Wednesday, June 27, 2012

RANTAI PERJUANGAN YANG DIWARISI

Posted by UPP DPMZ On 4:17 AM No comments




Dasar Perjuangan

Perjuangan Islam merupakan warisan Nabi SAW terhadap umatnya. Perjuangan ini wajib dilaksanakan sehinggalah Allah memberikan kemenangan Islam dan berakhirnya dengan Hari Kiamat. Maka dasar perjuangan Islam ini adalah berpandukan kepada al-Quran dan as-Sunnah sebagaimana yang dibawa oleh baginda SAW yang bermaksud:

“Aku tinggalkan kepada kamu 2 perkara, jika kamu berpegang kepada kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan sesat iaitu kitabullah (al-Quran) dan sunnah nabi-Nya (as-Sunnah).” – Imam Malik dalam kitab muwatta’

Justeru, dasar perjuangan Islam adalah al-Quran dan as-Sunnah. Perjuangan Islam adalah untuk mendaulatkan Islam di atas muka bumi ini dengan meletakkan Islam adalah matlamat hidup. Abu Musa al-As’ari meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda :

“Sesiapa yang berjuang untuk meninggikan kalimah Allah, maka dia berjuang di jalan Allah.”Bukhari dan Muslim

Perjuangan Ini Memerlukan Usaha Yang Besar

Perjuangan Islam tidak hanya berlegar sekitar hati dan akal semata-mata iaitu tidak cukup hati meyakini dan mengambahkan ilmu sahaja, bahkan perjuangan Islam memerlukan kepada gerak kerja yang besar. Hal ini demikian kerana sirah Nabi SAW menunjukkan bahawa peperangan banyak berlaku di zaman Nabi SAW berbanding dengan para nabi yang lain, bahkan zaman sebelum Nabi SAW tidak berlaku peperangan melainkan peperangan di zaman Nabi Daud, iaitu antara kepimpinan Islam di bawah Talut menentang Jalut.

Dr Raghib As-Sarjani menulis di dalam kitabnya yang berjudul “Lasna Fi Zaman Abrahah” menyedarkan umat Islam bahawa kemenangan serta pertolongan Allah bagi mereka yang melakukan gerak kerja ke arah kemenangan Islam. Dan inilah sunnatullah bagi umat Nabi SAW di akhir zaman ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud :

“Wahai orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, maka Allah akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”Surah Muhammad : 7

Di zaman Nabi Nuh, tidak berlaku peperangan, mereka yang ingkar ditenggalamkan. Kaum Nabi Lut yang ingkar dibinasa dengan diterbalikkan bumi disebabkan perbuatan keji yang dilakukan. Firaun dan tenteranya yang mahu membunuh Nabi Musa dan pengikutnya, ditenggelamkan oleh Allah SWT di laut Merah. Begitu juga di zaman para nabi sebelum nabi SAW. Bahkan sebelum kebangkitan Nabi SAW, Allah menjaga manusia daripada pihak yang zalim seperti peristiwa Tentera Abrahah yang dihancurkan oleh Allah dengan burung Ababil apabila mereka mahu menghancurkan Kaabah. Tidak berlaku peperangan. Namun selepas kebangkitan Nabi SAW, siri-siri peperangan mula tercetus demi menjaga hak da maruah umat Islam sebagai tindak balas kepada pihak yang melakukan kezaliman dan memerangi Islam. Bermula dengan peperangan Badar al-Kubra, Uhud, Khandak, pembukaan Mekah dan seterusnya.

Disebabkan itu, mesti difahami bahawa perjuangan ini memerlukan kepada usaha dan gerak kerja yang besar. Tanpa usaha dan gerak kerja, maka kita adalah golongan yang kalah, rugi dan tertolak. Bahkan Imam an-Nawawi dalam kitab Riyadhus Salihin meletakkan dalam bab pertama berkaitan ikhlas mengenai dengan melakukan usaha dan gerak kerja berdasarkan kepada riwayat Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada tubuh jasad kamu dan paras luaran kamu, akan tetapi Allah memandang kepada hati kamu dan perbuatan kamu.”Muslim

Maka, keikhlasan dalam bersama-sama dengan Islam mestilah dengan hati yang ikhlas dan melakukan gerak kerja ke arah mendaulatkan Islam sebagaimana yang disebut oleh Hassan Hudaibi :

“Tegakkan negara (Islam) dalam hati-hati kamu, nescaya ia akan tertegak di bumi (tempat) kamu.”

Kemestian Memiliki Fikrah Yang Jelas

Antara salah satu ciri gerakan Islam sebagaimana yang dinyatakan oleh Ustaz Idris Ahmad dalam kitab “Panduan Usrah” ialah gerakan Islam tersebut memiliki fikrah Islam yang jelas. Apa yang dimaksudkan dengan fikrah yang jelas ialah mampu menyampaikan apa isi dan intipati perjuangan Islam tersebut.

Ramai yang mampu berkata Islam dari sudut syakal atau rupa luaran. Mereka bercerita berkenaan pembinaan masjid yang cantik, namun tiada pengisian seperti tazkirah dan kuliah-kuliah dalam masjid tersebut. Mereka membicarakan keadilan yang dituntut oleh Islam, namun mereka membuang hukuman jenayah dalam Islam berkenaan hudud dan qisas. Mereka membicarakan membela golongan miskin namun mereka menggunakan sistem kewangan konvensional yang mengandungi unsur riba. Sedangkan Allah menyatakan bahawa mereka yang melakukan riba adalah mereka diperangi oleh Allah dan rasul-Nya sebagaimana dalam Surah Al-Baqarah ayat ke-279.

Disebabkan itu fikrah ini mesti dibentuk agar mereka yang memasuki Islam memahami perjuangan Islam. Perjuangan Islam bukan menjanjikan kemewahan harta dan kerehatan di dunia, bahkan Islam menjamin keadilan di dunia dan akhirat namun kesusahan dan cabaran mesti dilalui. Sebab itu lihat betapa kukuhnya perjuangan di zaman Nabi SAW kerana para sahabat memasuki Islam bukan untuk mendapatkan kemewahan walaupun ketikan mereka dalam musyrik mereka hidup dengan kemewahan namun apabila memeluk Islam mereka ditimpa kesusahan dan papa kedana. Diriwayatkan dalam sebuah hadis yang bermaksud :

“Sesungguhnya kami (sahabat yang mengadu) dimuliakan di zaman kami dalam keadaan musyrik, namun apabila kami beriman (memeluk Islam) maka kami dihina (oleh pihak musyrikin yang dahulu memuliakan kami).” Lalu Nabi SAW bersabda : “Sesungguhnya aku diperintahkan (sehingga kini) untuk memberikan keampunan (bersabar) dan jangan kamu berperang.” An-Nasai

Pangliman Solahuddin Al-Ayubi juga sebelum membebaskan Baitul Maqdis daripada jajahan Tentera Salib, beliau membersihkan dahulu al-Azhar dan Mesir daripada pengaruh Syiah. Dan ini merupakan prioriti utama yang diletakkan oleh beliau agar tentera umat Islam yang mengikuti beliau untuk membebaskan Baitul Maqdis memiliki akidah yang bersih dan fikrah yang jelas. – Dr Raghib as-Syarjani : kitab ‘as-Syiah; Nudhal Am Dhalal?’

Kita Bukan Pemula Dan Juga Pengakhir; Kita Adalah Rantai Perjuangan

Rantai perjuangan adalah penyambung perjuangan generasi terdahulu agar perjuangan diteruskan sehinggalah ke generasi yang mendatang. Justeru, perjuangan ini bukan satu ciptaan baru atau rekaan terbaru, bahkan dasar adalah tetap namun teknikel dan uslub adalah mengikut kesesuaian semasa dalam memenangkan Islam.

Pengajaran yang cukup cantik dapat diambil dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj iaitu konsep ‘mendapatkan nasihat daripada orang lama’ sebagaimana apabila Nabi SAW mendapat perintah awal iaitu solat 50 waktu namun apabila mendapat nasihat daripada Nabi Musa, akhirnya solat hanya difardhukan sebanyak 5 waktu dalam masa yang sama pahala adalah berlipat kali ganda.

Hal ini menjadi satu adab dalam perjuangan iaitu nasihat kerana Islam itu agama yang berbentuk nasihat sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi SAW. Hal ini demikian kerana generasi lama yang telah membawa perjuangan ini memiliki pengalaman dan kemahiran. Pengalaman dan kemahiran inilah merupakan benda yang penting dalam perjuangan Islam.

Saidina Mu’awiyah berkata yang bermaksud : “Tidak dinamakan sebagai bijaksana melainkan orang yang memiliki pengalaman.”- Bukhari. Rujuk karangan Dr Ali Muhamad as-Sallabi dalam kitab ‘Fiqh an-Nasr Wa at-tamkin Fi al-Quran al-Karim’, m/s 369

Kepimpinan Yang Dikehendaki

Perjuangan ini mesti digerakkan sebagai berjemaah iaitu memiliki kepimpinan. Tidak ada istilah perjuangan individu atau bebas daripada kepimpinan jemaah. Saidina Umar al-Khattab menyebut :

“Tidak dinamakan Islam melainkan (diperjuangankan) secara berjemaah, dan tidak dikira berjemaah melainkan wujudnya kepimpinan dan tidak dinamakan kepimpinan melainkan dengan ketaatan.” – Sunan ad-Darimi

Maka kepimpinan yang ada mestilah membawa perjuangan ini berdasarkan kehendak Islam. Tidak lari daripada syariat dan bertentangan dengan syariat. Ini juga yang diucapkan oleh Saidina Umar ar-Khattab yang menyambung ucapannya di atas dengan menyebut :

“Sesiapa yang memimpin kaumnya berdasarkan asas fiqh (panduan Islam) maka kehidupan (secara Islam) baginya dan kaumnya, dan sesiapa yang memimpin kaumnya tanpa merujuk fiqh (Islam), maka kecelakaan  baginya dan kaumnya.”Sunan ad-Darimi

Dr Jamal Madhi dalam kitabnya yang berjudul ‘al-Qiadah al-Muatthirah’ menyebutkan bahawa antara isi kandungan khutbah pertama Saidina Usman bin Affan apabila dilantik menjadi Khalifah yang ke-3 ialah :

“Kamu sekalian lebih memerlukan pemimpin yang adil daripada pemimpin yang (sekadar) berkata-kata.” – Abu Daud

Dan konsep kepimpinan yang dikehendaki ini ada disebutkan secara jelas di dalam Al-Quran :

-          Surah An-Nisa’ : 58 : melaksanakan amanah kepada ahlinya dan menjalankan hukuman dengan adil di antara manusia

-          Surah An-Nisa’ : 59 : Ketaatan kepada Allah dan rasul-Nya adalah mutlak. Ketaatan kepada kepimpinan tidak mutlak iaitu apabila dalam konteks maksiat, maka tidak wajib ditaati. Pemimpin yang disebut ‘ulul amri’ adalah dari kalangan orang yang beriman kerana terdapat kata ganti diri ‘kamu’ bagi bagi perkataan ‘orang yang beriman’ di awal ayat. Dan orang yang beriman di sini ialah mentaati Allah dan rasul-Nya iaitu melaksanakan amanah dan keadilan sebagaimana dalam ayat ke-58. Segala permasalahan dikembalikan dan rujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah.

-          Surah An-Nisa’ : 60 : Penafian daripada Allah terhadap mereka yang mendakwa mengatakan beriman kepada Islam dalam masa yang sama menjalankan hukum taghut. Bermaksud, kepimpinan yang melakanakan sebahagian hukum Islam dan sistem taghut bukanlah yang dikehendaki oleh Islam. Hal ini demikian Islam dan taghut adalah 2 benda yang berbeza yang tidak boleh bersatu. Justeru, mereka yang mengambil sistem taghut bukanlah pemimpin yang melaksanakan hukum Islam.

-          Surah An-Nisa’ : 65 : Allah menjelaskan bagaimana konsep kepimpinan dalam Islam iaitu dengan mengikuti sebagaiamana yang telah ditunjukkan dan dihukumkan oleh Nabi SAW, dan tidak berasa berat dalam melaksanakannya. Dan Allah juga menyatakan tidak beriman sehingga mengambil Nabi SAW sebagai hakim, menunjukkan ketegasan bahawa kepimpinan mestilah mengikuti apa yang telah Nabi SAW tunjukkan.

Wallahu a’lam

Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012

Rujukan :
1-   Fiqh an-Nasr Wa at-Tamkin Fi al-Quran al-Karim, Dr Ali Muhamad as-Sallabi, cetakan Dar al-Makrifah
2-   Riyadhus Salihin, Imam an-Nawawi, cetakan Dar as-Salam
3-   Al-Idarah Fi ‘Asr ar-Rasul, Dr Hafeez Ahmad ‘Ajaj al-Karami, cetakan Dar as-Salam
4-   As-Syiah; Nudhal Am Dhalal?, Dr Raghib as-Syarjani, cetakan Aqlam
5-   Majalah al-Azhar, keluaran Rejab 1433 H / Jun 2012
6-   Pemuda Islam Yang Berjuang ; siri 1 & 2, Muhamad Zuhaili Saiman

Sumber : manhal-pmram

0 comments:

Sahabat