Ketakwaan kepada Allah Azzawajalla
merupakan asas gelombang kekuatan, asas bagi cahaya dan asas bagi pemberian
sumbangan atau pengorbanan. Ketakwaan kepada Allah S.W.T sahajalah yang
membolehkan seseorang mukmin membezakan antara yang hak dengan yang batil.
Allah akan menjadikan satu cahaya kepada mereka yang bertakwa dan dengan cahaya
tersebut mereka berjalan dikalangan manusia seluruhnya berpandukan dengan nur
hidayah yang mereka bawa dan bersinarkan dengan
nur tersebut.
Di dalam A-Quran Allah S.W.T telah berfirman :
"
يأَيُّهَا
الَّذِينَ ءَامَنُواْ اتَّقُواْ اللَّهَ وَءَامِنُواْ بِرَسُولِهِ يُؤْتِكُمْ كِفْلَيْنِ
مِن رَّحْمَتِهِ وَيَجْعَل لَّكُمْ نُوراً تَمْشُونَ بِهِ وَيَغْفِرْ لَكُمْ وَاللَّهُ
غَفُورٌ رَّحِيمٌ لِّئَلاَّ يَعْلَمَ أَهْلُ
الْكِتَـبِ أَلاَّ يَقْدِرُونَ عَلَى شَىْءٍ مِّن فَضْلِ اللَّهِ وَأَنَّ الْفَضْلَ
بِيَدِ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَآءُ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ"
Maksudnya, “Wahai orang-orang yang
beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada Rasul-Nya
(Muhammad) supaya Allah memberikan kepada kamu dua bahagian dan rahmat-Nya dan
menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya serta diampunkan dosa
kamu dan ingatlah Allah amat Pengampun lagi amat Pengasihani.”
(Al-Hadid: 28)
Ibadah puasa melahirkan dan mentarbiyah
seseorang yang beriman supaya menjadi orang yang bertaqwa kepadaNya, kerana di
bulan Ramadhan amalan meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan puasa dan
membatalkan pahala puasa adalah secara praktikal, melatih seseorang itu
bertaqwa kepada Allah dengan mengikut segala perintah dan meninggalkan segala
laranganNya. Taqwa kepada Allah SWT
bukan dengan berpuasa di siang hari dan sembahyang pada malam hari,
serta menyatukan diantara keduanya. Tetapi taqwa kepada Allah ialah
meninggalkan apa yang diharamkan Allah SWT dan melaksanakan apa yang
diwajibkanNya. Maka barangsiapa yang
dianugerahkan kebaikan sesudah itu, maka itulah kebaikan yang disusuli dengan
kebaikan.
Keberjayaan dalam melakukan amal ibadah
di bulan ramadhan adalah yang berhasil dalam meraih ketaqwaan dan berterusan di
amalkan bukan sahaja pada bulan ramadhan tetapi berterusan selepas berlalunya bulan ramadhan sehingga kita
bertemu semula di bulan ramadhan akan datang. Untuk mencapai kejayaan dalam
istiqomah melakukan sesuatu amalan mestilah melalui jalan atau panduan untuk
menuju ketaqwaan .
1. Perjanjian ( Mu’ahadah )
Allah telah berfirman,
“وَأَوْفُواْ بِعَهْدِ اللَّهِ إِذَا
عَـهَدتُّمْ وَلاَ تَنقُضُواْ الاٌّيْمَـنَ بَعْدَ تَوْكِيدِهَا وَقَدْ جَعَلْتُمُ
اللَّهَ عَلَيْكُمْ كَفِيلاً إِنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا تَفْعَلُونَ”
“Dan tepatilah
perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu merombak
(mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah) sedang
kamu telah menjadikan Allah sebagai penjamin kebaikan kamu sesungguhnya Allah
sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan.
(An-Nahl: 91)
Kaifiat (cara)
perjanjian
Seorang mukmin itu berkhalwat disuatu
tempat di mana wujud di sana hanya Allah S.W.T dan dirinya sahaja. Di dalam
munajat tersebut ada ikrar atau perjanjian manusia dengan Allah iaitu tidah
mengabdikan diri melainkan kepada Allah S.W.T, tidak meminta pertolongan selain
Allah S.W.T, beriltizam di atas jalan Allah yang lurus dan tidak ada sebarang
padanya kebengkokan (jalan yang lurus) serta tidak akan melampaui batasan jalan-jalan
mereka yang sesat dan di murkai Allah S.W.T.
Di dalam perjanjian ini Allah S.W.T.
memberi peringatan supaya manusia sentiasa berwaspada dari sebarang amalan yang
boleh membawa kepada kekufuran setelah ianya beriman, daripada kesesatan
setelah mendapat petunjuk serta fasik setelah ia beriltizam.
Peringatan Allah S.W.T. kepada hambanya
yang mengingkari perjanjian tersebut akibatnya segala kesesatan dan dosa
ditanggung sendiri. Allah S.W.T tidak akan mengazab hambanya sebelum Allah
mengutuskan Rasul kepada mereka untuk member petunjuk jalan yang benar dan
batil.
2. Muraqabah
Firman Allah S.W.T ,
“الَّذِى يَرَاكَ حِينَ تَقُومُ وَتَقَلُّبَكَ
فِى السَّـجِدِينَ “
“(Allah) Yang
melihatmu semasa engkau berdiri (mengerjakan) sembahyangdan (melihat) gerak
gerimu di antara orang-orang yang sujud.”
(as-Syu’ara: 218 -219)
Pengertian muraqabah sepertimana dalam
al-Quran dan Hadith ialah menghadirkan (merasakan) kebesaran Allah disetiap
waktu dan mendampinginya ketika tersembunyi atau secara terang-terangan.
Kafiat (cara)
Muraqabah
Seorang mukmin memastikan dirinya sebelum
memulakan pekerjaan dan dipertengahan amalanya. Adakah segala amalan
ketaatannya semata-mata untuk kepentingan dirinya atau mencari kepujian untuk
ekmasyuran atau semata-mata beramal untuk mencari keredhaan Allah dan
mengharapkan balasanNya. Sekiranya amalan yang dilakukan semata-mata kerana
Allah S.W.T ia akan terus melakukannya tetapi sebaliknya jika semata-mata untuk
kepentingan hawa nafsunya ia tidak akan
melakukannya.
Terdapat beberapa jenis muraqabah kepada
Allah iaitu:
1)
Muraqabah kepadaNya ketika melakukan ketaatan, iaitu dengan melakukan
sesuatu amalan dengan kesungguhan dan keikhlasan.
2)
Muaraqabah dalam meninggalkan maksiat, iaitu dengan bertaubat,
penyesalan dan terus meninggalkannya.
3)
Muraqabah dalam melakukan perkara harus, iaitu dengan memelihara
tatasusila dan bersyukur atas segala nikmatNya.
4) Muraqabah ketika menimpa musibah,
iaitu menerima musibah dengan kerelaan dan menerimanya dengan redha dan sabar.
3. Muhasabah
Firman Allah S.W.T ,
“يأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ
اتَّقُواْ اللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُواْ اللَّهَ إِنَّ
اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
“Wahai orang-orang
yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan dan
meninggalkan larangan-Nya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan
memerhatikan apa yang telah lepas dari amalan-amalannya untuk hari esok
(akhirat) dan sekali lagi diingatkan, bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya
Allah amat meliputi pengetahuan akan segala yang kamu kerjakan.”
(Al-Hasyr: 18)
Muhasabah ialah seorang mukmin menghitung
dirinya setelah melakukan sesuatu amalan. Dalam melakukan amalan harian sebagai
mukmin mestilah menyediakan satu waktu khusus yang mana ia berjanji pada
dirinya untuk diperbetulkan niatnya berterusan disetiap waktu dalam ketaatan,
menunaikan kewajipan dan jauh dari perasaan
riak. Selain dari itu hendakalh bermuhasabah jika amalan kebaikkannya banyak
hendaklah memuji Allah dan memohon kepada Allah untuk ditetapkan hatinya untuk
terus melakukan ketaatan dan meningkatkan amalan. jika ia sedari bahawa
amalannya sedikit hendaklah bertaubat, menyesali dan memohon keampunan kepada
Allah S.W.T agar memelihara diri dari melakukan dosa dan mengahkiri
kehidupannya dengan husnul khotimah.
4. Mu’aqobah ( Balasan )
Firman Allah S.W.T ,
“وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ
يأُولِي الالْبَـابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ “
“Dan dalam hukuman
qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang yang berakal fikiran, supaya
kamu bertakwa.”
(Al-Baqarah: 179)
Mu’aqobah adalah seorang mukmin apabila
ia meneliti dan menghisab dirinya lalu ia dapati kekurangan pada amalannya atau
telah melakukan dosa, tidak sepatutnya ia membiarkan dosa-dosa yang telah
dilakukan dibiarkan begitu sahaja. Ini
kerana dengan sifat menganggap mudah
terhadap dosa yang dilakukannya akan rnendorongnya untuk kembali
melakukan dosa
serta menyukarkannya untuk meninggalkan
kemaksiatan. Bahkan kewajipan sebagai hamba mestilah menerima hukuman (deraan)
keatas diri sendiri dengan hukuman yang sesuai dengan kesalahan yang dilakukan.
Dengan hukuman ini bertindak sebagai penghalang dan memberi kesedaran terhadap perbuatannya seterusnya membawa
kepada ketaqwaan dan kehidupan yang lebih baik dan sejahtera.
Hukuman yang dilakukan mestilah tidak
sampai kepada yang haram seperti mengazab satu anggota badan dengan menggunakan
api, menghalang diri dari makan dan minum kerana kesemua contoh hukuman ini
boleh memberi kemudharatan. Sepertimana Allah S.W.T telah berfirman dalam surah
al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud “Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu
ke lembah kebinasaan “.
5. Mujahadah
Firman Allah S.W.T,
وَالَّذِينَ جَـهَدُواْ فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا
وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ
“Dan orang-orang
yang berusaha dengan ber sungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami,
sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan kami (yang menjadikan
mereka bergembira dan beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan
bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha memper baiki
amalannya.”
(Al-Ankabut: 69)
Pengertian mujahadah sepertimana ayat di
atas pabila seorang mukmin di selubungi perasaan malas dan cenderong kepada
keduniaan serta gagal untuk melakukan amalan sunat dan ketaatan di waktunya,
maka mestilah berusaha agar dapat menunaikan perkara-perkara sunat lebih banyak
daripada sebelumya. Memaksa serta mewajibkan dirinya dengan penuh semangat
untuk berterusan melakukan amalan tersebut sehingga kesemua amalan ketaatan
yang terpaksa dilakukan pada awalnya akan menjadi suatu kebiasaan dan sebati
dalam dirinya.
Contoh mujahadah yang dilakukan oleh
Rasululullah S.A.W melalui hadithnya:
Sepertimana diriwayatkan daripada ‘Aisyah bahawa Baginda
Rasululullah S.A.W berdiri di waktu malam (beribadat) sehinggakan
bengkak-bengkak kaki baginda, lalu Aisyah bertanya:
“Untuk apakah ini
semua sedangkan engkau sesungguhnya telah diampunkan Allah terhadap apa yang
telah dan akan engkau lakukan. Lalu baginda menjawab; “Bukankah aku merupakan
seorang hamba yang bersyukur.”
(Riwayat As-Syaikhan : Bukhari dan Muslim)
Dan berkata Aisyah sepertimana yang
diriwayatkan oleh As-Syaikhan: “Adalah Rasulullah s.a.w., apabila masuk sepuluh
hari (dari bulan Ramadhan), maka baginda menghidupkan malam (sembahyang malam)
dan membangunkan keluarganya serta bersungguh-sungguh beribadat dan tidak
mencampuri isteri isterinya.”
Mujahadah dalam menghambakan diri
kepada Allah dengan mengerjakan amalan
sunat dan ketaatan kepada Nya adalah merupakan
suruhan baginda Rasulullah S.A.W
supaya para pendakwah serta para ulamak dan para pewaris nabi,
merekalah yang mula-mula sekali
mengamalkan serta sentiasa melakukannya.
Dalam kita bermujahadah kepada Allah
S.W.T hendaklah menelita dua perkara yang penting, antaranya:
1. Janganlah dalam melakukan ibadah sunat
kita melalaikan hak-hak orang lain. Seperti seseorang menunaikan kewajipan
kepada Allah dalam perkara-perkara sunat tetapi mengabaikan nafkah kepada ahli
keluarganya dan hak-hak terhadap dirinya sepertimana sabda Rasulullah S.A.W
yang bermaksud :
“Sesungguhnya di
atas diri engkau ada kewajipan kepada Allah, begitu juga engkau berkewajipan ke
atas diri engkau sendiri dan ahlikeluarga engkau. Oleh itu berikanlah hak-hak
kepada mereka yang berhak.”
(Riwayat Bukhari)
2.
Seseorang mukmin tidak memberatkan dirinya dalam mengerjakan perkara
sunat melebihi tahap kemampuannya.
Oleh yang demikian, jalan untuk menyucikan
roh ketakwaan, menyuburkannya dalam hati dan jiwa para mukmin dapat disebatikan
didalam perasaan dan kesedaran melalui lima jalan menuju ketaqwaan iaitu
perjanjian, muraqabah, muhasabah, mu’aqobah dan mujahadah.
Mudah-mudahan keseluruhan jalan yang kita
ikuti akan meninggkatkan iman dan taqwa
kita kepada Allah S.W.T di bulan Ramadhan ini, kerana ketaqwaan merupakan satu langkah untuk sampai mengikut kehendak
Allah S.W.T dengan naungan kemuliaannya, kemuncak kebaikkan dan setinggi
martabat.
Wallahu ‘alam…
Di sediakan oleh:
Hanisah bt Hj.
Muslim
Felo MANHAL PMRAM
2012
Rujukan
1. Al-Quran Al-Karim
2. Hadith Sohih Bukhari Dan Muslim
3. Kitab Ruhaniyyah Ad-Da’iah- Oleh Abdullah
Nasih Ulwan
4. Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin
Sumber :
manhal-pmram
0 comments:
Post a Comment