Isu berhubung
atlet yang beragama Islam dalam menyertai Sukan Olimpik 2012 yang diadakan pada
bulan Ramadan menjadi perhatian ramai pihak kerana membabitkan perbincangan
bagi ibadah puasa terhadap atlet tersebut. Sukan Olimpik tersebut diadakan di
London, England, United Kingdom bermula 27 Julai sehingga 12 Ogos 2012.[1]
Sehubungan
itu, MANHAL PMRAM membahagikan perbincangan kepada beberapa bahagian iaitu :
Kewajipan Puasa Dalam Bulan Ramadan
Ibadah puasa
dalam bulan Ramadan merupakan satu kewajipan dan salah satu daripada rukun
Islam yang lima.
Ibnu Jarir
meriwayatkan daripada Muaz bin Jabal RA berkata[2] :
فإن رَسُولَ اللَّهِ
صلى اللَّهُ عليه وسلم قَدِمَ الْمَدِينَةَ فَجَعَلَ يَصُومُ من كل شَهْرٍثَلاثَةَ
أَيَّامٍ وَصَامَ عَاشُورَاءَ وَصَامَ سَبْعَةَ عَشَرَ شَهْرًا من رَبِيعٍ إلى
شَهْرِ رَبِيعٍ إلى شَهْرِ رَمَضَانَ ثُمَّ إِنَّ اللَّهَ عز وجل فَرَضَ عليه
شَهْرَ رَمَضَانَ فَأَنْزَلَ عليه كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ
"Sesungguhnya Rasulullah SAW tiba di Madinah, maka baginda SAW
berpuasa pada hari 'Asyura dan puasa 3 hari tiap-tipa bulan. Dan adalah baginda
berpuasa sedemikian selama 17 bulan bermula bulan Rabiulawal sehingga
Rabiulawal tahun seterusnya sehingga masuk ke bulan Ramadan. Selepas itu, Allah
mensyariatkan kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan dengan menurunkan ayat
mengenai kewajipan berpuasa (yang bermaksud ):
“Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa,”
(Surah Al-Baqarah : 183)
Hadis yang
diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA, Nabi SAW bersabda,
"Dibina Islam itu atas 5 asas, penyaksian bahawa sesungguhnya tiada
tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat,
menunaikan zakat, puasa dalam bulan Ramadan dan mengerjakan haji bagi yang
berkemampuan.”
(Bukhari dan Muslim)
Dalam ilmu
usul fiqh kewajipan puasa dalam bulan Ramadan termasuk dalam ketegori wajib mudhaiyaq (sempit)[3].
Maka wajib mudhaiyaq (sempit) merujuk kepada tempoh puasa
tersebut yang hanya pada bulan Ramadan, tidak pada bulan yang lain serta
menjadi kewajipan setiap tahun bagi mereka yang cukup syarat iaitu Islam,
baligh, berakal, bermukim dan mampu dari sudut syara’ dan kemampuan.[4]
Justeru,
kewajipan puasa dalam bulan Ramadan merupakan wajib mudhaiyaq(sempit)
yang tidak ada pilihan waktu lain untuk ditangguhkan bahkan menjadi kewajipan
untuk dilaksanakan pada setiap tahun apabila cukup syarat. Ia berbeza dengan
dengan kewajipan Haji yang merupakan wajib muwassa’ (luas)
yang memberikan ruang waktu yang lain jika ada penangguhan. Maka dalam
kewajipan puasa dalam bulan Ramadan tidak timbul soal ‘tangguh’.
Adapun rukhsoh (keringanan)
yang diberikan kepada beberapa golongan bukanlah merupakan tangguh akan tetapi
sebagai keringanan bagi golongan yang diberikan keuzuran untuk berbuka dalam
masa yang sama wajib ganti puasa pada hari yang dibuka pada hari lain. Maka
wajib ganti tersebut merupakan dalil bahawa kewajipan puasa tidak boleh
ditangguh bahkan golongan yang diberikan rukhsoh (keringanan)
dikenakan puasa ganti. Dan juga golongan yang tidak mampu untuk berpuasa
seperti orang tua yang memang tidak mampu berpuasa dan orang sakit yang tidak
ada harapan untuk sembuh dikenakan bayar fidyah mengikut bilangan hari yang
ditinggalkan puasa. Hal ini menunjukkan bahawa kewajipan puasa dalam Ramadan
tidak boleh ditangguhkan.
Golongan Yang Mendapat Rukhsoh Dalam Berpuasa
Terdapat
beberapa golongan yang diberikan rukhsoh (keringanan) dalam
berpuasa.
Rukhsoh (keringanan)
yang diberikan merupakan pilihan kepada orang yang berpuasa tersebut sama ada
untuk meneruskan puasa atau berbuka namun menggantikannya pada hari yang lain.
Golongan yang
diberikan rukhsoh (keringanan) ialah :
1- Musafir
- Musafir
yang mubah, bukan musafir bertujuan melakukan maksiat.
- Lebih
2 marhalah iaitu melebihi 80 atau 90 kilometer[5]
Firman Allah
SWT yang bermaksud :
“Maka sesiapa daripada kalangan kamu yang sakit atau dalam musafir
(diberikan keringanan untuk berbuka) maka diganti pada hari yang lain.”
(Surah Al-Baqarah : 185)
Imam Ibnu
Taimiyah berkata :
“Sesiapa yang mengingkari bahawa diberikanrukhsoh (keringanan) atas
sebab musafir, maka orang tersebut dituntut untuk bertaubat, jika ia tidak
bertaubat maka ia dihukumkan sebagaimana orang yang murtad.”[6]
2- Orang
Yang Sakit
Berdasarkan
kepada firman Allah SWT yang bermaksud :
“Maka sesiapa daripada kalangan kamu yang sakit atau dalam musafir
(diberikan keringanan untuk berbuka) maka diganti pada hari yang lain.”
(Surah Al-Baqarah : 185)
Sakit yang
diberikan keringanan ialah sekiranya berpuasa akan menyebabkan bertambah mudarat
pada pesakit dan sakit yang sedia ada bertambah teruk serta lewat untuk sembuh.
3- Orang
Yang Mengandung Dan Yang Menyusukan Anak
Sama ada
bimbang keselamatan diri atau anak dalam kandungan atau anak yang disusukan.
Dalilnya diqiaskan kepada keringanan yang diberikan kepada orang yang
bermusafir dan sakit.[7]
4- Orang
Tua Yang Tidak Ada Kemampuan Untuk Berpuasa
Termasuk juga
dalam kategori ini orang yang sakit namun tidak ada harapan untuk sembuh. Maka
diberikan keringanan untuk berbuka bahkan wajib jika menyebabkan kematian.
Tidak dikenakan puasa ganti melainkan membayar fidyah mengikut bilangan hari
yang ditinggalkan berpuasa.[8]
Ibadah Puasa Bagi Atlet Yang Memasuki Sukan Olimpik
Sebagaimana
yang telah dibentangkan di atas bahawa ibadah puasa dalam Ramadan bagi atlet
yang beragama Islam wajib dilakukan dan tidak boleh ditangguh.
Namun jika
atlet termasuk dalam kategori yang bermusafir maka diberikan keringanan untuk
berbuka dan wajib ganti pada hari yang lain. Syarat musafir yang diberikan rukhsoh (keringanan)
untuk berbuka ialah musafir yang diharuskan iaitu bukan bertujuan maksiat dan
melebihi 2 marlahah iaitu 80 atau 90 kilometer.[9]
Maka jika
atlet tersebut bermusafir bagi bertujuan untuk bersukan iaitu riadhah kerana
bersukan itu hukum asalnya adalah diharuskan[10] dan
antara faedah sukan itu ialah menyegarkan tubuh badan maka ia termasuk dalam
kategori musafir yang diharuskan. Walaupun di saat ia bersukan ia melakukan
maksiat iaitu tidak menutup aurat. Hal ini demikian kerana tujuan asal adalah
diharuskan.[11]
Berbeza dengan
musafir yang bertujuan maksiat, maka ia tidak diberikan rukhsoh(keringanan)
kerana kaedah menyebutkan bahawa :
“Rukhsoh (keringanan) tidak diberikan kepada perkara maksiat”
Justeru, jika
atlet berniat ketika musafir untuk membuka aurat dalam pertandingan maka niat
musafirnya adalah bertujuan maksiat dan tidak diberikan rukhsoh (keringanan).
Dan tempoh rukhsoh (keringanan)
berhubung musafir adalah berdasarkan kepada tempoh musafir. Temph musafir yang
diberikan rukhsoh (keringanan) ini terdapat perselisihan
pandangan fuqaha[12] :
1- Mazhab
Hanafi : jika niat bermukim selama 15 hari dan lebih maka tidak adarukhsoh (keringanan)
sebaik tiba di tempat bermukim
2- Mazhab
Maliki Dan Mazhab Syafie : jika niat bermukim di sesuatu tempat empat hari atau
lebih, maka tidak ada rukhsoh (keringanan) apabila sampai di
tempat bermukim
3- Mazhab
Hanbali : jika niat bermukim di sesuatu lebih daripada empat hari, maka
tidak ada rukhsoh (keringanan) apabila sampai di tempat
bermukim
Justeru rukhsoh (keringanan)
untuk berbuka tersebut bukan paksaan ke atas atlet.
Rukhsoh (keringanan)
bukanlah disebabkan Sukan Olimpik, tetapi disebabkan musafir yang memenuhi
syarat (muafir yang diharuskan, melebihi 2 marlahah dan dalam tempoh
bermusafir). Bahkan mana-mana individu muslim yang bermusafir diberikan rukhsoh (keringanan)
kerana musafir itu sendiri sebab bagi rukhsoh (keringanan).
Dan inilah
yang ditegaskan oleh Imam Ibnu Taimiyah : “Sesiapa yang mengingkari bahawa
diberikan rukhsoh (keringanan) atas sebab musafir, maka orang
tersebut dituntut untuk bertaubat, jika ia tidak bertaubat maka ia dihukumkan
sebagaimana orang yang murtad.”[13]
Bahkan jika
terdapat atlet muslim yang sakit yang diberikan syara’ akan rukhsoh(keringanan)
iaitu sekiranya berpuasa akan menyebabkan bertambah mudarat pada pesakit dan
sakit yang sedia ada bertambah teruk serta lewat untuk sembuh, maka rukhsoh (keringanan)
tersebut adalah disebabkan sakit itu bukannya disebabkan Sukan Olimplik.
Maka ini
sebagaimana juga dengan fatwa yang diberikan oleh Syeikh Atiyah Saqar berkenaan
soalan yang diajukan kepada beliau mengenai bolehkan seseorang yang menduduki
peperiksaan di bulan Ramadan untuk berbuka bagi memudahkan mengulangkaji? Lalu
Syeikh Atiyah Saqar menjelaskan bahawa orang tersebut diberikan rukhsoh (keringanan)
untuk berbuka disebabkan sakit bukan disebabkan peperiksaan. Hal ini demikian
beradasarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud :
“Maka sesiapa daripada kalangan kamu yang sakit atau dalam musafir
(diberikan keringanan untuk berbuka) maka diganti pada hari yang lain.”
(Surah Al-Baqarah : 185)
Begitu juga
dengan fatwa yang diberikan oleh Syeikh Ali Jumuah, pada 9 Julai 2012 berkenaan
ibadah puasa atlet ketika Ramadan dengan menyebut :
الاِفْطارُ فِي حَالَةِ
السَفَر أَوْ المَرَض طَبَقًا لِلنَّصِّ القُرْآنِي : فَمَنْ كانَ مِنكُم مَريضًا
أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِن أَيَّامٍ أُخَر". وتابع جمعة "لا عَلاقَةَ بِالرِياضَة بِهذِه
الرُخْصَة لِاَنَّهُ لَوْ اُقِيْمَتْ البُطُولَةُ فِي مِصْر مَا جازَ الاِفْطَار
“Berbuka
(disebabkan rukshoh) dalam keadaan musafir atau sakit terdapat dalam nas
al-Quran iaitu “Maka sesiapa daripada kalangan kamu yang sakit atau dalam
musafir (diberikan keringanan untuk berbuka) maka diganti pada hari yang
lain.”. Dan Syeikh Ali Jumuah menambah bahawa rukhsoh tersebut tidak ada kaitan
dengan sukan (Olimpik) kerana jika pertandingan diadakan dalam Mesir maka
(atlet Mesir) tidak diharuskan berbuka.”
Adapun jika
berbuka puasa kerana pekerjaan yang berat sehingga mengganggu nafkah wajib
dalam kehidupan[14],
maka dilihat kepada beberapa perkara :
1- Tidak
ada pekerjaan yang lain melainkan pekerjaan itu sahaja. Dan pekerjaan berat
tersebut mestilah yang diharuskan oleh syara’.
2- Mendatangkan
mudarat kepada diri sama ada ketika bekerja atau tidak mampu puasa menyebabkan
tidak mendapat nafkah.
3- Maka
jika mudarat itu datang ke atas dirinya, maka dilihat kepada batasan bagi
golongan sakit yang diberikan rukhsoh (keringanan) iaitu berpuasa
akan menyebabkan bertambah mudarat pada pesakit dan sakit yang sedia ada
bertambah teruk serta lewat untuk sembuh. Rukhsoh (keringanan)
yang diberikan adalah kerana sakit yang menimpa.
4- Jika
mudarat itu datang disebabkannya tidak mampu bekerja sehingga menghilangkan
nafkah maka dilihat bahawa mestilah nafkah tersebut merupakan nafkah yang wajib
iaitu nafkah yang merupakan keperluan asasi yang akan menyebabkan kecelakaan
dalam kehidupan jika hilang. Maka ia termasuk dalam konteks dharurat.[15]
5- Dan
kerja berat dalam mendapatkan nafkah wajib tersebut terikat dalam masa dan
waktu perjanjian yang dilakukan. Maka jika selain pada waktu dan masa kontrak
perjanjian, maka ia tidak dibolehkan kerana tidak termasuk dalam konteks kerja
berat dalam mendapatkan nafkah yang wajib
Kesimpulan
Berdasarkan
kepada perbincangan di atas, pihak MANHAL PMRAM menekankan beberapa perkara
yang penting dalam isu yang melibakan Sukan Olimpik dalam bulan Ramadan dan
ibadah puasa bagi atlet Ramadan iaitu :
1- Kewajipan
puasa dalam Ramadan merupakan wajib mudhaiyyaq (sempit), maka
tidak boleh ditangguhkan. Yang ada hanya rukhsoh (keringanan)
untuk berbuka bagi golongan tertentu dan diwajibkan ganti pada hari yang lain.
2- Atlet
yang berada dalam keadaan musafir (musafir yang diharuskan dan melebih 2
marlahah) maka diberikan rukhsoh (keringanan) dalam tempoh
musafir tersebut.Rukhsoh (keringanan) merupakan pilihan kepada
atlet dan atlet tidak dipaksa untuk berbuka.
3- Tempoh
musafir yang diberikan rukhsoh (keringanan) adalah berbeza
mengikut pandangan fuqaha sebagaimana yang diterangkan sebelum ini, maka
mestilah merujuk kepada ahli yang berautoriti agar selari dengan realiti
masyarakat Islam di Malaysia yang mengamalkan Mazhab Syafie.
4- Sekiranya
atlet tidak termasuk dalam golongan yang diberikan rukhsoh(keringanan),
maka tidak ada rukhsoh (keringanan) lain bagi atlet tersebut
untuk berbuka. Rukhsoh (keringanan) yang diberikan adalah
sebab syar’ie yang mengharuskan, bukan sebab Sukan Olimpik.
5- Atlet
muslim juga mestilah menutup aurat semasa dalam pertandingan kerana ia
merupakan kewajipan dan juga bagi menghormati bulan Ramadan.
6- Maka
pekerjaan berat dalam mencari nafkah yang wajib yang diberikan rukhsoh(keringanan)
mesti dilihat dari sudut batasan mudarat ke atas diri atau kecelakaan apabila
hilang nafkah wajib serta masa yang terikat dengan perjanjian. Justeru, adakah atlet
merupakan satu pekerjaan sebagaimana dalam perbincangan tersebut, ia perlu
dinilai dari sudut apa yang telah dibincangkan di atas.
7- Berkenaan
dengan Sukan Olimpik yang dianjurkan dalam bulan Ramadan, MANHAL PMRAM melihat
sepatutnya negara-negara Islam dalam OIC dan Liga Arab mengambil tindakan yang
tegas dalam menuntut agar diadakan pada bulan selain Ramadan bahkan mungkin
melakukan boikot sekiranya penganjuran tersebut bertujuan mencemarkann kesucian
Ramadan dan menyentuh sensitiviti umat Islam.
8- Ataupun
negara-negara Islam boleh mendahulukan non-Muslim bagi mewakili negara dalam
Sukan Olimpik yang dilakukan pada bulan Ramadan sekiranya dengan penarikan diri
daripada sukan tersebut akan menyebabkan kerugian. Dan jika atlet muslim juga
yang mewakili negara Islam dalam sebarang sukan dalam bulan Ramadan, maka
perbahasan adalah sebagaimana di atas.
Wallahu a'lam
Disediakan
oleh barisan Felo MANHAL PMRAM 2012 yang terlibat :
Muhamad Zuhaili Saiman
Ainuddin Ishak
Ahmad Ulwan Hassim
Muhammad Zikri Mohamad Zaki
Rujukan :
1- Al-Fiqh
al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah az-Zuhaily, cetakan Dar al-Fikr
2- Fiqh
al-Lahwi Wa at-Tarwih, Dr Yusuf al-Qardhawi, Makabah Wahbah
3- Fiqh
as-Siyam, DR Yusuf al-Qardhawi, Makabah Wahbah
4- Al-Fatawa
Min Ahsan al-Kalam Fi al-Fatawa Wa al-Ahkam, Syeikh Atiyah Saqar, cetakan
Maktabah at-Taufiqiyah
5- At-Taqrirat
as-Sadidah Fi Masail al-Mufidah, Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhamad Al-Kaf,
cetakan Dar al-Mirath an-Nubuwah
6- Nihayah
as-Sul Fi Syarh Minhajal-Wusul Ila ‘Ilmi al-Usul, Syeikh Jamaluddin Abdul Rahim
bin Hasan al-Isnawi
[2] تفسير آيات الأحكام jilid 1 karangan Syeikh Muhammad Ali As-Sobuni, dan جامع البيان jilid
ke-2 karangan At-Tabrani
[3] Nihayatul
as-Sul Fi Syarh Minhaj al-Wusul Ila ‘Ilm al-Usul, Imam Jamaluddin Abdul Rahim
bin Hassan al-Isnawi, m/s 92, cetakan Dar Ibn Hazam
[4] Al-Fiqh
al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah az-Zuhaily, jilid ke-3, m/s 1663-1668,
cetakan Dar al-Fikr
[11] Al-Fiqh
al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah Az-Zuhaily, jilid ke-2, m/s 1346, cetakan Dar
al-Fikr
[12] Al-Fiqh
al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah Az-Zuhaily, jilid ke-2, m/s 1348, cetakan Dar
al-Fikr
Sumber : manhal-pmram
0 comments:
Post a Comment