Wednesday, May 12, 2010

Peringatan Demi Keselamatan Bersama.

Posted by UPP DPMZ On 6:44 AM No comments

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah. Segala puji dan syukur bagi Allah s.w.t, tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Baru-baru ini kita digemparkan dengan berita gangguan seksual yang telah dilakukan oleh seorang warga arab terhadap mahasiswi perubatan. Saya sendiri bersama dua orang teman telah bergegas ke tempat kejadian setelah mendapat panggilan dan bertemu dengan suspek seperti yang telah diberitakan. Ini merupakan kes yang kedua melibatkan warga arab berkelakuan tidak sopan dihadapan mahasiswa kita.

Sehubungan dengan perkara tersebut, DPMZ menggesa semua mahasiswi agar lebih berhati-hati ketika berada di luar kediaman masing-masing. Pastikan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan tidak keluar secara berseorangan walaupun di siang hari. Pastikan ketetapan yang telah dibuat oleh DPMZ dipatuhi sebaik  mungkin. 

Keselamatan dan maruah diri merupakan perkara daruri yang sangat dititik beratkan dalam Islam. Justeru itu , DPMZ sangat mengharapkan kepada seluruh mahasiswi agar dapat mengikuti peraturan musyrif yang telah ditetapkan. Jangan sesekali bersikap degil atau keras hati dengan melakukan kesalahan keluar pada waktu malam dari kediaman tanpa musyrif. Pepatah Melayu menyebutkan "sediakan payung sebelum hujan" .Beringat sebelum terkena. 

DPMZ tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sepatutnya kepada mahasiswi yang melanggar peraturan ini. Bukanlah niat DPMZ untuk menyekat kebebasan akan tetapi demi menjaga keselamatan dan maruah kita  bersama selaku warga asing yang menuntut ilmu di bumi Mesir ini. Ingatlah bahawa kita adalah harapan kepada umat serta keluarga kita yang sentiasa mendoakan kesejahteraan kita sepanjang keberadaan kita di sini.Janganlah hanya kerana ingin menuruti kepentingan diri menyebabkan kesusahan kepada seluruh mahasiswa/wi di  Mesir.Jadikanlah peristiwa yang telah berlaku  kepada mahasiswi kita di Kaherah dan kes terbaru melibatkan seorang pekerja wanita warganegara Indonesia sebagai satu peringatan kepada kita.

Sama-sama kita berdoa semoga Allah swt menjaga dan memelihara keselamatan diri kita sepanjang menuntut ilmu di bumi anbiya ini, InsyaAllah. Berani berubah demi maruah.

"KEMANTAPAN FIKRAH,MEMBINA SYAKHSIAH"

Muhammad Hanif Bin Jamaluddin.
Pengerusi PMRAM Cawangan Zagazig
Sesi 2009/2010

0 comments:

Sahabat