Berapa ramai daripada kita yang menyedari
tentang batasan manusia yang tertakluk untuk memelihara dua bentuk hubungan iaitu hubungan dengan Allah
S.W.T (Habluminallah) dan hubungan sesama manusia (Habluminannas).
Ketika menerima taklifan ini, firasat mengatakan bahawa semua remaja yang sudah
baligh, berakal dan berpendidikan begitu makruf dan memahami situasi ini,
lebih-lebih lagi jika individu tersebut pernah belajar tentang hukum hakam
dalam Islam, pernah mengambil subjek agama Islam di setiap peringkat sekolah
dan merupakan antara seseorang yang mendalami ilmu agama Islam itu sendiri.
Dalam Islam, konteks pergaulan adalah
luas dan merangkumi segenap aktiviti harian kita seperti dalam urusan jual
beli, menuntut ilmu, kerja, perubatan, penyaksian di mahkamah dan sebagainya.
Kita digalakkan untuk mengenali antara satu sama lain dengan firman Allah
S.W.T;
“Wahai umat manusia!
Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami
jadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan
(dan beramah mesra dengan yang lain)…”
[Surah Al-Hujurat: 13]
Pandangan yang dilontarkan oleh Dr. Yusuf
Al-Qaradhawi di dalam Fatwa Muasyirah, Jilid 2 yang menyebutkan;
“Pada prinsipnya, perhubungan di antara lelaki dan wanita tidaklah ditolak secara
total, malahan dibolehkan selagi mana ia bermatlamatkan kebaikan dan atas
perkara-perkara yang dibenarkan syarak. Dan wajib dipatuhi kehendak dan ajaran
Islam serta prihatin tentang akhlak dan adab;
1. Menundukkan pandangan.
“Katakanlah (Wahai
Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat
pandangan mata mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara
kehormatan mereka…”
[Surah An-Nur- 30]
Tidak melihat aurat, tidak memandang
dengan pandangan syahwat dan bukan dengan pandangan yang liar. Bukankah kita
tahu bahawa pandangan yang pertama dimaafkan, namun jangan pula ia disusuli
dengan pandangan yang kedua dan ketiga kerana ianya adalah haram.
2. Menjaga aurat dan kehormatan.
“Dan katakanlah
kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka
(daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan
janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir
daripadanya…”
[Surah An-Nur: 31]
Sabda Rasulullah S.A.W: “Barangsiapa
yang memakai pakaian yang menjolok mata, maka Allah S.W.T akan memberikan
pakaian kehinaan di akhirat kelak..”
[Riwayat Ahmad, Abu Daud, An-Nasaie & Ibnu Majah]
Berpakaian sopan menurut syarak, iaitu
tidak nipis sehingga menampakkan warna kulit, tidak ketat sehingga menampakkan
bentuk badan dan tudung dilabuhkan melebihi paras dada. Tidak salah berfesyen
namun asalkan menepati standart piawaian pakaian Islam. Elakkan daripada
memakai pakaian yang tidak menggambarkan identiti kita sebagai seorang Islam.
3. Tidak berdua-duaan antara lelaki dan
perempuan
Hadis Rasulullah S.A.W menyarankan: “Janganlah
seorang lelaki berdua-duaan (berkhalwat) dengan wanita kecuali bersama
mahramnya.”
[Riwayat Bukhari & Muslim]
Mahram yang dibawa perlulah individu yang
sudah baligh, berakal dan berupaya mencegah kita daripada melakuakn
kemungkaran. Pertemuan perlulah di tempat awam, bukan di kawasan yang tersorok
daripada pandangan ramai bagi mengelakkan fitnah dan menghindarkan daripada
terpedaya dengan hasutan syaitan. Ingatlah, tidak berdua-duaan antara lelaki
dan wanita melainkan akan hadir di antara keduanya yang ketiga iaitu iblis.
4. Tidak melunakkan suara dan mengucapakan
kata-kata yang baik.
“Wahai isteri-isteri
Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu
tetap bertakwa. Oleh itu,janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja
(semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian itu boleh
menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan
buruk kepada kamu) dan berkatlah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).
[Surah Al-Ahzab: 32]
Elakkan nada yang merayu, menggoda,
merangsang keinginan, keji, lucah mahupun perkataan yang sia-sia dan gurauan
yang berlebihan. Melunakkan suara berbeza dengan merendahkan suara. Lunak
diharamkan manakala merendahkan suara adalah dituntut. Merendahkan suara
bermakna kita berkata dengan suara yang lembut, tidak keras, tidak meninggi
diri dan sesuai didengari oleh orang lain.
Nasihat Luqman Al-Hakim kepada anaknya
seperti yang tercatat di dalam Al-Quran: “Dan sederhanakanlah langkahmu
semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu semasa berkata-kata, sesungguhnya
seburuk-buruk suara ialah suara keldai.”
[Surah Luqman: 19]
Penggunaan perkataan yang baik ini perlu
dipraktikkan sama ada melalui perbualan secara langsung mahupun platform lain,
contohnya melalui SMS, Yahoo Messenger ataupun apa yang tertulis di Facebook
kerana ianya menggambarkan keperibadian penuturnya.
Di dalam Al-Quran ada memberikan beberapa
bentuk ungkapan yang wajar kita praktikkan dalam komunikasi seharian kita
iaitu;
a.
Qaulan Sadida (pesanan jujur, benar dan tidak dibuat-buat) [Surah
An-Nisa’: 9]
b.
Qaulan Ma’rufa (menyeru kepada kebaikkan dan kebenaran) [Surah An-Nisa’:
5]
c.
Qaulan Baligha (kata-kata yang membekas pada jiwa) [Surah An-Nisa’: 63]
d.
Qaulan Maisura (ucapan yang baik dan layak untuk dibicarakan) [Surah
Al-Isra’: 28]
e.
Qaulan Karima (perkataan-perktaan yang mulia) [Surah Al-Isra’: 23]
5. Tidak bersentuhan antara lelaki dan
wanita bukan muhrim.
Hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Sesungguhnya
kepala yang tertusuk besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan
sejenis yang tidak halal baginya.”
[Riwayat At-Tabrani & Baihaqi]
Selain itu, dari Aishah R.A: “Demi
Allah, tangan Rasulullah S.A.W tidak pernah menyentuh tangan wanita sama sekali
meskipun saat membaiah (membuat perjanjian).”
[Riwayat Bukhari]
Elakkan bersentuhan, berpegangan,
bergesel, bertepuk tampar dan sebagainya.
6. Tidak mengenakan wangi-wangian atau
perhiasan-perhiasan yang boleh menarik perhatian.
Hadis Rasulullah S.A.W ada menyebutkan: “Siapa
sahaja wanita yang memakai wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka
mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina…”
[Riwayat An-Nasaie, Ibnu
Khuzaimah & Ibnu Hibban]
7. Mengawal pergerakkan badan.
“Dan janganlah
mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang apa yang tersembunyi dari
perhiasan mereka…”
[An-Nur: 31]
Elakkan dari melakukan gerakan yang manja
atau gerakan yang boleh menarik perhatian orang lain. Bersederhana dalam
pergaulan, adab dan tertib sebagai seorang Islam.
8. Pertemuan hendaklah kepada perkara yang
benar-benar perlu, tidak melampau atau kerap.
Sebarang pertemuan perlu ada batasan dan
limitasi yang tidak terlalu bebas.
Akhir kalam, bergaullah dengan cara yang
baik dan mengikut batasan standart piawaian syarak kerana apa yang telah
dianjurkan Islam adalah untuk maslahah atau kebaikan kita juga sebagai
penganutnya. Hindrailah ikhtilat yang diharamkan oleh Islam seperti berdating,
bercouple dan bersentuhan. Ingatlah, sekiranya kita menjaga hubungan kita
dengan Allah S.W.T, Allah S.W.T akan menjaga dan memelihara diri kita.
Sumber : ubs-pmram
0 comments:
Post a Comment