Sunday, December 7, 2008

Kalam Pengerusi Sempena Sambutan Aidil Adha 1429

Posted by UPP DPMZ On 11:11 PM No comments


Iftitah kalam dengan setinggi syukur kepada Allah SWT atas peluang yang diizinkan oleh Allah bagi meneruskan agenda perjuangan suci menegak kalimah agama Allah di atas muka bumi ini. Kuntuman selawat buat murabbi agung sepanjang zaman, Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga baginda, para sahabat seterusnya para duat amilin dalam memartabatkan Islam.

Tiada apa yang ingin diungkapkan kepada sahabat seperjuangan sekelian, cumanya harapan dan doa kita bersama agar kejayaan yang ingin dikecapi adalah milik kita bersama. Ingatlah sesungguhnya, pengorbanan kita dengan bersusah payah dalam menuntut ilmu akan diganjari oleh Allah SWT dengan pahala yang begitu banyak. Lebih-lebih lagi, ilmu yang kita pelajari sekarang bukanlah untuk diri kita semata-mata bahkan ia adalah bekalan untuk diri kita berhadapan dengan masyarakat suatu hari nanti.

Sahabat-sahabat yang dikasihi,

Pengorbanan akan menjadi seseorang itu berpraktikal. Pengorbanan juga akan menjadi seseorang itu seorang yang suka bertindak, membantu dan memberikan sumbangan. Bukannya sekadar berteori dan berdebat, dan bukanlah menjadi mereka yang menjulang syiar yang kosong. Alam mahasiswa adalah medan untuk kita berlatih melakukan kebajikan tanpa mengharapkan apa-apa balasan yang berbentuk kepentingan peribadi. Persatuan yang sedia ada di Mesir seperti PMRAM, DPM, BKAN & PERUBATAN adalah medan yang terbaik untuk kita melakukan sumbangan dan pengorbanan. Hebatnya generasi perintis terdahulu dalam mempertahankan kesatuan Islam ini dengan melakukan pengorbanan yang cukup besar sehingga generasi kita pada hari ini dapat merasai hangatnya perjuangan mereka. Keikhlasan mereka dalam berbakti menjadikan tunjang kekuatan kesatuan pada hari ini.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,

Sempena Hari Raya Aidil Adha yang penuh barakah ini marilah kita muhasabah diri bersama-sama, ketuklah hati kita, tanyalah diri kita, sejauh manakah pengorbanan yang telah dilakukan oleh kita untuk Islam? Berapa banyakkah kerja-kerja amal Islami yang kita lakukan? Adakah kita lakukan atau tidak kerja-kerja Islam ini? Sesungguhnya di akhirat kelak, Allah tidak akan mempersoalkan berjaya atau tidak kita buat kerja-kerja Islam tetapi yang dipersoalkan adalah sejauh manakah pengorbanan yang kita lakukan?, Marilah muhasabahlah bersama-sama sahabat-sahabat.

Kita adalah role model kepada ummah hari ini, ummat Islam tidak memerlukan mereka yang hanya pandai berkata-kata, tetapi ummat pada hari ini amat memerlukan mereka yang benar-benar ikhlas dalam menghadapi tribulasi dan mehnah kehidupan. Mereka memerlukan insan-insan ikhlas yang boleh menyelesaikan konflik ummah yang kian parah. Mereka mengharapkan pejuang-pejuang yang benar-benar ikhlas melakukan pengorbanan yang besar untuk Islam. Siapa lagi, kalau bukan Azhariyun dan Duktur/ah Muslim dikalangan kita yang boleh membangkitkan semangat perjuangan kepada masyarakat. Semoga kita menjadi tauladan yang baik untuk ummah. Sirru a’la barakatillah.

Salam kejayaan dan salam pengorbanan,
Mohd Faizzudin Ghazali
Pengerusi DPMZ 08/09

0 comments:

Sahabat