Kedatangan Ramadan saban tahun disambut
dengan pelbagai aktiviti keagamaan. Sudah tentu ianya memberikan impak yang
sangat berguna kepada masyarakat.
Namun begitu,andai dilihat dari
satu sudut yang lain apakah hanya bulan Ramadan sahaja medan untuk meningkatkan
amalan berbanding dengan bulan-bulan lain?.
Persoalan ini timbul kerana realiti kini,
Ramadan dianggap satu tempoh penghormatan yang perlu diraikan tanpa melihat
sudut intipati Ramadan itu sendiri.
Implikasinya kita akan dapat melihat
apabila berlalunya Ramadan masyarakat akan kembali dengan aktiviti yang biasa
dilakukan sebelum Ramadan. Jika berterusan keadaan ini maka Ramadan yang
kita lalui kini tidak mampu memberikan satu kesan yang cukup besar pada diri
kita sendiri.
Pengisian sepanjang Ramadan ini harus
dimanfaatkan sebaik mungkin bagi membentuk jiwa kehambaan yang sejati. Ini
kerana pentarbiahan Ramadan cukup sempurna daripada segala aspek sama ada
rohani mahupun jasmani.
Dalam Ramadan umat Islam diwajibkan
selama sebulan berpuasa menahan lapar dan dahaga. Jika dihayati, kita
mengetahui bahawa nafsu mampu ditundukkan apabila kita berjaya mengawal
keinginan makan dan minum. Sinergi ketaatan pada Allah SWT semakin bertambah
oleh kerana nafsu kita ditundukkan .
Oleh yang demikikan, jiwa kehambaan Allah
SWT dirasai meresapi jiwa seterusya mengalir ke seluruh anggota lalu digerakkan
untuk melakukan amal kebaikan semaksima mungkin.
Peluang dan ruang Ramadan ini seharusnya
digunakan bagi mendidik seluruh anggota agar kembali mengenal siapa pencipta
kita yang sebenar. Bahkan menjentik jiwa perasaan kita merasai keperitan
bagaimana saudara seakidah kita yang diseksa kelaparan bukan sehari namun
puluhan tahun lamanya.
Atas dasar demikian, penghayatan Ramadan
bukan sekadar daripada luaran sahaja tetapi perlu diaplikasikan dalam segala
bentuk sekaligus menjana naluri kehambaan kita kepada pencipta Rabbul Izzati.
Jadikan Ramadan medan untuk membaiki diri
daripada tempat memuaskan segala keinginan nafsu yang selama ini memagari.
Jadikanlah Ramadan lapangan terbaik mengenal pentabdir alam daripada leka
dengan angan-angan semalam.
Zulhafeez Bin
Ahmad Zahidi
Timbalan
Presiden
( Lajnah Perancang
dan Panatia )
Persekutuan Melayu
Republik Arab Mesir, PMRAM 2012
Sumber : pmram.org
0 comments:
Post a Comment