Wednesday, October 8, 2008

Setinta Kata : Kalam Pengerusi Sempena Kehadiran Mahasiswa/wi Baru

Posted by UPP DPMZ On 6:14 AM No comments

Bismillah Walhamdulillah…

Setinggi kesyukuran dirafa’kan ke hadrat Allah SWT yang telah meminjamkan ibadat dan kudrat sehingga kita mampu berada di bumi Anbiya’ ini. Bumi ini penuh dengan keberkatan dan merupakan tempat gelanggang para Nabi dalam menyampaikan risalah Ad-Deen dimuka bumi ini. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang telah meninggalkan haruman nostalgia kehidupan jua buat seluruh pejuang terdahulu.

Saudara saudariku sekelian,

Selamat datang diucapkan kepada seluruh mahasiswa baru samada Perubatan ataupun Pengajian Islam, semoga kalian sentiasa beroleh rahmat dalam mencari ilmu. Ingatlah sesungguhnya kehadiran kalian sungguh bermakna buat kami di DPMZ dalam kita menyemarakkan lagi semangat pencarian ilmu di sini. Walaupun berbeza aliran pengajian, namun tidaklah menjadi satu penghalang buat kita dalam merapatkan lagi hubungan silaturahim antara kita.

Sahabat-sahabat yang dikasihi,

Dalam kita menuntut ilmu, mesti kena ada susah. Adakalanya kepayahan inilah yang mematangkan kita sebagai seorang khalifah di muka bumi ini. Kebersamaan kita dalam apa jua keadaan sangatlah penting bagi memastikan survival kesatuan ini terus berterusan. Sebagai seorang yang mengaku dirinya muslim, tidak dapat tidak, kita mesti beriltizam dan sentiasa beristiqamah dalam melakukan kebaikan, dan ia memerlukan kepada semangat mujahadah yang tinggi. Marilah kita sama-sama memperkemaskan jatidiri kita sebagai seorang individu muslim yang sejati.

Sahabat seaqidah seperjuangan,

Tugas kita di sini tersangatlah besar, kita memikul sebuah amanah yang tegalas di bahu kita. Harapan ummah terhadap kita adalah untuk menobat panji kebenaran. Jika disorot kembali, bagaimana generasi terdahulu membuktikan betapa liku perjuangan di menara gading adalah menuntut sebuah keterampilan, keberanian dan kecergasan dalam segala bidang yang diceburi. Sindrom virus malas dan kelesuan yang berlaku dikalangan kita, marilah kita menggantikannya dengan membugarkan semangat juang yang tinggi dan dinamisma amal bagi melahirkan siswa siswi gemilang harapan ummah seluas buana yang terbentang.

Justeru kita mengharapkan suatu hari nanti tenaga professional dan ulama’ dapat digabungkan dalam suatu wadah bagi mendominasikan perjuangan menegakkan kalimah Allah SWT di atas muka bumi ini khususnya dalam konteks negara kita Malaysia.

Akhir kata, pihak DPMZ mengharapkan agar USMB tahun ini akan dapat berjalan lancar dengan jayanya sepertimana yang dirancangkan. Salam ukhwah dari kami ahli-ahli DPMZ untuk seluruh mahasiswa/wi baru Perubatan mahupun Pengajian Islam. Pihak DPMZ juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh barisan adhoc pelaksana USMB 08' yang bertungkus lumus bagi menjayakan USMB pada tahun ini. Jazakumullah khaitran kathira.

Salam Perjuangan,
Mohd Faizzudin b Ghazali
Pengerusi DPMZ 08/09

0 comments:

Sahabat