Thursday, January 12, 2012

Satu Hati ’12 : Menjayakan Satu Fikrah Satu Amal

Posted by UPP DPMZ On 6:27 PM No comments



KAHERAH, 11 Januari – Proses pengkaderan pimpinan merupakan tunjang utama ke  arah memastikan  sesuatu organisasi atau pertubuhan dapat bergerak dan diteruskan selari dengan visi dan misi serta berlandaskan dasar yang telah ditetapkan.

“ Program pembinaan jati diri pimpinan ini amat perlu supaya setiap permasalahan yang ditanggung di peringkat pusat tidak hanya berlegar sekitar mereka sahaja bahkan permasalahan itu dapat diselesaikan secara kolektif dengan kerjasama yang dimainkan oleh pimpinan di peringkat cawangan BKAN dan DPM. Pepatah ada menyebut “ Berat sama dipikul ringan sama dijinjing"  ujar Saudara Abdul Aziz bin Ali merangkap Pengarah Satu Hati ’12.

Satu Hati ’12 yang akan menghimpunkan seluruh pimpinan PMRAM di peringkat pusat dan cawangan BKAN dan DPM yang berjumlah hampir 300 orang ini akan memfokuskan beberapa perkara yang menjadi pengisian penting antaranya slot Sejarah Kita, karekter seorang pimpinan dan beberapa modul yang diaturkan khusus untuk mengeratkan ukhuwah antara pimpinan serta memupuk  semangat sebagai kepimpinan PMRAM di setiap cawangan .

Program sulung PMRAM untuk tahun 2012 ini dijadualkan berlangsung pada pertengahan Februari nanti iaitu sejurus selepas tamatnya waktu tawakkuf program di peringkat PMRAM.

Bertemakan “ Teguh Wadah Atasi Mehnah “ Satu Hati ’12 diharapkan dapat melahirkan pimpinan yang mampu untuk bersama-sama dengan PMRAM dalam apa jua keadaan senang mahupun susah sekaligus menjayakan subtopik Ucapan Dasar Presiden PMRAM iaitu ‘Satu Fikrah Satu Amal’ ujar Saudara Abdul Aziz Ali lagi.

Justeru, PMRAM mengharapkan agar seluruh pimpinan cawangan BKAN dan DPM dapat memberikan kerjasama yang terbaik dalam program Satu Hati ’12 yang bakal berlangsung ini.

Oleh yang demikian, sebagai persiapan ke arah kesempurnaan dan kelancaran program tersebut seluruh pimpinan diminta supaya mengkaji dan meneliti semula sejarah agung PMRAM bermula daripada tahun penubuhannya iaitu 1930 sehingga ke hari ini supaya matlamat penganjuran program ini dapat direalisasikan secara bersama. 

Sumber : pmram.org

0 comments:

Sahabat