PENGERTIAN
Jamadil Akhir memberi erti musim sejuk
yang akhir. Dari segi bahasa, ia bermaksud penghabisan atau beku penghabisan.
Bulan ini dinamakan sedemikian setelah musim kekeringan atau air menjadi beku
telah berakhir. Pada ketika itu air yang pada mulanya beku telah beransur-ansur
menjadi cair. Namun demikian, salji-salji atau air yang beku masih lagi
kedapatan di sana-sini.
PERISTIWA-PERISTIWA
PENTING BULAN JAMADIL AKHIR
1. Khalifah Saiyidina Abu Bakar
As-Siddiq telah meninggal dunia pada malam 22 Jamadil Akhir tahun ke 13
Hijrah bersamaan 12 Ogos 634 Masihi ketika berumur 63 tahun dan telah
disemadikan bersebelahan maqam Rasulullah s.a.w. Ketika hidup, beliau merupakan
pemuda terawal yang menerima dakwah dan membenarkan kerasulan Baginda s.a.w.
Khalifah Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq mempunyai akhlaq yang mulia dan sanggup
menginfaqkan seluruh harta dan kemewahannya pada jalan Allah sehingga tidak
meninggalkan sebarang harta ketika matinya. Sebelum kematiannya, beliau telah
melantik Saiyidina `Umar Al-Khattab sebagai Khalifah Islam yang kedua
menggantikan tempatnya.
2. Perlantikan Saiyidina `Umar
Al-Khattab sebagai Khalifah kedua pada bulan Jamadil Akhir tahun ke 13
Hijrah.
3. Berlakunya peperangan Yarmuk
pada bulan Jamadil Akhir tahun ke 13 Hijrah. Peperangan ini telah diketuai oleh
Khalid bin Al-Walid dan disertai tentera Muslimin seramai 45,000 orang yang
menghadapi tentera Rom (Byzantin) seramai 240,000 orang. Di dalam peperangan
ini telah menyaksikan separuh tentera Rom telah terkorban dan seramai lebih
kurang 3,000 orang tentera Muslimin syahid di medan perang. Bagaimanapun
tentera Muslimin yang dipimpin oleh Khalid bin Al-Walid telah berjaya
mengalahkan tentera Rom yang begitu ramai.
4. Peperangan Zi Qarad pada tahun
keenam Hijrah. Pada peperangan itu Nabi Muhammad menunaikan solat Al khauf
(solat ketika ketakutan). Baginda menghadap ke arah kiblat dengan sekumpulan
sahabat berbaris di belakang Rasulullah, sementara sekumpulan lagi mengawal
menghadapi musuh. Rasulullah bersolat dengan kumpulan pertama satu rakaat
dengan dua kali sujud, kemudian diikuti kumpulan kedua. Lalu, mereka mengikuti
Baginda yang masih berada dalam rakaat kedua.Mereka bersama Baginda mengerjakan
rakaat itu hingga Rasulullah memberi salam. Nabi mengerjakan dua rakaat dan
bagi setiap kumpulan berjemaah bersama Baginda satu rakaat. Peperangan Zi Qarad
adalah peristiwa penting yang berlaku pada Jamadilakhir, bulan dalam kalendar
Islam sekarang.
5. Peperangan Al Jamal yang
berlaku di luar kota Basrah, Iraq pada 10 Jamadilakhir tahun ke-36 Hijrah
antara Amir Al Mu'minin Ali bin Abi Talib. Peperangan ini disertai beberapa
sahabat antaranya `Ammar bin Yasir dan Abdullah bin Al Abbas. Dalam peperangan
itu mereka menghadapi kumpulan yang diketuai oleh `Aisyah binti Abi Bakar,
Talhah bin Ubaidillah dan Az Zubair bin Al `Awwam yang menuntut supaya khalifah
menjalankan penyiasatan dan pembelaan terhadap pembunuhan Usman bin Affan. Peperangan
itu dimenangi oleh tentera Ali bin Abi Talib. Ada pendapat yang mengatakan
bahawa peperangan itu berlaku pada Jamadilawal.
FADHILAT
Amalan-amalan ibadat sama ada yang fardhu
mahupun yang sunat pada bulan Jamadil Akhir adalah sama dengan bulan-bulan yang
lain. Tiada amalan-amalan yang khusus yang dianjurkan oleh Islam dalam bulan
ini. Walaubagaimanapun, kita digalakkan untuk meningkatkan amalan dari masa ke
semasa walau dalam bulan mana sekalipun.
Terdapat banyak lagi amalan sunat yang
belum lakukan atau belum berkesempatan untuk melakukannya. Maka yang demikian,
pada bulan ini adalah masa yang sesuai untuk kita mengamalkan ibadah-ibadah
sunat yang mungkin kita belum atau tidak berkesempatan untuk melakukannya
sebelum ini. Di samping kita menjaga dan meningkatkan kualiti amalan-amalan
wajib, kita juga digalakkan agar memperbanyakkan amalan-amalan sunat yang kita
ketahui. Amalan-amalan sunat adalah sebagai penampung atau pelengkap kepada
amalan-amalan wajib kita.
Di antara amalan-amalan sunat yang
menjadi amalan Rasulullah s.a.w. sepanjang tahun ialah solat tahajjud, solat
nafilah, puasa Isnin dan Khamis, sedekah, membaca Al-Qur’an dan lain-lain lagi.
Wallahu’alam
0 comments:
Post a Comment