Makna Ukhuwwah
Ukhuwwah adalah anugerah daripada Allah, yang dikurniakan kepada mereka yang ikhlas di kalangan hambaNya, para penolongNya, pengikut dan kelompoknya yang berjiwa bersih dan suci. Firman Allah :
...."Dialah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang beriman. Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(Surah Al-Anfal : Ayat 62-63)
Inilah dia kekuatan iman yang diwariskan oleh perasaan yang mendalam, jiwa yang benar dan mahabbah, rasa hormat dan kasih sayang, saling mempercayai sesama mereka, yang mana Allah ikatkan mereka dengan "Aqidah Tauhid" , manhaj Islam yang kekal, mengikutinya dan beriltizam dengannya. Saling bantu-membantu, mengutamakan orang lain, rasa kasihan belas, memberi kemaafan, mengambil berat, bertoleransi dan saling berintegrasi dan tolong menolong.
Inilah juga perkara lazim kepada Iman: Tiada Ukhuwwah tanpa iman, dan tiada keimanan yang sempurna tanpa ukhuwwah, sepertimana tiada persahabatan tanpa taqwa, dan tiada ketaqwaan tanpa persahabatan.
Tiada ukhuwwan tanpa keimanan, berdasarkan firman Allah SWT:
..."Sesungguhnya orang mu'min bersaudara.
(Al-Hujurat : Ayat 10)
Manakala tiada persahabatan tanpa Taqwa berdasarkan firman Allah SWT:
..."Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).
(Surah Al-Zukhruf : Ayat 67)
Ukhuwwah tidak boleh dinilai pada harta, rupa dan pangkat, namun
pernilaian itu pada sudut yang luas terutamanya pengorbanan yang tinggi
dan atas dasar keimanan dan ketaqwaan.
Rasulullah bersabda :
"Ada 3 jenis manusia yang merasai kemanisan iman : Allah dan Rasul lebih dikasihi berbanding selainNya, mengasihani seseorang hanya kerana Allah, dan benci untuk kembali kepada kufur sepertimana ia benci dihumbankan ke dalam api neraka."
Riwayat Bukhari Dan Muslim
Kedudukan Rukun Ukhuwwah
Satu kisah yang telah diriwayatkan Imam Muslim daripada Rasulullah SAW, bahawa seorang lelaki telah menziarahi saudaranya di sebuah perkampungan. Allah telah mengutuskan seorang malaikat ketika lelaki ini dalam perjalanan. Malaikat itu bertanya kepada lelaki ini saat mereka bersua :
"Saudara hendak ke mana?" , lelaki tadi menjawab: "Saya ingin menziarahi saudaraku di kampung ini, Adakah (kamu menziarahinya) kerana kamu akan memperolehi kesenangan lalu kamu menjaga perhubungan ini?", tanya malaikat. "Tidak!" , jawab lelaki itu. " Kami mengasihaninya kerana Allah." Kemudian Malaikat berkata : "Sesungguhnya aku ini utusan Allah kepada kamu dan Allah telah Mengasihi kamu sebagaimana kamu mengasihani saudaramu keranaNya"
(Riwayat Muslim)
Imam Al-Banna telah menjelaskan tahap-tahap ukhuwwah : Serendah-rendah ukhuwwah ialah berlapang dada dan paling tinggi ialah ithar."
Sekiranya seseorang individu ergelincir dari tahap ukhuwwah yang paling rendah, maka bibit perpecahan pun bermula serta mencetuskan pertelingkahan, dan ini semua mengheret kepada kehancuran. Firman Allah SWT:
..."Dan janganlah kamu berbantah-bantahan, kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu..."
(Surah Al-Anfal : Ayat 46)
Benarlah kata-kata Imam Al-Banna kepada Ikhwan: "Berkasih sayanglah antara kamu sama lain, berusahalah ke arah ikatan sesama kamu. Ia adalah rahsia kekuatanmu, dan tunggak kejayaan kamu. Thabatlah kamu sehingga Allah membuka pintu hati antara kamu terhadap agama yang hak, sesungguhnya Allah Maha Pembuka."
Disediakan
Saudara Amirul Adli
Ketua Unit Biah Solehah
DPMZ 2012 / 2013
0 comments:
Post a Comment