Monday, June 11, 2012

Impak Ikhlas Pasti Dibalas

Posted by UPP DPMZ On 8:31 PM No comments


 
"Don't judge a book by its cover" ungkapan untuk memberi maksud kepada jangan mudah memberikan satu kesimpulan hanya pada luaran sahaja.

Mentaliti seumpama ini semakin menular dalam pemikiran masyarakat, namun menurut kaca mata Islam sendiri ada perkara yang lebih penting untuk mendatangkan impak daripada sudut luaran.


Realiti kini, aspek ini semakin tidak menjadi keutamaan bahkan ada yang tidak menjadi ianya satu kepentingan dalam setiap perkara dalam melakukannya. Keikhlasan dalam setiap gerak kerja dan tindakan kita sebenarnya mampu melahirkan impak yang maksima kepada suasana sekeliling kita.

Oleh yang demikian, kita sendiri boleh melihat tahap keikhlasan kita dalam diri adakah semata-mata mengharapkan keredhaan Allah SWT ataupun sebaliknya. Secara tidak langsung ianya berkaitan dengan niat kita melalui lintasan hati kerana nilai keikhlasan merupakan perkara abstrak dan hanya Allah SWT sahaja mengetahui segalanya.

Beberapa pendapat berkaitan dengan niat, antaranya :

- Niat berkait rapat dengan maksud yang tertentu sekaligus diaplikasikan melalui tindakan seseorang.
- Niat adalah keinginan sesuatu yang disertakan dengan tindakan ataupun lebih dikenali dengan istilah "Azam". 
- Niat akan membangkitkan hati dan seiring dalam setiap tindakan samada mengundang kebaikan dan keburukan.


Justeru, niat yang ikhlas bakal diekspresikan melalui tindakan kita sendiri sekaligus dapat memberikan gambaran mereka sekeliling. Realiti kini kita dapat melihat, kebejatan pemikiran masyarakat dunia dibantu pula dengan kecanggihan teknologi moden sudah pasti segalanya menjadi persoalan apakah tindakan mereka benar-benar ikhlas atau mempunyai agenda tersendiri.

Tidak salah menggunakan segala kemudahan yang ada cuma harus dilihat kembali dasarnya samada dilakukan untuk kepentingan sendiri ataupun semata-mata kerana Allah SWT. Keikhlasan yang berkualiti perlu dibentuk dengan sebaik mungkin agar tidak dicemari dengan unsur-unsur lain. Implikasinya, kecintaan kepada Allah SWT semakin pudar dan pengakhirannya mengharapkan kepada makhluk lain daripada Maha  Pencipta seluruh alam.

Elemen penting dalam memastikan nilai keikhlasan kita tidak menyimpang daripada landasan sebenar adalah seperti:

1-Memikirkan nilaian Allah SWT berbanding nilaian manusia. Seperti kata Fudhail bin I'yadh : "Melakukan sesuatu kerana manusia syirik manakala meninggalkan sesuatu kerana manusia adalah riak'. 
2-Tiada perbezaan dalam setiap tindakan samada dalam keadaan terbuka atau tersembunyi, biarpun khalayak ramai ataupun individu."Barangsiapa berhias kerana manusia tiada nilaian di sisi Allah SWT". 
3-Sentiasa menerima segala pujian dan kritikan dengan terbuka dan tidak hanya mengharapkan pujian setiap masa.

Dengan penjagaan rapi untuk memastikan keikhlasan kita sepenuhnya kepada Allah SWT sudah pasti daripada luaran akan menzahirkan impaknya. Apabila kita menghayati sejarah perjuangan pahlawan Islam terdahulu, akidah perjuangan yang didokong dengan keikhlasan dan keyakinan pada Allah SWT telah memberikan kemuliaan mereka di dunia lagi.

Biarpun kehilangan harta, keluarga dan seumpamanya namun keihklasan mereka membenarkan setiap janji Allah SWT kepada amalan yang mereka lakukan. Atas dasar ini, kita perlu melihat setiap amalan yang dilakukan samada benar-benar ikhlas atau menyimpang daripada landasan sebenar. Sekiranya kita benar-benar ikhlas, bantuan Allah SWT sentiasa mengiringi gerak langkah kita dan pengakhirannya mendapat keredhaan Allah SWT.

Kesan daripada amalan yang ikhlas maka hasil diperolehi juga mampu membentuk diri kita sebagai seorang muslim sejati. Antaranya :

- Ketenangan hati dan kebahagiaan jiwa. 
- Suntikan kekuatan ruhhiyyah dan meninggikan keyakinan pada Allah SWT. 
- Komited dalam setiap gerak kerja dan amalan. 
- Menjadikan satu kebiasaan kepada ibadat seperti solat yang dianggap satu kebiasaan bukannya ibadat. 
- Mampu menilai tahap keutamaan dalam satu amalan samaada perlu dilakukan atau perlu diutamakan. 
- Bantuan Allah SWT sahaja tempat memohon segalanya.

Natijah ini akan mendatangkan sesuatu yang lebih bermakna bukan hanya kebaikan di dunia sahaja bahkan di akhirat. Oleh demikian, sayugianya kita perlu merenung diri kita kembali agar segala yang dilakukan tidak terperangkap dalam bisikan syaitan dan akhirnya terpenjara dalam kancah kehinaan. Sudah pasti nilaian pada luaran juga akan terserlah andai berpaksikan keikhlasan kepada tuhan pencipta sekalian alam.

Manusia sentiasa diberikan pilihan oleh Allah SWT untuk mencari keredhaanNya, segalanya bergantung kepada kita dalam memilihnya demi kebaikan Islam dan ikhlas dalam perjuangan menjunjung agama.

"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"

Zulhafeez Bin Ahmad Zahidi
Timbalan Presiden
[Lajnah Perancang & Panitia]
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012

Sumber : pmram.org

0 comments:

Sahabat