Peperangan Yang
Getir Dan Berat
Peperangan Badar al-Kubra tercetus pada
17 Ramadan tahun ke-2 Hijrah. Peperangan ini merupakan peperangan pertama yang
menyaksikan pertempuran antara hak dan batil dan disebabkan itu hari berlakunya
peperangan ini disebut juga sebagai Hari Pemisah (antara hak dan Batil) / يوم الفُرْقَان .
Peperangan ini merupakan satu amanah
dalam perjuangan Islam yang sangat berat bahkan dahsyat. Hal ini demikian
kerana dalam peperangan ini umat Islam berperang dalam keadaan berpuasa (puasa
di bulan Ramadan kali yang pertama) ditambah lagi dengan bilangan tentera yang
sedikit iaitu seramai 313 (menurut pendapat yang masyhur) berbanding dengan
tentera pihak musyrikin iaitu 1000 orang. Bahkan kelengkapan peperangan umat
Islam jauh lebih sedikit berbanding dengan pihak lawan.
Bukan sekadar itu, umat Islam baru sahaja
membina negara Islam di Madinah dalam tempoh 2 tahun sudah diajak berperang.
Maka banyak gerak kerja yang masih dilakukan.Malah para sahabat daripada
kalangan Ansar baru sahaja memeluk Islam dan bersama-sama dengan Nabi SAW, maka
sudah tentu kematangan dan pengalaman amat kurang. Justeru disebabkan itulah
peperangan Badar al-Kubra ini merupakan peperangan yang getir dan sangat berat
ke atas tentera Islam.
Penentu Kepada Perjuangan Islam
Peperangan Badar
al-Kubra merupakan peperangan penentu kepada perjuangan Islam. Islam yang
dirasai pada hari ini merupakan hasil jasa dan pengorbanan ahli Badar. Tanpa
pengorbanan ahli Badar mana mungkin Islam akan terus berkembang sehingga ke
hari ini.
Bahkan Nabi SAW
dalam peperangan ini bermunajat kepada Allah SWT agar memberikan kemenangan
secara tunai kerana ia merupakan penentu kepada kesinambungan dalam perjuangan
Islam. Nabi SAW berdoa kepada Allah SWT :
اللهم أَنْجِزْ لي ما وَعَدْتَنِي اللهم آتِ ما
وَعَدْتَنِي اللهم إن تُهْلِكْ هذه الْعِصَابَةَ من أَهْلِ الْإِسْلَامِ لَا
تُعْبَدْ في الأرض
Wahai tuhanku!
Tunaikanlah apa yang telah Engkau janjikan kepadaku, datangkanlah apa yang
telah Engkau janjikan kepadaku. Wahai tuhanku, sekiranya Engkau (mengizinkan
kepada pihak kafir) dengan menghancurkan tentera ini (tentera Badar Al-Kubra)
daripada kalangan umat Islam ini, maka Engkau tidak akan disembah lagi (kerana
tentera kafir akan membunuh semua umat Islam).
Jelas menunjukkan betapa pentingnya
peperangan ini kerana ia merupakan penentu kepada kesinambungan Islam
sehinggakan Nabi SAW memohon kepada Allah SWT agar diberikan kemenangan secara
tunai bukan bertangguh.
Hal ini berbeza dengan doa atau amanat
Nabi SAW dalam peperangan Khaibar. Baginda SAW menjelaskan bahawa kemenangan
akan diperolehi di tangan satu lelaki yang mempunyai sifat kasih kepada Allah
dan rasul-Nya serta lelaki tersebut dikasihi oleh Allah. Ini diriwayatkan oleh
Sahl bin Sa’d r.a bahawa Nabi SAW bersabda :
لَأُعْطِيَنَّ هذه الرَّايَةَ غَدًا رَجُلًا
يَفْتَحُ الله على يَدَيْهِ يُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيُحِبُّهُ الله
وَرَسُولُهُ
"Akan aku
berikan panji (Islam) ini kepada seorang lelaki yang mana kemenangan akan
diberikan kepadanya, yang mana sifat lelaki tersebut, dia mengasihi Allah dan
rasul-Nya serta Allah dan rasul-Nya mengasihi lelaki tersebut." – Bukhari
dan Muslim
Ini sahaja yang dijelaskan oleh Nabi SAW.
Berbeza dengan gaya bahasa munajat Nabi SAW dalam doa baginda SAW ketika
peperangan Badar al-Kubra iaitu “Wahai Tuhanku! Tunaikanlah apa yang telah
Engkau janjikan kepadaku”. Munajat ini dibaca oleh Nabi SAW dengan begitu
bersungguh apabila baginda SAW mengangkat tangan berdoa melebihi bahu sehingga
jatuh kain selendang baginda SAW. Ketekunan baginda SAW yang teramat itu
disedari oleh Abu Bakar as-Siddiq lalu beliau menenangkan baginda SAW dengan
berkata :
يا نَبِيَّ اللَّهِ كَفَاكَ مُنَاشَدَتُكَ رَبَّكَ
فإنه سَيُنْجِزُ لك ما وَعَدَكَ
“Wahai Nabi Allah,
cukuplah (wahai rasulullah) akan munajat kamu, maka sesungguhnya Allah akan
menunaikan kepada kamu apa yang telah Dia menjanjikan kepada kamu.”
Lalu turunlah firman Allah SWT bagi
menenangkan baginda SAW dan menunaikan janji-Nya iaitu pertolongan Allah SWT ke
atas umat Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“(Ingatlah), ketika kamu memohon
pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu: "Sesungguhnya Aku
akan mendatangkan bala bantuan kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang
berturut-turut". (Surah An-Anfal : 9)
Faktor Kemenangan
Islam Dalam Peperangan Badar al-Kubra
Kemenangan umat Islam dalam peperangan
ini dapat dilihat kepada beberapa faktor utama iaitu :
1- Kebersamaan Semua Pihak Dalam Berjuang
Ketika diturunkan ayat diiziinkan
berperang iaitu ayat ke-30 dan 40 dalam Surah al-Hajj, Nabi SAW menghimpunkan
semua sahabat bagi mendapatkan pandangan dalam berperang. Apabila ditanya, maka
bangkit Abu Bakar as-Siddiq dan Uamr al-Khattab dalam menyatakan pandangan
mereka untuk terus bersama dalam peperangan ini.
Tidak sekadar itu, bangun pula Miqdad bin Amru (riwayat lain Miqdad bin
Aswad) berkata :
يا رَسُولَ اللَّهِ لا
نَقُولُ كما قالتْ بنو إِسْرَائِيلَ لِمُوسَى اذْهَبْ أنت وَرَبُّكَ فَقَاتِلا إلى
آخِرِ الآيَةِ وَلَكِنَّا نَقُولُ اذْهَبْ أنت وَرَبُّكَ فَقَاتِلا انا مَعَكُمَا
مِنَ الْمُقَاتِلِينَ
“Wahai Rasulullah SAW! Tidak akan kami katakan
kepada kamu sebagaimana yang telah dikatakan oleh Bani Israil kepada Nabi Musa
AS bahawa “pergilah kamu bersama-sama dengan tuhan kamu berperang, kami di sini
duduk memerhati”, akan tetapi kami menjanjikan kepada kamu dengan kata-kata
pergilah kamu (wahai Rasulullah SAW) berserta tuhanmu berperang, kami akan
bersama-sama dengan kamu turut berperang”. – Mukjam Kabir
Nabi SAW terus mahu mendengar pandangan
daripada wakil Ansar kerana tidak pelik sahabat daripada kalangan Muhajirin
untuk turut serta berperang kerana mereka telah lama bersama-sama dengan
baginda SAW dalam bersabar ke atas seksaan yang diterima di Mekah. Justeru,
bangun Sa’d bin Muaz mewakili suara sahabat dari kalangan Ansar menyatakan
sokongan :
فقد آمَنّا بِك وَصَدَّقْناك
وشَهَدْنا أنَّ ما جِئْتَ به الحقّ وأعْطَيْناك مَواثيقَنا على السمْع والطاعة
فامْضِ يا رسولَ الله لِما أَرَدْتَ فَنَحْنُ مَعَكَ فَوَالّذي بَعَثَكَ بالحقّ
لَوِ اسْتَعْرَضْتَ بِنا هذا البَحْرَ لَخَضْناه مَعك ما تَخَلّفَ مِنّا رَجَلٌ
واحد
Sesungguhnya kami beriman kepadamu,
membenarkan kamu serta menyaksikan apa yang kamu bawa adalah benar. Dan kami
berikan kepada kamu seluruh kepercayaan kami ke atas taat dan patuh. Wahai
Rasulullah SAW, lakukanlah apa yang kamu kehendaki, kami akan sentiasa
bersama-sama denganmu. Dan demi tuhan yang membangkitkan kamu dengan kebenaran,
sekiranya dibentangkan kepada kami lautan yang luas, nescaya kami akan
menyeberangi lautan tersebut bersama-sama kamu, dan tidak akan ada daripada
kalangan kami seorang lelaki yang lambat (bersama-sama dengan Rasulullah SAW).
Kebersamaan para sahabat samada daripada
kalangan Muhajrin dan Ansar memberikan salah satu faktor utama kemenangan dalam
peperangan Badar Al-Kubra. Sahabat daripada kalangan Muhajirin sememangnya
bersedia untuk berperang sejak di Mekah lagi apabila ramai para sahabat yang
diseksa, namun mereka masih tidak diizinkan berperang.
Manakala sahabat daripada kalangan Ansar pula,
baru sahaja hidup bersama-sama dengan Nabi Muhammad SAW selama 2 tahun di
Madinah dan tidak pernah mendapat ujian yang hebat dan berat berbanding dengan
sahabat daripada kalangan Muhajirin. Namun mereka tetap bersama-sama untuk
turut serta memerangi pihak musuh malah tidak menjadi halangan kepada mereka walaupun
mereka masih baru.
2- Mengikuti Hasil Keputusan Mesyuarat
Peperangan Badar al-Kubra menunjukkan
keputusan mesyuarat dalam kebersamaan oleh para sahabat dalam berperang
sebagaimana yang telah dijelaskan di atas. Maka ini merupakan antara faktor utama
kemenangan kerana syura atau suatu kemestian dalam Islam bahkan ia
dikira sebagai ibadah dan sistem.
Selain itu, apabila tentera Islam sampai di
tempat perang, Nabi SAW sekali lagi bermesyuarat dengan para sahabat mengenai
di lokasi mana kedudukan yang sesuai bagi tentera Islam. Lalu majoriti memilih
untuk berada di hadapan lopak air bagi menghalang pihak musyrikin Mekah
daripada mendapat bekalan air.
Justeru, hasil mesyuarat ini merupakan
keberkatan dalam perjuangan Islam. Saidina Ali menyebutkan bahawa 7 kepentingan
dalam bermesyuarat antaranya ialah mencari kebenaran, mematangkan pandangan,
mengelak daripada perkara terlepas pandang dan mengikuti sunnah. - kitab
karangan Muhammad Abdullah al-Khatib, yang berjudul as-Syura : Faridah, Ibadah,
Nizam
3- Matlamat Perjuangan Yang Jelas Dan Benar
Antara lagi faktor kejayaan tentera Islam
dalam peperangan ini ialah para sahabat berperang atas dasar matlamat yang
jelas dan benar iaitu mempertahankan hak Islam dan kerana mereka dizalimi.
Disebabkan itulah Allah SWT mengizinkan berperang melalui firman-Nya :
“Diizinkan berperang bagi mereka yang
dizalimi. Sesungguhnya Allah berkuasa memberikan mereka kemenangan. Mereka yang
dizalimi ialah mereka yang dihalau keluar dari rumah-rumah mereka tanpa hak
kerana mereka mengtakan: Tuhan kami ialah Allah.” (Surah Al-Hajj : 39 dan 40)
Justeru, maka inilah semulia-mulia perjuangan
apabila matlamat yang mereka perjuangkan adalah untuk Islam. Maka sudah tentu
kemenangan akan berpihak kepada mereka kerana kemenangan adalah hak milik Allah
SWT dan Dia berkuasa dalam memberikan kemenangan tersebut. Sehubungan itu,
sudah tentu kemenangan akan diberikan kepada mereka yang berjuang kerana-Nya.
Firman Allah SWT :
“Tidaklah kemenangan itu melainkan ia adalah
hak di sisi Allah.” (Surah Al-Anfal :
10)
4- Hasil Pengorbanan Dan Kesabaran
Kemenangan yang dikecapi bukanlah satu perkara
yang mudah. Hal ini demikian kerana perjuangan Islam itu jauh dan berat, hanya
bagi mereka yang bersabar dan sanggup berkorban sahaja akan diberikan
kemenangan oleh Allah SWT.
Begitu juga dalam peperangan ini, kemenangan
yang diberikan merupakan anugerah dan hadiah ekoran pengorbanan dan kesabaran
yang telah diberikan oleh para sahabat terutama dariapada daripada kalangan
Muhajirin. Antara yang boleh diambil contoh ialah Nabi SAW menegur dan
menasihati Khabbab agar bersabar dan tidak gopoh dalam mencapai kemenangan.
Terdapat juga sebahagian sahabat yang berjumpa
dengan Nabi SAW ketika di Mekah lalu mengadu :
“Kami ketika dalam keadaan musyrik merupakan
golongan yang diberikan kemuliaan (oleh penduduk Mekah), namun apabila kami
beriman kami dihina (oleh musyrikin Mekah).”
Lalu Nabi SAW menasihati mereka :
“Sesungguhnya aku diperintahkan untuk memberi
kemaafan (bersabar) dan janganlah kamu berperang.” – kitab yang berjudul
al-Idarah Fi ‘Asr ar-Rasul, karangan Dr Hafeez Ahmad ‘Ajaj al-Karami
Kemenangan Hak Milik Islam Dan Keistimewaan
Ahli Badar
Atas usaha tentera Islam sebagaimana yang
dinyatakan dalam faktor kemenangan tersebut maka Allah menganugerahkan
kemenangan kepada mereka. Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya
yang bermaksud :
“(Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan
kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu: "Sesungguhnya Aku akan
mendatangkan bala bantuan kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang
berturut-turut. Dan tidaklah Allah jadikan bagi mereka melainkan berita gembira
dan menenangkan hati-hati mereka. Dan tidaklah kemenangan itu melainkan ia hak
di sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana" (Surah An-Anfal : 9)
Maka inilah anugerah yang cukup besar buat
umat Islam. Kemenangan yang dikecapi bukan sekadar kemenangan memperolehi hak
mereka atau mengundurkan pihak musuh daripada menyerang Islam. Akan tetapi
kemenangan ini merupakan titik kesinambungan Islam sehingga ke hari ini.
Kemenangan ini merupakan perintis bagi Islam akan terus tersebar ke seluruh
pelusuk dunia sehingga kiamat sebagaimana yang dimunajatkan oleh Nabi SAW.
Bahkan ahli Badar iaitu seramai 313 orang
mendapat keistimewaan daripada Allah SWT yang tidak dimiliki oleh tentera Islam
dalam perang-perang yang lain. Mereka diampun dosa mereka dan dijanjikan syurga
sehingga sebagaimana dalam sirah dicatat bahawa seorang ahli Badar iaitu Hatib
bin Abi Balta’ah yang diampunkan dosanya kerana hampir-hampir membocorkan
perancangan perjuangan Islam. Namun disebabkan beliau meruapakan salah seorang
ahli Badar, maka Nabi SAW melepaskannya daripada dipancung oleh Umar
al-Khattab.
Kisah Hatib bin Abi Balta’ah yang
hampir-hampir membocorkan rahsia perancangan Nabi Muhammad SAW untuk memerangi
pihak musyrikin Mekah kerana mencabuli isi perjanjian Hudaibiyah, menjadi satu
peringatan yang sangat penting kepada pemuda Islam yang berjuang. Saidina Umar
Al-Khattab meminta izin kepada baginda SAW untuk memenggal kepala Hatib bin Abi
Balta’ah kerana telah berniat membocorkan rahsia, namun tidak diizinkan oleh
baginda SAW kerana Hatib bin Abi Balta’ah merupakan ahli tentera yang menyertai
peperangan Badar Al-Kubra. Sekiranya bukan, maka sudah tentu hukuman bunuh akan
dijatuhkan!
Jelas bahawa perbuatan membocorkan rahsia
gerakan Islam adalah tindakan yang tidak berakhlak dan merupakan satu kesalahan
yang sangat besar sehingga boleh dijatuhkan hukuman bunuh. Kisah berkaitan
Hatib bin Abi Balta’ah ini diriwayatkan oleh Ubaidullah bin Abu Rafi bahawa
Saidina Ali menceritakan ketika baginda SAW mengetahui ada pihak yang cuba
untuk membocorkan rahsia perancangan mereka untuk menyerang Mekah, lalu baginda
SAW mengutuskan Saidina Ali, Zubair dan Miqdad bin Aswad untuk pergi mengejar
hamba wanita yang diutuskan oleh Hatib bin Abi Balta’ah untuk menyekatnya.
Ketika mereka menemui hamba wanita tersebut
lalu, maka mereka meminta hamba wanita tersebut mengeluarkan catatan rahsia
yang ingin disampaikan ke Mekah. Lalu hamba wanita tadi enggan memberikannya.
Kemudian mereka mendesak lagi dengan berkata :
لَتُخْرِجِنَّ الْكِتَابَ أو لَنُلْقِيَنَّ
الثِّيَابَ
“Kamu akan keluarkan catatan rahsia tersebut
atau kami akan menanggalkan pakaian kamu (untuk mencari catatan tersebut
sehingga jumpa)!”
Kemudian hamba wanita tersebut mengeluarkan
catatan rahsia tersebut yang disimpan di dalam sanggulnya dan diberikan kepada
mereka. Mereka pun membawa perkara itu kepada baginda SAW. Lalu Hatib bin Abi
Balta’ah dipanggil menghadap baginda SAW. Hatib bin Abi Balta’ah memberikan
penjelasan dengan berkata :
لَا تَعْجَلْ والله ما كَفَرْتُ ولا ازْدَدْتُ
لِلْإِسْلَامِ إلا حُبًّا ولم يَكُنْ أَحَدٌ من أَصْحَابِكَ إلا وَلَهُ بِمَكَّةَ
من يَدْفَعُ الله بِهِ عن أَهْلِهِ وَمَالِهِ ولم يَكُنْ لي أَحَدٌ فَأَحْبَبْتُ
أَنْ اتخذ عِنْدَهُمْ يَدًا
“Wahai Rasulullah, janganlah kamu segera
menghukumku (meminta baginda SAW mendengar penjelasannya terdahulu). Demi Allah
SWT! Aku tidak lagi kufur (murtad), dan tidaklah bertambah ke dalam jiwaku
mengenai Islam melainkan kecintaan (kepada Islam). Sesungguhnya para sahabat
yang lain yang mempunyai ahli keluarga di Mekah, mereka mempunyai pihak-pihak
yang mampu melindungi ahli keluarga mereka, adapun aku tidak ada mana-mana
pihak yang akan melindungi keluargaku di sana. Justeru, aku berhajat untuk
memberikan pertolongan kepada mereka.”
Mendengar penjelasan Hatib bin Abi Balta’ah
tersebut, Saidina Umar Al-Khattab bersuara :
دَعْنِي أَضْرِبْ عُنُقَهُ فإنه قد نَافَقَ
“Izinkan aku (wahai Rasulullah SAW), aku akan
penggal lehernya, maka sesungguhnya dia telah menjadi munafiq (dengan perbuatan
membocorkan rahsia)!”
Kemudian baginda SAW bersabda :
أَلَيْسَ من أَهْلِ بَدْرٍ لَعَلَّ
اللَّهَ أطلع إلى أَهْلِ بَدْرٍ أعملوا ما شِئْتُمْ فَقَدْ وَجَبَتْ لَكُمْ
الْجَنَّةُ أو فَقَدْ غَفَرْتُ لَكُمْ
“Bukankah dia (Hatib bin
Abi Balta’ah) merupakan ahli Badar? Allah SWT telah memberikan keistimewaan
kepada ahli Badar. Maka lakukanlah apa yang kamu mahu, sesungguhnya Allah SWT
telah menjanjikan kamu syurga dan mengampunkan dosa-dosa kamu.” – Bukhari
Wallahu ‘alam
Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012
Rujukan :
- As-Syura ; Faridah, Ibadah, Nizam karangan
Muhammad Abdullah al-Khatib
- Al-Idarah Fi ‘Asr Ar-Rasul, karangan Dr Hafeez
Ahmad ‘Ajaj al-Karami
- As-Sirah an-Nabawiyah karangan Dr Muhammad Ali
as-Sollabi
- Pemuda Islam Yang Berjuang siri 1 & 2
karangan Muhamad Zuhaili Saiman
Sumber :
manhal-pmram
0 comments:
Post a Comment