu
Sejagat"
"Memartabat Keilmuan
Memimpin Kesatuan"
Muhammad Abdul Malik
Hj. Abdul Karim
Koordinator Kempen
Prihatin Syria / Penasihat PMRAM 2012
Sumber : pmram.org
0 comments:
Post a Comment