Saturday, November 22, 2008

PMRAM Gariskan Tiga Perkara Asas Berkaitan Keselamatan

Posted by UPP DPMZ On 12:41 PM No comments

Sumber Rasmi : Laman Web PMRAM

PMRAM mengingatkan para mahasiswa dan mahasiswi agar mengambil perhatian dengan visa dan pasport masing-masing kerana ia adalah berkaitan dengan keselamatan sepanjang berada di luar negara. Visa atau pasport yang telah tamat tempoh perlu diperbaharui dengan segera. Bagi tujuan keselamatan sekarang, pihak PMRAM menggariskan tiga perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh seluruh mahasiswa:

Pertama: Bagi memudahkan urusan, pihak PMRAM meminta mahasiswa dan mahasiswi agar membuat salinan (fotostat) pasport dan bahagian visa. Dua bahagian tersebut perlu difotostat dan dibawa ke mana-mana bersama dengan mahasiswa.

Kedua: Bagi mereka yang telah tamat tempoh visa, perlu segera memperbaharuinya dan jangan sampai melebihi tempoh masa hingga berbulan-bulan lamanya.

Ketiga: PMRAM masih lagi bertegas dalam kes mahasiswa kita belajar atau menjemput warga Arab khasnya warga Mesir ke rumah atau mengadakan hubungan yang akrab dengan mereka tanpa diketahui status keselamatan warga Arab tersebut di sisi pihak polis. Ini membahayakan kerana ia akan menimbulkan keraguan kepada pihak berkuasa Mesir yang sentiasa memantau melalui perisikan yang tidak diketahui siapa mereka.

Sementara itu, dalam usaha PMRAM membebaskan ketiga-tiga pelajar Malaysia yang ditahan di sekitar Hayyul 'Asyir minggu lalu, tidak berbangkit lagi soal PMRAM "tidak berbuat apa-apa". Ini kerana PMRAM kini berusaha membebaskan mereka melalui surat yang telah dihantar semalam dan makluman bahawa mereka akan dibebaskan dalam tempoh sehari dua ini satu berita yang baik. Berdasarkan pengalaman dan hubungan baik antara pihak PMRAM dengan pihak keselamatan Mesir, PMRAM yakin dengan izin Allah, usaha membebaskan ketiga-tiga mereka ini akan menemui kejayaan. Pendaftaran PMRAM bernombor 803 di bawah Kementerian Kemasyarakatan Mesir dan usianya yang mencecah 78 tahun ini antara kelebihan yang dianugerahkan Allah kepada persekutuan yang bertuah ini.

0 comments:

Sahabat