Monday, April 16, 2012

Memperanankan Aktivis Islam.

Posted by UPP DPMZ On 12:16 PM No comments



Sejarah telah membuktikan bahawa golongan pemuda memainkan peranan yang sangat penting dalam membina sesebuah masyarakat manusia yang bertamadun. Mereka merupakan golongan yang mempunyai jiwa yang kental di samping memiliki kekuatan jasad yang istimewa. 

Kelebihan yang ada pada mereka ini perlu dicanang dengan acuan yang tepat sebagaimana ditentukan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran dan diperincikan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW melalui Hadis agar mereka mampu mewarisi takhta pemerintahan persatuan, badan kebajikan mahupun sesebuah negara dengan cara yang dikehendaki dan diredhai oleh Allah SWT. Hayatilah firman Allah SWT yang bermaksud ;

"Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar ; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda (aktivis Islam) yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk."

Dalam menyelusuri denai yang beronak dan berduri tidak dapat dinafikan bahawa PMRAM sehingga ke hari ini sedikit sebanyak menghadapi kesulitan dalam melahirkan golongan pelapis atau aktivis Islam yang benar-benar sanggup mewakafkan diri mereka untuk berkhidmat dan berbakti dalam meneruskan kelangsungan PMRAM yang menjadi satu medium kesatuan mahasiswa di bumi anbia’ ini. 

Ini kerana para aktivis tidak diperanankan dengan sebaik mungkin di dalam setiap aktiviti yang dianjurkan di peringkat PMRAM. Tambahan pula, mereka seolah-olah tidak menjiwai dan tidak merasakan yang sebenarnya mereka sangat diperlukan oleh PMRAM.Namun PMRAM tidak hanya mengambil sikap diam membisu, berpeluk tubuh dan berdiri kaku akan tetapi terus berusaha dalam segenap lapangan dan elemen bagi melahirkan golongan yang akan menjadi mata rantai perjuangan yang mulia ini sehinggalah pucuk pimpinan persatuan ini tidak terbantut sama sekali dan terus silih berganti. Sebagai contoh yang paling jelas, Program Kepimpinan PESAT yang saban tahun telah dilaksanakan adalah salah satu usaha di peringkat PMRAM dalam memastikan kelangsungan generasi pelapis ini tercapai dan terus berkekalan sepanjang tahun.

Mahasiswa dan Mahasiswi yang budiman,

Hari ini kita dapat saksikan bahawa fungsi aktivis Islam cukup penting di dalam medan gerak kerja PMRAM.  Mereka bukan sahaja menjadi tulang belakang kepada keteguhan dan kemantapan perjalanan PMRAM bahkan mereka juga adalah sebagai pemikir di dalam mencetuskan suatu idea yang baru untuk direalitikan. 

Oleh yang demikian sebagai langkah awal para aktivis Islam perlu memiliki fikrah yang cukup jelas tentang amal Islami serta mempunyai kekuatan rohani yang mantap sebagai tunjang yang kukuh bagi memastikan mereka terus thabat bekerja di jalan Allah ini, Tidak hanya  semata-mata kerana bekerja dalam keadaan terpaksa atau kerana dipaksa bahkan mereka berpenat lelah kerana faham bahawa tugas yang paling mulia adalah saling menyumbang tenaga di dalam perkara kebaikan dan berlepas tangan dalam sebarang perkara kemungkaran. 

Hal inilah yang ditekankan melalui Madrasah Muhammadiah yang berjaya melahirkankan sejumlah besar aktivis Islam dalam kalangan para sahabat ridhwanullah alaihim yang menjadi contoh tauladan terbaik kepada kita hingga ke saat ini.Apabila berbicara mengenai bidang tugas aktivis Islam juga, mereka seharusnya memiliki kefahaman yang jelas mengenai gerak kerja yang hendak dilakukan. Aktivis Islam yang tidak mempunyai kefahaman yang jelas dalam sesuatu gerak kerja boleh diibaratkan mereka ini seperti seseorang yang berjalan tanpa arah tuju dan tidak mengetahui destinasi paling akhir yang perlu mereka lawati. Sesat di siang hari, tiada tempat persinggahan yang akhirnya merugikan masa, kewangan dan tenaganya dengan begitu sahaja.

Menjadi keperluan kepada para aktivis Islam untuk bekerja dengan penuh konsisten kerana ia bagaikan sebuah cermin dalam mengukur atau menilai kematangan berfikir, bertindak, mengatur dan menyusun sebarang aktiviti dan perancangan. Selaras dengan sabda Nabi Muhammad SAW : “ Amalan yang paling disukai oleh Allah ialah amalan yang berterusan (konsisten) sekalipun sedikit ”. 

Lupakah kita kepada perajurit PMRAM sebelum ini yang sanggup berjuang mempertahankan hak PMRAM dan mahasiswa yang telah dinafikan. Mereka berhadapan dengan pelbagai jenis cubaan dan rintangan namun sama sekali mereka tidak pernah serik dan jemu dalam mempertahankan hak tersebut. Semangat inilah yang patut para aktivis Islam contohi dan tauladani agar para aktivis Islam akan kekal teguh berdiri menghadapi tribulasi yang semakin mencabar ini.

Justeru,  marilah sama-sama kita menghayati untaian kalam ulama gerakan di dalam memotivasikan diri kita dalam arena perjuangan ini. Beliau menyebut : “Ramai di kalangan manusia mampu untuk berkata-kata namun sedikit daripadanya yang thabat dalam amal mereka. Dan ramai yang di kalangan sedikit itu mampu untuk thabat dengan amal kerja yang mereka buat  namun sedikit sahaja yang berkelayakan menanggung bebanan dakwah yang maha dahsyat sifatnya. Mereka itulah insan terpilih. Namun kekadang yang terpilih itu terpesong dari  hala tuju andai tidak dipandu petunjuk Yang Esa ”.

Penghargaan diberikan kepada tenaga aktivis PMRAM dengan wujudnya Anugerah Emas untuk individu yang sentiasa memberikan komitmen sepenuhnya kepada PMRAM dalam setiap gerak kerja. Ini adalah salah satu pengiktirafan diperingkat PMRAM untuk menghargai jasa dan pengorbanan aktivis sekaligus memberikan suntikan dorongan kepada mahasiswa yang lain untuk bekerjadan mencurahkan tenaga dalam melaksanakan segala agenda PMRAM.

Sub Topik
Ucapan Dasar Presiden PMRAM 2012
Sdr. Abdul Aziz Bin Ali

Sumber : PMRAM

0 comments:

Sahabat