Friday, October 19, 2012

Ikhlaskan dirimu wahai saudaraku...

Posted by UPP DPMZ On 4:34 PM No comments




Firman Allah SWT : "Katakanlah olehmu: Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanyalah kerana Tuhan alam semesta. Tidak ada sekutu bagiNya dan dengan yang demikian itulah aku diperintahkan." (Al-An'am : 162).

Makna Ikhlas
           Ikhlas ialah melakukan "amalan hanya kerana Allah, menyucikannya daripada segala tujuan keduniaan. Amalannya tidak berbaur kegelojohan yang padanya hawa nafsu, mencari keuntungan, ketinggian jawatan, kemasyhuran, atau keinginan pada kedudukan dikalangan manusia serta mengharapkan pujian mereka.

           Ikhlas pada pengertian seumpama ini merupakan antara buah Tauhid yang sahih dan sempurna, yang mengEsakan Allah SWT di dalam beribadah. Manakala riya' (menunjuk-nunjuk) adalah kata lawan bagi ikhlas dan sifat riya' adalah syirik pada Allah SWT.

Dua Rukun Bagi Amalan Yang Makbul (diterima)
            Bagi setiap amalan soleh,  terdapat padanya 2 rukun, dan amalan tidak diterima Allah melainkan dengannya :

1. Ikhlas dan memperbetulkan niat.
2. Sejajar dan menepati sunnah dan syara'.

             Ditanya kepada Fudhail Bin Iyadh." Apakah yang paling ikhlas dan paling betul?." Beliau menjawab: "Sesuatu amalan jika dilakukan dengan ikhlas tapi tidak betul, tidak diterima Allah, dan amalan jika betul tapi tidak ikhlas juga tidak diterima oleh Allah SWT sehinggalah amalan tersebut betul dan ikhlas kerana Allah. Ikhlas hanya kerana Allah, manakala betul ialah dengan menuruti Rasulullah SAW. 

             Maka boleh kita simpulkan bahawa ikhlas niat belum memadai untuk menjadikan amalan kita diterima Allah selagimana tidak selari dengan syara' dan berbetulan dengan sunnah Rasulullah. Demikian juga amalan yang disyariatkan tidak akan mencapai martabat diterima, selagi keikhlasan belum menjadi kenyataan dan tidak diniatkan semata-mata kerana Allah.

Tanda-tanda Ikhlas.

1. Takutkan kemashyuran.
2. Sentiasa mendakwa dirinya cuai disisi Tuhannya, tidak ujub dengan diri sendiri, bahkan takut dosanya tidak diampun Allah dan takut kebaikannya tidak diterima Allah.
3. Amalan yang dilakukan secara senyap lebih disukai berbanding dihebahkan.
4. Disisinya sama sahaja diantara tugas pemimpin dan pengikut selagimana mengikut syariat.
5. Mengutamakan redha Allah dari reda manusia.
6. Cinta dan benci, pemberian dan keengganan, reda dan marah hanya kerana Allah dan        agamanya, bukan kerana diri dan kemanfaatan dirinya.
7. Perjalanan yang jauh, memperoleh hasil yang lambat, berasa penat dan semua itu kerana Allah semata-mata.

Semoga kita diberi hidayah dan petunjuk dalam setiap amalan kita agar ia diterima dan diperlihatkan di akhirat kelak biarpun sebesar zarah. Wallahua'lam.

 “Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan”

Mohd Amirul Adli Bin Othman
Unit Dakwah Dan Pembangunan Insan
Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig
Sesi 2012/2013 

0 comments:

Sahabat