Di kala
umat manusia mula berbondong-bondong menerima, mencari dan menghayati serta
kembali kepada Islam, nun di hujung sana masih ada lagi umat Islam terutama
muda-mudi hanyut dan tenggelam dalam gelora nafsu dan syahwat mereka. Leka
dengan dunia hiburan, ramai yang ingin menjadi artis, sibuk berbincang dan
membicarakan perkara atau isu picisan yang akhirnya menatijahkan perbalahan dan
membuang masa.
Dalam
keseronokan itu, kita terlupa saudara kita yang berduka menitiskan air mata dan
darah. Terutamanya saudara kita, umat Islam baik di Syria, di Palestin, Mesir
dan berberapa negara umat Islam.
Hari ini,
mata dunia tertumpu kepada keganasan rejim Basyar al-Assad di Syria, dan yang terbaru kita ketahui berkaitan isu
pembersihkan etnik umat Islam di Rohingnya, wilayah Arakan, Myanmar. Jika kita
hayati ia bisa meluluhkan jantung dan hampir memecahkan temolok darah kita
apabila jiran terdekat negara kita di Myanmar dibunuh setiap hari.
Fenomena
ini membuatkan ummat Islam yang beriman dan bertaqwa diseluruh dunia menitiskan
air mata kesedihan, kerana ia telah merobek dan meragut maruah, kebebasan dan
kebahagiaan saudara seagama. Namun, persoalannya sekarang. Selesaikah masalah
itu hanya dengan titisan air mata?
Tidak
sama sekali, ia tidak akan selesai dengan air mata dan sorak gempita
semata-mata. Penyelesaiannya adalah umat Islam harus bangkit dari tidur yang
panjang, sedar dari leka yang terlalu lama dan insaf dari lesu yang membarah.
Kita ditindas hari ini bukanlah kerana sedikitnya bilangan kita, tapi kerana
lemahnya kita dalam banyak perkara dan terlalu takutkan mati dan cintakan
dunia.
إِنَّ اللَّهَ لا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا
مَا بِأَنفُسِهِمْ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلا مَرَدَّ لَهُ وَمَا
لَهُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَالٍ
"Sesungguhnya
Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum, sehinggalah mereka mengubah
keadaan diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap
sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya dan tidak ada pelindung bagi
mereka selain Dia."
[Surah
Ar-Ra'd ayat 11]
Beberapa
langkah yang perlu diambil adalah:
Pertama :
Tingkatkan keilmuan dan softskill dalam pelbagai lapangan yang boleh membantu
mempertingkatkan ekonomi dan daya saing umat Islam. Jangan hanya tertumpu
kepada sesuatu bidang atau skop sahaja. Kita masih lagi ketandusan tokoh-tokoh
Islam dalam lapangan ekonomi, pentadbiran dan sebagainya. Kerana kuatnya musuh
disebabkan mereka menguasai segala-galanya.
Kedua :
Bebaskan diri dari pengaruh hiburan yang melemahkan akal dan minda. Hiburan
hanya meletakkan kita dalam angan -
angan serta keseronokan yang tidak berkesudahan dan tidak juga kunjung puas.
Lebih suka hidup dipenuhi populariti sendiri berbanding yang memberikan kesan
kepada semua.
Ketiga :
Sibukkan diri dalam gerak kerja penerangan dan kebajikan dalam lapangan
masyarakat. Sebagai contoh mengambil
tahu dan meneroka isu umat Islam di seluruh dunia. Banyakkan
"talking" Quran dan tarbiyyah yang memberi peringatan dan kesedaran
tentang agama. Kita adalah pendakwah bukan penghukum.
Keempat :
Hindarkan diri dari terperangkap dalam kancah persoalan khilafiyyah yang remeh
temeh. Menghabiskan masa dalam perkara yang tidak menambah iman dan amal
sebaiknya mengecilkan jurang perbezaan yang meruncingkan pergeseran sesama
muslim. Lebih malang, andainya intelektual Islam turut terseret dan sebaliknya
diam membisu dalam isu kepentingan umat Islam.
Kelima :
Tingkatkan ukhuwah Islamiyyah. Luaskan jaringan persahabatan dan persaudaraan
sesama kita sekaligus mengelakkan diri dari permusuhan sesama sendiri ( muslim
) hanya kerana perbezaan pendapat atau pandangan serta aliran ( manhaj )
pemikiran. Kenapa tidak kita gunakan prinsip Syeikh Rasyid Redho yang selalu
diulang sebut dalam usrah - usrah kita.
نتعاون في ما اتفقنا عليه و نعذر بعضنا بعضا في ما اختلفنا
فيه
"Kita
bertolong bantu dalam perkara yang kita sepakati bersama dan kita bertolak
ansur dalam perkara yang kita berbeza pandangan padanya."
Keenam :
Proaktif terhadap suasana sekeliling dan sensitif terhadap elemen yang boleh
merosakkan akhlak dan akidah ummah.
Ketujuh :
Mendalami ilmu agama yang mendekatkan kita kepada Allah. Kerana kejahilan
membuatkan kita kadangkala melakukan perkara yang ditegah serta memberikan
pandangan yang tersasar daripada maksud asalnya. Kata Mufti Mesir Dr. Syeikh
Ali Jum'ah:
"لا تتكلم قبل أن
تتعلم"
"Janganlah kamu berkata-kata sebelum kamu
belajar."
Kelapan:
Banyakkan membaca, bukan memperbanyakkan bahan bacaan. Sesetengah orang suka
membeli bahan bacaan tetapi kurang membaca, kerana membacalah melatih kita
untuk berfikir dan mengembangkan minda. Pastilah bacaan yang wajib dan paling
utama kita baca adalah al-Quran. Bukannya Facebook dan bahan hiburan.
Sahabat,
musuh berjaga dan bersusah-ayah siang dan malam untuk menghancurkan kita. Tapi
kita sebaliknya lebih banyak tidur dan mengabiskan masa untuk perkara yang
sia-sia. Kalau mereka yang terdiri daripada pelbagai agama, fahaman dan
pemikiran boleh bersatu untuk menghancurkan Islam. Mengapa tidak kita umat
Islam?
Selama
mana kita benar, jujur dan amanah dengan perjuangan Islam, tidak pula bermaksud
mengkhianati antara satu sama lain dan bersekongkol dengan musuh - musuh Allah
SWT, ayuh marilah saudaraku kita bergerak selangkah kaki dan sehayun tangan.
Menjulang panji perjuangan serta menggerakkan jentera penerangan dan
kebangkitan. Firman Allah SWT :
إِنَّ هَذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّـةً وَاحِدَةً وَأَنَـا
رَبُّكُمْ فَاعْبُدُونِ
"Sesungguhnya
ini adalah ummat kamu , ummat yang satu dan Aku adalah tuhanMu, maka abdikanlah
dirimu ( kepadaKu )".- Al Anbiya' 92.
Ingatlah,
permulaan yang baik bukanlah jaminan untuk kita berjaya, tapi ianya usaha terus
menerus kita untuk menjadi baik walaupun sedikit, insyaAllah moga menatijahkan
pengakhiran yang terbaik.
"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"
Muhammad
Al-Amin Bin Haji Salleh
Timbalan
Setiausaha Agung,
Persekutuan
Melayu Republik Arab Mesir 2012
Sumber : pmram.org
0 comments:
Post a Comment