Wednesday, April 25, 2012

Wahai Muslimah, Dimanakah Batasan Kalian?

Posted by UPP DPMZ On 1:33 PM No comments



Berapa ramai daripada kita yang menyedari tentang batasan manusia yang tertakluk untuk memelihara dua   bentuk hubungan iaitu hubungan dengan Allah S.W.T (Habluminallah) dan hubungan sesama manusia (Habluminannas). Ketika menerima taklifan ini, firasat mengatakan bahawa semua remaja yang sudah baligh, berakal dan berpendidikan begitu makruf dan memahami situasi ini, lebih-lebih lagi jika individu tersebut pernah belajar tentang hukum hakam dalam Islam, pernah mengambil subjek agama Islam di setiap peringkat sekolah dan merupakan antara seseorang yang mendalami ilmu agama Islam itu sendiri.

Dalam Islam, konteks pergaulan adalah luas dan merangkumi segenap aktiviti harian kita seperti dalam urusan jual beli, menuntut ilmu, kerja, perubatan, penyaksian di mahkamah dan sebagainya. Kita digalakkan untuk mengenali antara satu sama lain dengan firman Allah S.W.T;

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra dengan yang lain)…”

[Surah Al-Hujurat: 13]

Pandangan yang dilontarkan oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi di dalam Fatwa Muasyirah, Jilid 2 yang menyebutkan; “Pada prinsipnya, perhubungan di antara lelaki dan wanita tidaklah ditolak secara total, malahan dibolehkan selagi mana ia bermatlamatkan kebaikan dan atas perkara-perkara yang dibenarkan syarak. Dan wajib dipatuhi kehendak dan ajaran Islam serta prihatin tentang akhlak dan adab;

1.       Menundukkan pandangan.

“Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mata mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka…”

[Surah An-Nur- 30]

Tidak melihat aurat, tidak memandang dengan pandangan syahwat dan bukan dengan pandangan yang liar. Bukankah kita tahu bahawa pandangan yang pertama dimaafkan, namun jangan pula ia disusuli dengan pandangan yang kedua dan ketiga kerana ianya adalah haram.

2.       Menjaga aurat dan kehormatan.

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya…”

[Surah An-Nur: 31]

Sabda Rasulullah S.A.W: “Barangsiapa yang memakai pakaian yang menjolok mata, maka Allah S.W.T akan memberikan pakaian kehinaan di akhirat kelak..”

[Riwayat Ahmad, Abu Daud, An-Nasaie & Ibnu Majah]

Berpakaian sopan menurut syarak, iaitu tidak nipis sehingga menampakkan warna kulit, tidak ketat sehingga menampakkan bentuk badan dan tudung dilabuhkan melebihi paras dada. Tidak salah berfesyen namun asalkan menepati standart piawaian pakaian Islam. Elakkan daripada memakai pakaian yang tidak menggambarkan identiti kita sebagai seorang Islam.

3.       Tidak berdua-duaan antara lelaki dan perempuan

Hadis Rasulullah S.A.W menyarankan: “Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (berkhalwat) dengan wanita kecuali bersama mahramnya.”
                                       
[Riwayat Bukhari & Muslim]

Mahram yang dibawa perlulah individu yang sudah baligh, berakal dan berupaya mencegah kita daripada melakuakn kemungkaran. Pertemuan perlulah di tempat awam, bukan di kawasan yang tersorok daripada pandangan ramai bagi mengelakkan fitnah dan menghindarkan daripada terpedaya dengan hasutan syaitan. Ingatlah, tidak berdua-duaan antara lelaki dan wanita melainkan akan hadir di antara keduanya yang ketiga iaitu iblis.

4.       Tidak melunakkan suara dan mengucapakan kata-kata yang baik.
                         
“Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertakwa. Oleh itu,janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian itu boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu) dan berkatlah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).

[Surah Al-Ahzab: 32]

Elakkan nada yang merayu, menggoda, merangsang keinginan, keji, lucah mahupun perkataan yang sia-sia dan gurauan yang berlebihan. Melunakkan suara berbeza dengan merendahkan suara. Lunak diharamkan manakala merendahkan suara adalah dituntut. Merendahkan suara bermakna kita berkata dengan suara yang lembut, tidak keras, tidak meninggi diri dan sesuai didengari oleh orang lain.

Nasihat Luqman Al-Hakim kepada anaknya seperti yang tercatat di dalam Al-Quran: “Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu semasa berkata-kata, sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.”

 [Surah Luqman: 19]

Penggunaan perkataan yang baik ini perlu dipraktikkan sama ada melalui perbualan secara langsung mahupun platform lain, contohnya melalui SMS, Yahoo Messenger ataupun apa yang tertulis di Facebook kerana ianya menggambarkan keperibadian penuturnya.

Di dalam Al-Quran ada memberikan beberapa bentuk ungkapan yang wajar kita praktikkan dalam komunikasi seharian kita iaitu;

a.       Qaulan Sadida (pesanan jujur, benar dan tidak dibuat-buat) [Surah An-Nisa’: 9]
b.      Qaulan Ma’rufa (menyeru kepada kebaikkan dan kebenaran) [Surah An-Nisa’: 5]
c.       Qaulan Baligha (kata-kata yang membekas pada jiwa) [Surah An-Nisa’: 63]
d.      Qaulan Maisura (ucapan yang baik dan layak untuk dibicarakan) [Surah Al-Isra’: 28]
e.      Qaulan Karima (perkataan-perktaan yang mulia) [Surah Al-Isra’: 23]

5.       Tidak bersentuhan antara lelaki dan wanita bukan muhrim.

Hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Sesungguhnya kepala yang tertusuk besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya.”

[Riwayat At-Tabrani & Baihaqi]

Selain itu, dari Aishah R.A: “Demi Allah, tangan Rasulullah S.A.W tidak pernah menyentuh tangan wanita sama sekali meskipun saat membaiah (membuat perjanjian).”

[Riwayat Bukhari]

Elakkan bersentuhan, berpegangan, bergesel, bertepuk tampar dan sebagainya.

6.       Tidak mengenakan wangi-wangian atau perhiasan-perhiasan yang boleh menarik perhatian.

Hadis Rasulullah S.A.W ada menyebutkan: “Siapa sahaja wanita yang memakai wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina…”

 [Riwayat An-Nasaie, Ibnu Khuzaimah & Ibnu Hibban]

7.       Mengawal pergerakkan badan.

“Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka…”

[An-Nur: 31]

Elakkan dari melakukan gerakan yang manja atau gerakan yang boleh menarik perhatian orang lain. Bersederhana dalam pergaulan, adab dan tertib sebagai seorang Islam.

8.       Pertemuan hendaklah kepada perkara yang benar-benar perlu, tidak melampau atau kerap.

Sebarang pertemuan perlu ada batasan dan limitasi yang tidak terlalu bebas.

Akhir kalam, bergaullah dengan cara yang baik dan mengikut batasan standart piawaian syarak kerana apa yang telah dianjurkan Islam adalah untuk maslahah atau kebaikan kita juga sebagai penganutnya. Hindrailah ikhtilat yang diharamkan oleh Islam seperti berdating, bercouple dan bersentuhan. Ingatlah, sekiranya kita menjaga hubungan kita dengan Allah S.W.T, Allah S.W.T akan menjaga dan memelihara diri kita.

Sumber : ubs-pmram
                                                                                                                                          

0 comments:

Sahabat