Friday, August 10, 2012

Apa Yang Anda Tahu Mengenai Iktikaf ?

Posted by UPP DPMZ On 5:41 PM No comments



PENGERTIAN IKTIKAF

Dari sudut bahasa ialah : tinggal di sesuatu tempat samada niat baik atau tidak.
Dari sudut syarak pula ialah : tinggal di dalam masjid dalam tempoh tertentu.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): "Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjid Al-Haraam dari segala perkara Yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud". – Surah Al-Baqarah : 125

Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid." – Surah Al-Baqarah : 187

Kedua-dua ayat Al-Quran di atas menunjukkan bahawa iktikaf merupakan suatu ibadah yang dilakukan di dalam masjid.

Daripada Aisyah r.a berkata :

أَنَّ النبي كان يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الْأَوَاخِرَ من رَمَضَانَ حتى تَوَفَّاهُ
"Sesungguhnya Nabi SAW sentiasa melakukan iktikaf pada 10 akhir Ramadan sehinggalah baginda SAW wafat. – Bukhari

HUKUM

Hukum asal bagi iktikaf ialah sunat yang dituntut pada bila-bila masa sahaja.
Afdal melakukan iktikaf pada 10 hari yang terakhir di dalam bulan Ramadan kerana Nabi SAW melakukannya dan pada waktu tersebut merupakan waktu berlakunya malam Lailatuk Qadar.

Selain daripada itu, hukum iktikaf juga mempunyai beberapa hukum :
-          Wajib apabila seseorang yang bernazar untuk melakukan iktikaf.
-          Haram iaitu iktikaf isteri tanpa izin daripada suaminya dalam masa yang sama dibimbangi akan berlaku fitnah.
-          Makruh iaitu iktikaf isteri yang cantik[1] dengan izin suaminya beserta tidak dibimbangi akan berlaku fitnah.

SYARAT IKTIKAF

1)   Niat

-          Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Sayidina Umar Al-Khattab r.a, Nabi SAW bersabda :

إنما الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ
 "Sesungguhnya setiap amalan itu beserta dengan niat."- Bukhari dan Muslim

-          Memadai dengan niat di dalam hati sahaja.
-          Niat iktikaf juga memadai samada dengan bertempoh atau tidak bertempoh seperti aku niat untuk iktikaf, maka sudah memadai.
-          Sekiranya niat wajib seperti nazar maka wajib melakukannya. Sekiranya bernazar untuk iktikaf dalam tempoh tertentu maka wajib mengikut tempoh tersebut.
-          Sekiranya niat iktikaf dengan tempoh yang berturut-turut seperti niat beriktikaf selama sebulan berturut-turut, maka tidak boleh keluar daripada masjid tersebut selama sebulan melainkan bagi menunaikan hajat.

Orang yang beriktikaf keluar dari masjid:

1-    Niat iktikaf tanpa tempoh :

-          Maka sekiranya keluar samada untuk menunaikan hajat atau tanpa hajat, dan tidak berazam untuk kembali beriktikaf maka terputus iktikafnya. Sekiranya kembali semula ke masjid untuk beriktikaf, perlu berniat baru semula.
-          Maka sekiranya keluar dan berazam untuk kembali beriktikaf maka tidak perlu kepada niat yang baru.

2-   Niat iktikaf yang mempunyai tempoh :

-          Sekiranya keluar daripada masjid tanpa ada hajat, maka perlu kepada niat baru apabila kembali ke masjid untuk beriktikaf, selama mana ketika keluar daripada masjid tidak berazam untuk kembali ke masjid. Sekiranya berazam, ketika keluar maka tidak perlu kepada niat yang baru.
-          Sekiranya keluar untuk menunaikan hajat maka tidak perlu kepada niat yang baru apabila kembali semula ke masjid.
         
2)   Tinggal di dalam masjid

-          Tidak memadai tinggal di dalam masjid dengan kadar tomakninah iaitu kadar menyebut Subhanallah. Sekiranya lebih daripada kadar tersebut, maka terhasilnya iktikaf.[2]
-          Terhasil juga iktikaf walaupun berulang alik di dalam masjid. Sekiranya seseorang yang semata-mata melalui di dalam masjid dengan memasuki pintu depan masjid kemudian terus keluar melalui pintu yang lain, maka tidak terhasil iktikafnya.

SYARAT ORANG YANG BERIKTIKAF

1)   Islam
-          Bermula awal iktikaf dan berterusan sehingga tamat iktikaf.
-          Sekiranya murtad maka batal iktikafnya. Jika melibatkan iktikaf yang bertempoh maka dikira batal, dan jika kembali Islam mesti dimulai dengan tempoh yang baru.

2)   Berakal
-          Tidak disyaratkan baligh, maka budak yang mumaiyiz  sah akan iktikafnya.
-          Tidak sah iktikaf orang gila dan orang yang mabuk dengan sengaja.
-          Jika gila ketika iktikaf walaupun sekejap, batal iktikafnya.

3)   Suci daripada haid, nifas dan junub

-          Haram orang yang tidak suci untuk duduk di dalam masjid.
Sunat bagi iktikaf :

1-   Melakukan iktikaf di masjid yang didirikan solat Jumaat padanya.
2-   Berpuasa.
3-   Memperbanyakkan ibadat seperti solat, zikir, membaca Al-Quran dan sebagainya.
4-   Cukup satu hari yang sempurna. Afdal melakukan iktikaf dengan menghimpunkan malam dan siang.[3]
5-   Meninggalkan perkara-perkara yang makruh dan lalai.
6-   Berniat nazar untuk mendapatkan pahala fardu.

Perkara Yang Membatalkan Iktikaf :

1-   Murtad
-          Batal iktikaf walaupun sekejap.
-          Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain Dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi." – Surah Az-Zumar : 65

2-   Gila dan pengsan
-          Yang berpanjangan.

3-   Mabuk dengan sengaja.
-          Jika mabuk dengan tidak sengaja maka tidak batal iktikaf.

4-   Keluar darah haid dan nifas.
-          Jika keluar darah haid tersebut, maka wajib segera keluar dari masjid kerana haram duduk di dalam masjid dalam keadaan yang berhadas.

5-   Jimak (bersetubuh)
-          Iaitu orang yang jimak dalam keadaan sedar, tahu akan haram dan batal iktikaf jika melakukan jimak.
-          Bukan dipaksa.
-          Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid." – Surah Al-Baqarah : 187

6-   Keluar air mani.
-          Batal iktikaf sekiranya keluar air mani secara langsung dengan syahwat.
-          Sekiranya bukan secara langsung seperti melihat aurat dan khayal tidak batal iktikaf walaupun keluar air mani. Akan tetapi sekiranya adat (kebiasaan) orang tadi apabila melihat aurat atau khayal akan menyebabkan keluar air mani, maka waktu itu iktikafnya akan batal sekiranya keluar air mani walaupun bukan dengan secara langsung.

7-   Keluar daripada tempat beriktikaf tanpa ada hajat.[4]
-          Sengaja, bukan dipaksa dan tahu akan jika keluar tanpa ada hajat maka akan batal iktikaf.

PERMASALAHAN : SESEORANG YANG LUPA NIAT IKTIKAF KETIKA MEMASUKI MASJID, KEMUDIAN TERINGAT KETIKA SEDANG SOLAT. BOLEHKAH NIAT IKTIKAF KETIKA SOLAT?

Boleh dengan syarat niat dengan hati tanpa melafazkan kerana jika melafazkannya akan membatalkan solat (Ini adalah pandangan Imam Ramli. Adapun pandangan Ibnu Hajar tidak mengapa melafazkan dengan mana perkataan yang menunjukkan ibadat).[5]

Wallahu a'lam

Disediakan oleh : 
Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012 


**Petikan daripada buku karangan Muhamad Zuhaili Saiman yang berjudul "Ramadan : Puasa & Iktikaf" cetakan 2009 dengan izin terbit Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir

rujukan : 
1-       حاشية الشيخ البيجوري   cetakan Darul Kutub Ilmiah.
2-       التقريرات السديدة في المسائل المفيدة   karangan Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhammad Al-Kaf, cetakan Darul Mirath An-Nabawi.
3-       فقه الإسلامي وأدلته   karangan Dr Wahbah Az-Zuhaily, cetakan Darul Fikr.
4-       نيل الرجاء بشرح سفينة النجاء   karangan As-Sayyid Ahmad bin Umar As-Syatiri, cetakan Darul Minhaj.
5-       Kitab Fatwa Syeikh Atiyah Saqar 2 jilid, cetakan Maktabah Taufiqiyah.


[1]  Yang boleh menarik perhatian awam.
[2]  Hasyiah Baijuri jilid 1 bab iktikaf.
[3]  Kitab التقريرات السديدة في المسئل المفيد   bab puasa karangan Syeikh Hasan ibnu Ahmad ibnu Muhammad Al-Kaf dan Hasyiah Baijuri jilid 1 bab iktikaf.
[4]  Rujuk perbincangan lepas berkaitan orang yang beriktikaf keluar dari masjid.
[5]  Kitab التقريرات السديدة في المسئل المفيد   bab puasa karangan Syeikh Hasan ibnu Ahmad ibnu Muhammad Al-Kaf.


0 comments:

Sahabat