Monday, May 7, 2012

Menempuhi Imtihan Yang Sebenar

Posted by UPP DPMZ On 5:27 PM No comments



بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Salam Imtihan kepada semua warga Zagazig

Pertama sekali, Alhamdulillah diucapkan kerana kita telah ditemukan lagi dalam laman blog ini. Selawat dan Salam ke atas junjungan kita Rasulullah SAW yang mana nama baginda adalah yang paling lama dan paling ramai disebut dan diucap oleh penduduk dunia mahupun langit sejak dahulu hingga sekarang. Bersyukur juga kita kerana diberi nikmat terbesar yang kita kecapi selama ini hasil perjuang Rasulullah SAW, Para Sahabat Baginda serta Para Pejuang seluruhnya iaitu nikmat Iman dan Islam. Alhamdulillah dengan nikmat Iman dan Islam inilah yang menemukan kita di dalam satu ikatan Aqidah Islamiah yang insyaAllah akan kekal hingga ke Akhirat kelak hendaknya, amin.

Sempena imtihan ini, ana telah ditaklifkan untuk mengisi ruangan Kalam Pimpinan  walaupun ana menyedari diri ini bukanlah seorang penulis atau penasihat yang hebat dan berkelayakan. Tetapi, sebagai seorang mukmin, kita tetap memerlukan nasihat walau setinggi mana pun taraf kita. Firman Allah :

"Sesungguhnya peringatan itu berguna bagi Orang-Orang yang Beriman"

(Az-Zariyat : 55)

Semua antara kita sedar akan keperluan najah di dalam imtihan. Semua antara kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan yang terbaik dan imtiaz dalam natijah imtihan. Kita sanggup berjaga malam. Kita sanggup berlapar. Kita sanggup berkurung. Kita sanggup fokus. Kita sanggup atur masa. Kita sanggup beli meja, kerusi, mirwahah (kipas), difayah (pemanas), buku, hias rumah, sewa di rumah mahal dan menghabiskan wang untuk mendapatkan keselesaan dalam mengulang kaji pelajaran. Semuanya kerana inginkan natijah imtihan yang terbaik.

Tetapi, kita sering terlupa bahawa kita sebenarnya sentiasa diimtihankan oleh Allah Taala. Pelbagai imtihan selalu melalui kita. Imtihan dalam menentukan antara perkara baik dan perkara buruk, imtihan antara dosa dan pahala, imtihan antara pahala dan dosa, imtihan antara taat dan derhaka, imtihan antara halal dan haram, imtihan antara agama dan 'aqal, imtihan antara bersih dan kotor, imtihan antara ilmu dan jahil, imtihan antara agama dan nafsu, imtihan antara perkara bermanfaat dan perkara lagho, imtihan antara rajin dan malas. Imtihan-imtihan ini semua bersifat berterusan selagi kita bergelar hamba yang dipinjamkan segala-segalanya oleh tuannya iaitu Allah Azzawajalla.

Adakah kita najah dalam menempuhi imtihan-imtihan di atas? Atau kita najah dalam mencipta alasan? Sengaja ana akhiri tulisan ini dengan persoalan kerana membaca tanpa berfikir adalah kosong. Berfikir tanpa membaca adalah tumpul. Bahkan jika tanpa keduanya (membaca dan berfikir), hidup dan mati itu adalah sama. Maaf di atas kekurangan kerana kelemahan seorang hamba. Semoga kita semua najah menempuhi imtihan-imtihan yang telah diaturkan Allah, amin ya Rabbal 'Alamin.

Muhammad Anas Bin Ridzuan
Ketua Unit Perumahan
Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig 2011/2012

0 comments:

Sahabat