Saturday, June 23, 2012

Prinsip Asas Negara, Kerajaan dan Perundangan

Posted by UPP DPMZ On 3:03 PM No comments



Apakah perkara pertama yang berlegar di minda anda apabila tiga elemen ini dibaca?. Secara asasnya, pelbagai tafsiran dan fikiran terhadap hal ini di atas paksi idea masing-masing. Setiap manusia di atas planet ini bernegara dan berkerajaan. 7 bilion populasi penduduk dunia dengan ratusan wilayah, berbilang-bilang bangsa dan pelbagai bentuk struktur kerajaan yang tersendiri.

Negara

Negara merupakan dasar elemen terpenting dalam memahami konsep hubungan antarabangsa, sejauh manakah kepentingan itu bergantung kepada krisis negara. Mengambil sudut pandang hubungan antarabangsa merupakan disiplin utama dalam tindakan sesebuah negara dan interaksi antara negara.

Secara faktanya, ia juga boleh disifatkan bagaimana sesetengah mereka mengambil alih sesebuah kawasan atau tempat yang sedang tiada kerajaan atau berlaku perang saudara ,huru-hara (anarki) yang mana masyarakatnya tidak lagi dikawal oleh kerajaan.

Demikian itu, peperangan menjadi kelaziman dalam struktur sistem dan keselamatan kuasa tertinggi dasar luar negara. Begitulah pentingnya pengukukan demokrasi negara yang mendorong kekuatan politik negara. Hilang dan jatuhnya kawalan kerajaan terhadap negara, menurut dasar polisi di atas, pihak berkuasa tentera adalah jalan terakhir bagi mengawal dan menyelia kedaulatan negara.

Selepas kerajaan Mesir dibubarkan, Mesir tidak mempunyai penguasa yang mengawal, tiada pelaksana undang-undang, perlembagaan negara dibatalkan, maka dengan serta merta kuasa tertinggi tentera mengambil alih bertujuan menjaga keselamatan negara dari ancaman keselamatan dalam mahupun luar.  Namun, selepas kerajaan terbentuk, keutamaan kuasa mentadbir negara mesti diserahkan kepada kerajaan yang dipilih oleh masyarakat sivil di negara tersebut. Negara kita Malaysia, Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM) bukan di bawah sepenuhnya bidang kuasa kerajaan persekutuan.  Pemerintah  tertinggi angkatan bersenjata persekutuan ialah KDYMM Sultan Yang-Dipertuan Agong seperti mana yang termaktub di dalam perlembagaan.

Negara juga difahami sebagai kedaulatan wilayah yang dikuasai, ia berkaitan juga dengan kerajaan, mengawal dan menjaga kedaulatan sempadan. Wilayah ini dikawal satu-satunya kerajaan, masyakarat yang tinggal di wilayah itu adalah rakyat negara tersebut, ia membawa maksud wujudnya ketaatan dan manfaat antara dua belah pihak.

Rakyat membayar cukai, jika kerajaan yang di wilayahnya itu bertanggungjawab atas kapasiti pemerintah, rakyat akan mendapat manfaat dengan pembinaan jalan, sekolah, keselamatan dalam negeri, pembangunan sosial, had pengangguran, hak pesara, kemajuan serta rakyat menikmati kekayaan negara.

Kerajaan

Kerajaan merupakan kuasa pentadbir undang-undang bagi segenap sempadan dalam negara. Seluas mana kedaulatan sempadan dan wilayah negara, seluas itu juga pentadbiran sesebuah kerajaan dalam memerintah dan menyelia wilayah masing-masing. Terdapat pelbagai jenis pentadbiran kerajaan yang dilaksanakan.

Demokrasi adalah sistem kerajaan yang majoritinya di kebanyakan negara mengamalkan sistem ini. Secara ringkasnya, ia melibatkkan sekurang-kurangnya dua parti politik perlu dipilih sebagai parti pemerintah. Corak demokrasi negara bergantung kepada bagaimana kerajaan  itu membentuk. Jalan pemerintahan melalui pemilihan parti adalah Pilihanraya, keputusan yang keluar adalah bergantung kepada jumlah pengundi. Parti yang mendapat jumlah undi terbanyak akan memerintah. Pemerintah boleh ditukar ganti dengan parti yang lain melalui sistem yang sama.

Malaysia, struktur pemerintahan kerajaan dibahagikan kepada beberapa bahagian, badan eksekutif, badan perundangan, dan badan kehakiman. Eksekutif terdiri daripada kabinet kerajaan, kementerian, jabatan dan agensi kerajaan. Bahagian perundangan adalah parlimen. Parlimen adalah bahagian memproses, menggubal, meminda dan apa-apa yang berkaitan dengan perundangan. Terciptanya suatu akta dan undang-undang adalah bidang kuasa parlimen. Di bahagian ini, rakyat berkuasa untuk memilih sesiapa sahaja yang difikirkan layak untuk mewakili suara mereka ke dewan parlimen. Badan kehakiman, yang terdiri daripada struktur dan sistem kehakiman yang berkuasa penuh terhadap mahkamah. Bahagian-bahagian ini digelar sebagai sistem pengasingan kuasa. Seperti parlimen tidak berkuasa atas urusan mahkamah.

Monarki, kuasa mutlak beraja, dikawal kerajaannya oleh sebahagian golongan, seperti yang diamalkan di Arab Saudi oleh Sultan Abdullah bin Abdul aziz, Brunei oleh Sultan Hassanal Bolkiah, Qatar oleh Sultan Hamad bin Khalifa Al Thani, dan lain-lain lagi. Kuasa mereka adalah selaku ketua wilayah atau negara, juga selaku pemerintah kerajaan. Struktur sistem ini juga terdapat pelbagai konsep, seperti kuasa mutlak diraja seperti Arab Saudi, raja berperlembagaan, yang mana kuasa dan bidang kuasa raja menepati peruntukkan di dalam perlembagaan seperti yang diamalkan di Malaysia, United Kingdom, dan juga di negara komenwel yang lain. Terdapat juga, negara yang mengubah dari sistem mutlak diraja kepada sistem raja berperlembagaan seperti Morocco.

Merah- pemerintahan mutlak beraja | Oren- Pemerintahan Separa raja beperlembagaan | Hijau tua- Raja berperlembagaan | Hijau- Kommenwel (raja berperlembagaan)

Istilah Asas Perundangan

Secara asasnya, fahami istilah perundangan dasar terpenting kepada meningkatkan pengetahuan terhadap sistem perundangan di Malaysia. Istilah undang-undang seperti juga konsepnya istilah usul fiqh yang terdapat di dalam pengajian syariah, iaitu berkehendak kepada maksud dan tuntutan kepada huraian, ada tafsiran yang mesti dirujuk secara tepat, dihafal dan difahami.

Tidak ramai di kalangan masyarakat awam di Malaysia hari ini menyedari tentang kewujudan kebanyakan undang-undang di negara ini. Mungkin kerana tidak ada sebab tertentu dan tiada dasar keterbukaan maklumat yang mendorong minat mereka untuk mengetahui undang-undang. Secara jujurnya, saya sendiri sangat sedikit pengetahuan dan pemahaman secara menyeluruh berkaitan pengetahuan perundangan. Jika masyarakat awam juga berhak dan sepatutnya mengetahui secara umum maklumat berkaitan perundangan, inikan pula mahasiswa yang disebut sebagai ahli akademik harapan negara.

Hari ini undang-undang telah digubal dengan bahasa yang lebih mudah untuk difahami oleh semua namun masih banyak maklumat perundangan yang tidak sampai ke pengetahuan awam walaupun undang-undang sudah dipermudahkan untuk kefahaman mereka. Mungkin juga penyebaran maklumat undang-undang itu sendiri masih tertumpu kepada pengamal undang-undang dari menjadikan masyarakat awam sasaran utama yang menyebabkan undang-undang itu dibuat.

Satu gerakan yang dipanggil Gerakan Keterbukaan Pengaksesan Undang-Undang (Movement for Open Access to Law) telah bermula seawal 90 an di Amerika Syarikat. Tujuan utama gerakan ini adalah untuk membuka pengaksesan maklumat perundangan kepada masyarakat awam secara bebas dan percuma. Hasil dari usaha gerakan ini tertubuhnya sebuah badan bebas yang dinamakan Institut Maklumat Perundangan (Legal Information Institute) yang pertama di Amerika Syarikat pada tahun 1992. Kemudian disusuli pula beberapa buah lagi badan seumpama itu di beberapa buah negara lain yang turut dikenali dengan nama yang sama yang mewakili negara masing-masing. Begitu sekali dalam mendidik masyarakat sehingga melahirkan masyarakat yang celik dan bertamadun.

Masyarakat barat setengahnya berpendapat baik tingkah-lakunya dan bertamadun adalah kerana mereka dikawal dan dididik oleh undang-undang, kepatuhan dan memahami betul dan salah dalam apa-apa tindakan. Masyarakat Islam yang bertamadun pula, dididik berprinsipkan agama, ketaatan kepada agama, memahami tuntutan agama, mendalami tuntutan sebagai hamba kepada pencipta, sesama manusia, haiwan dan tumbuhan. Maka lahirlah masyarakat yang harmoni dan bertamadun.

Secara ringkasnya, kita fahami istilah akta, enakmen dan ordinan. Mungkin untuk pengenalan kita bersama dalam memahami  istilah seperti akta, enakmen dan ordinan. Akta adalah ungkapan asing yang dari perkataan ‘act’ iaitu yang bermaksud akta. Di Malaysia, akta bermaksud sebarang undang-undang yang digubal, dipinda, dibahas dan diwartakan sebagai undang-undang yang diguna pakai di Negara Malaysia yang dibuat oleh Dewan Rakyat [parlimen].

Enakmen bermaksud sebarang undang-undang yang digubal, dipinda dan dibahas di dalam Dewan Undangan Negeri [DUN] pada  negeri-negeri semenanjung serta Sabah selepas kemerdekaan yang dibuat oleh masing-masing.

Ordinan bermaksud sebarang undang-undang yang digubal, dipinda, dan dibahas yang dibuat oleh Dewan Undangan Negeri [DUN] Sarawak, serta Sabah pada sebelum kemerdekaan.

“Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan”

Norhalis Syafiq Bin Ahmad
Setiausaha Agung
Persekutuan Melayu Republik  Mesir 2012

Sumber : pmram.org

0 comments:

Sahabat