Sunday, September 21, 2008

Kalam Muqaddimah Pengerusi DPMZ 08/09

Posted by UPP DPMZ On 1:44 PM No comments

Bismillah Walhamdulillah,

Setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana atas nikmat Iman & Islam kita diberikan peluang oleh Allah SWT untuk menuntut ilmu di bumi anbiya’ ini. Tanpa kedua-dua nikmat tersebut pasti kita pada hari ini tidak akan mengecapi kehidupan disini. Atas dasar nikmat Iman dan Islam, kita dapat berada dibawah satu bumbung kesatuan tanpa berpecah belah diantara kita. Sedarilah, kita selaku umat Islam mesti bersatu dan menjauhi dari perpecahan dikalangan kita. Perpecahan adalah satu azab yang sangat besar buat kita, lebih-lebih lagi kita adalah Azhari yang memperdalami ilmu agama. Islam datang untuk mengaturi kehidupan manusia, bukan untuk memenuhi kehidupan manusia. Perumpaan Islam umpama seperti kapal, kayu-kayunya adalah ummat, apabila robek kayu maka punahlah umat.

Sahabat-sahabat yang dikasihi,

Kita sudah selesai Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-15, dan kita mengharapkan natijah yang besar daripada MAT tersebut. 2 usul tergempar yang telah dibahas dan diterima didalam MAT yang telah dibawa oleh ahli yang berbunyi “Kepimpinan & ahli mesti memastikan kebersamaan ahli dan pimpinan dalam memperkasakan, memperutuhkan, dan memperkuatkan lagi kesatuan dari sudut ukhwah, thaqafah, tarbiyah & ekonomi”. Dan satu lagi yang berbunyi “Kita siswa/wi generasi DPMZ perlu memastikan kesatuan dikalangan ahli terus terjamin, terjalin dan terlaksana demi melihat Islam itu dijulang”. Itulah pembawakan yang cuba dibawa oleh kita pada tahun ini sejajar dengan konsep “Belajar & Berbakti” . Sewajarnya, wajib kita dokong dan sokong persatuan ini kerana dasar yang dibawa adalah Al-Quran dan As-Sunnah. Kita berintima’ bukan pada syaksiyah seseorang tetapi kita berintima’ pada aqidah iaitu dasar yang dibawa adalah Al-Quran dan As-Sunnah. Intima’ ini adalah rasa keimanan, keyakinan, kesedaran, keinsafan, tanggungjawab dan kewajipan terhadap Islam. Inilah rahsia kekalnya kesatuan semenjak 15 tahun yang lalu walaupun menghadapi 1001 tribulasi dan mehnah.

Sahabat-sahabat seperjuangan sekelian,

DPMZ adalah badan kebajikan mahasiswa/wi yang berada dibumi Zagazig serta merupakan medan perjuangan dan halatujunya perlaksanaan Islam. Oleh kerana ruang dakwah yang terlalu luas inilah dapat kita menyumbang idea, ilmu, tenaga, harta, dan sebagainya untuk kesatuan. DPMZ sangat mengalu-alukan cadangan dari sahabat-sahabat sekalian demi melihat kesinambungan DPMZ berterusan. Dan wajib bagi kita menegur pimpinan seandainya dasar dan pembawakan yang dibawa menyimpang dari Al-Quran dan As-Sunnah. Itulah yang diajar dalam Islam.

Sahabat-sahabat yang di rahmati Allah,

Di bulan yang penuh dengan keberkatan ini, marilah kita sama-sama mencari malam Lailatul Qadar dengan kita bangun di malam hari untuk bermunajat serta merintih padaNya agar segala dosa-dosa kita yang lalu diampun oleh Allah SWT. Muhasabahlah diri kita selaku hamba Allah SWT, sesungguhnya kehidupan ini hanyalah sementara buat kita. Segala amalan kita samada baik mahupun buruk akan dipertanggungjawabkan di hari akhirat kelak.

Moga-moga Ramadhan kali ini memberikan satu kekuatan bagi kita dalam menghadapi cabaran kehidupan yang mendatang. Sama-samalah kita membangkitkan semangat cintakan ilmu dan rasa ingin berjuang untuk Islam. Ayuh bersatu hati. Sirru A’la Barakatillah.

Salam Perjuangan,
Mohd Faizzudin b Ghazali
Pengerusi DPMZ 08/09

0 comments:

Sahabat