Sunday, November 29, 2009

Kemeriahan Ibadah Korban Di Bumi Zagazig

Posted by UPP DPMZ On 1:36 AM 1 comment





 Tenang..... Persekitaran Murur yang menyejukkan jiwa

MURUR, ZAGAZIG, 28 NOVEMBER 2009 : Sambutan Hari Raya Aidiladha pada hari ini diteruskan lagi dengan aktiviti ibadat penyembelihan korban yang telah diadakan oleh DPMZ.2 ekor unta telah dibeli setelah tamat tempoh pendaftaran untuk membeli bahagian korban yang dibuka kepada seluruh ahli DPMZ pada 20 November lalu.Kedua-dua ekor unta yang dibeli dari penternak Arab telah tiba di Salam sekitar jam 7.30 pagi dan kemudiannya dibawa ke halaman sebuah rumah ahli DPMZ di Murur.Ramai ahli DPMZ yang hadir ke sini bagi melihat sesi penyembelihan unta tersebut.


          Ibadat korban merupakan suatu ibadat yang telah dilakukan sejak dahulu lagi untuk memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Ismail AS kepada ayahandanya Nabi Ibrahim Khalilullah.Nabi Ibrahim telah mendapat perintah dari Allah untuk mengorbankan anaknya sambil nabi Ismail reda dengan perintah itu.Selepas itu, Allah telah menggantikan pengorbanan Baginda dengan mengurniakan seekor kibas.Peristiwa ini memberi pengajaran kepada umat Islam akan kepentingan pengorbanan di dalam perjuangan menegakkan Islam di muka bumi Allah.Proses penyembelihan bermula pada jam 8.30 pagi apabila ahli -ahli DPMZ cuba untuk menjatuhkan unta dan hanya berjaya selepas sejam kemudian setelah pelbagai usaha dilakukan.Mantan Pengerusi DPMZ, Ustaz Muhammad Mumtaz Harun telah menyembelih kedua-dua ekor unta tersebut.

          Ahli-ahli DPMZ yang hadir telah bergotong-royong untuk melapah unta, memotong daging unta serta mengagihkan daging unta tersebut.Anggota Badan Pengurus PMRAM, Ustaz Nik Rosdi Nik Jusoh juga hadir bagi membantu aktiviti ini.Para ahli telah berjaya menunjukkan kerjasama terbaik demi membentuk tali silaturrahim di antara mahasiswa lama dan baru.Sementara itu, unit masakan pula bergotong-royong untuk memasak sup tulang.Ahli-ahli DPMZ beramai-ramai datang semula ke Murur pada sebelah malam untuk menikmati hidangan nasi besreta sup tulang unta yang amat lazat.

          Sesungguhnya, panorama indah seperti ini sudah tentu tidak akan dapat dinikmati jika para ahli tidak menjaga hubungan ukhuwwah sesama sendiri dan berada di bawah satu kesatuan mahasiswa.Kesatuan ahli DPMZ adalah suatu yang amat bernilai kerana tanpanya sudah pasti masyarakat mahasiswa Zagazig akan hidup berpecah-belah seperti pepatah Melayu mengatakan "Bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing".DPMZ menyeru seluruh ahli untuk bersatu di bawah kesatuan aqidah Islam supaya para ahli dapat menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai pedoman hidup.DPMZ juga berharap seluruh ahli dapat mengimarahkan program-program yang bermanfaat seperti ini pada masa akan datang."Satu Fikrah Satu Amal"

Sedia..... Perbarisan masuk unta korban yang dikendalikan Ustaz Murshid Shafiee


Cemas.... ahli DPMZ bergelut dengan unta

 
 Teruja..... Mahasiswi DPMZ tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan ibadah korban

 
Sepakat membawa berkat..... Ahli DPMZ bergabung tenaga melapah unta

 
 Aktiviti "membasuh perut" di sungai yang mendapat sambutan menggalakkan

 
 Meriah..... Ukhuwwah diribat daging unta dirembat

 
Makan berjemaah meneguhkan ukhuwwah..... para ahli menikmati hidangan sup tulang unta istimewa yang hanya dapat dinikmati di bumi Mesir

Sahabat