Wednesday, April 20, 2011

Pengerusi DPMZ - Ahli Perlu Lebih Waspada Isu Keselamatan

Posted by UPP DPMZ On 2:02 PM No comments



Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah segala puji kita panjatkan kepada Allah s.w.t. kerana limpahan rahmat dan ‘inayah-Nya kita selamat kembali ke Mesir setelah berlakunya Revolusi atau Hari Kebangkitan seluruh rakyat Mesir pada tarikh bersejarah 25 Januari 2011. Kita seharusnya sedar bahawa kita adalah insan yang telah dipilih oleh Allah s.w.t untuk kembali meneruskan perjuangan dan pengajian di bumi Anbiya’ ini dengan menimba ilmu sebanyak yang mungkin untuk dibawa pulang ke tanah air.

Keadaan Mesir yang kini kelihatan seperti ‘bebas‘dan ‘tenang’ bukanlah jawapan untuk kita terus merasakan aman dan bebas untuk malakukan apa saja. Sebaliknya keadaan tersebut seharusnya membuatkan kita lebih berwaspada dan berhati-hati dalam setiap aktiviti dan tindakan kita terutamanya isu yang berkaitan dengan keselamatan.

Pada 17 April 2011 seorang mahasiswa Perubatan tahun 2 telah kecurian beg di masjid Universiti Zagazig ketika menunaikan solat fardhu Asar. Mangsa yang sedar akan kecurian tersebut telah mengambil langkah cepat untuk terus memaklumkan perkara tersebut kepada Pengerusi DPMZ. Jam 9.30 malam hari kejadian, laporan polis telah berjaya dibuat oleh Pengerusi DPMZ bersama mangsa.

Dalam kejadian yang lain, seorang mahasiswa Perubatan tahun 1 telah kecurian telefon bimbit di kawasan Mauqif Tanta Qadim ketika dalam perjalanan untuk ke Qaherah. Mangsa yang sedang berjalan di kawasan tersebut telah ditahan oleh seorang budak arab dan ditanya beberapa soalan. Setelah beredar mangsa mendapati telefon bimbit yang berada dalam kocek jubah beliau telah tiada.

Setelah melihat tahap keselamatan yang makin membimbangkan di Mesir dan di Zagazig khususnya, pihak DPMZ menyeru seluruh warga di bumi Zagazig tidak kira ikhwah mahupun akhawat, Pengajian Islam mahupun Perubatan supaya kita sama-sama dapat meningkatkan tahap keselamatan dan sentiasa berwaspada tidak kira di mana jua kita berada sama ada di rumah, kuliah, mahupun mana-mana juga tempat awam.

‘KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH’

Muhamad Lokman B. Sulaiman,
Pengerusi ,
Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig 2010/2011.

0 comments:

Sahabat