Friday, April 20, 2012

Indahnya Solat Berjemaah

Posted by UPP DPMZ On 2:03 PM No comments



Firman Allah s.w.t : “Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian,serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang yang diharapkan termasuk orang-orang yang mendapat petunjuk”.

(Surah at-Taubah :18)

Solat berjemaah merupakan salah satu ibadah yang sangat dituntut di dalam Islam. Dari segi bahasa membawa maksud solat secara berkumpulan. Dalam fiqh, solat itu dikira berjemaah walaupun hanya dua orang sahaja yang menunaikan solat tersebut. Maka perlulah kita hidupkannya di dalam kehidupan seharian kita selaku seorang insan yang bergelar muslim.

Para ulama’ berselisih pendapat dalam memberi hukum tentang solat berjemaah ini. Ada yang mengatakan wajib,ada yang mengatakan sunat,ada yang mengatakan ianya adalah sunat muakkad(yang dituntut). Perselisihan ini membuktikan betapa pentingnya solat berjemaah itu kepada kita kerana ganjaran bagi yang menunaikan solat secara berjemaah sangat berbeza dengan solat bersendirian. Sabda Nabi Muhammad s.a.w daripada Ibnu Umar r.a : “Solat berjemaah itu lebih afdhal daripada solat bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda” Riwayat Bukhari dan Muslim. Hadis ini ada juga perbahasan ulama yang mengatakan dengan dua puluh lima kali ganda pahala maka membuktikan betapa besarnya ganjaran yang Allah taala berikan kepada sesiapa yang menunaikan solat secara berjemaah.

Selain itu, solat berjemaah ini mempunyai banyak faedah kelebihan kepada kita lebih-lebih lagi sebagai mahasiswa. Perlu kita pupuk dari awal supaya budaya solat berjemaah menjadi darah daging kita yang sangat sukar untuk kita tinggalkan. Antara kelebihan-kelebihan kita dapat jika menunaikan solat secara berjemaah ialah:

1)Saling kenal mengenali antara satu sama lain.

Apabila kita pergi ke masjid kita akan berjumpa ramai sahabat-sahabat kita yang sudah lama kita kenal, baru kenal ataupun tidak kenal langsung. Maka masjid adalah ‘Rumah’ yang pintunya tidak pernah ditutup pintunya untuk menerima tetamu tidak seperti rumah kita. Jika kita tidak mengenali seseorang itu mustahil kita akan menjemputnya masuk ke dalam rumah kita dengan selamba.

2)Saling tampung menampung pahala khusyuk antara satu sama lain.

Jika kita menunaikan solat berjemaah, tidak semua yang mendapat khusyuk dari takbiratul ihram hinggalah kepada salam. Ada yang khusyuknya pada doa iftitah, ada yang khusyuknya pada rukuk, ada yang khusuknya pada sujud dan yang tidak khusyuk langsung.jadi ada pelbagai tempat  dan keadaan seseorang itu akan merasai khusyuk dalam solat dan secara automatik pahala khusyuk akan dapat. Maka dengan solat berjemaah ini akan saling tampung menampung pahala khusyuk dalam solat. Jika solat bersendirian kita memang tidak boleh kelebihan seperti ini.

3)Hadith Rasulullah s.a.w  yang diriwayatkan daripada Anas r.a : “Sesiapa yang solat selama empat puluh hari dalam jemaah yang tidak luput dari takbiratul ihram, maka Allah menuliskan(mewajibkan) baginya kelepasan : kelepasan dari munafiq dan kelepasan dari neraka”.

4)Allah swt akan memberi cahaya dalam kegelapan hari akhirat.

Sabda Rasulullah s.a.w : “Bergembiralah orang yang berjalan dalam gelap untuk ke masjid dengan cahaya yang sempurna pada hari kiamat”.Para ulama’ memberi maksud pada ‘ solat yang gelap’ialah solat subuh dan asar.

5)Dijanjikan oleh Allah swt dengan ganjaran syurga.

Siapa yang tidak mahu masuk syurga. Hanya orang yang otaknya terputus wayar sahaja tidak mahu masuk syurga. Ini adalah janji Allah maka perlulah kita merebutnya kerana peluang tidak datang berkali-kali. Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan dari Abi Musa r.a : ”Sesiapa yang melakukan dua solat yang sejuk secara berjemaah akan memasuki syurga”. Dua solat yang sejuk ialah solat subuh dan asar.

Ini adalah sedikit daripada kelebihan yang Allah taala ganjarkan jika kita melakukan solat secara berjemaah. Kalau nak dihimpunkan memang terlalu banyak kelebihan tentang solat berjemaah ini. Namun begitu, jangan kita lupa yang Rasulullah s.a.w pernah memberi ancaman kepada sesiapa yang mampu tetapi tidak menunaikan solat secara berjemaah maka kita jadikan ancaman itu sebagai motivasi untuk berusaha sebanyak mungkin untuk menunaikan solat secara berjemaah.

Di dalam fatrah imtihan ini mari kita panjatkan munajat kita kepada Allah disamping usaha kita mengulangkaji pelajaran. Allah taala sangat suka kepada sesiapa yang selalu meminta-minta kepadaNya. Tidak seperti kita kalau sahabat kita meminta apa-apa daripada kita setiap masa sudah tentu bukan sahaja maki hamun yang kita berikan tetapi periuk dan kuali juga akan sampai ke muka sahabat kita. Bila kita mengingati Allah, hati kita akan menjadi tenang dan tenteram kerana lidah kita basah dengan zikrullah akan melahirkan rasa rendah diri, hilang ego kita dan pengharapan kita kepada Allah itu akan semakin tinggi.

Semoga kita memanfaatkan nikmat yang Allah swt berikan dengan melakukan amal-amal soleh supaya kita boleh mendapat cinta Allah kerana cinta Allah tiada tandingan dari cinta-cinta yang lain.

“Jangan kita lupakan Allah takut-takut Allah akan lupa pada kita”


Muhammad Bukhari bin Yahaya
Pengarah Unit Biah Solehah PMRAM 2011

Sumber : ubs-pmram

0 comments:

Sahabat