Monday, April 20, 2009

Isu Tarian Kebudayaan: PMRAM Sampaikan Hasrat Ahli

Posted by UPP DPMZ On 12:33 AM No comments


SUMBER : PERSEKUTUAN MELAYU REPUBLIK ARAB MESIR

19 April- PMRAM bersama kepimpinan Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) dan Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi (DPM) hari ini menyatakan kekesalan terhadap tarian kebudayaan Festival Kebudayaan dan Sukan ASEAN 2009 (FEKSAS 09) minggu lalu. Rombongan tersebut yang diketuai Presiden PMRAM, Ustaz Abdul Mu'izz Muhammad turut disertai beberapa anggota Badan Pengurus PMRAM yang lain. Mereka tiba di perkarangan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) sekitar jam 11.30 pagi yang turut disertai kesemua Yang Dipertua BKAN dan Pengerusi DPM. Ketibaan mereka disambut oleh Pegawai Atase Pendidikan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK), Encik Zainudin Abdul Rahman dan Penolong Akauntan JPMK, Puan Latifah Saad.

Pihak rombongan turut mengadakan perbincangan bersama-sama kedua-dua pegawai tersebut. Perbincangan yang berlangsung hampir satu jam itu memfokuskan kepada isu tarian kebudayaan yang kini hangat diperkatakan. Presiden PMRAM Ustaz Abdul Mu'izz Muhammad berkata, hingga kini pihak PMRAM belum mengeluarkan kenyataan rasmi terhadap perkara tersebut meskipun isu tersebut kini hangat diperkatakan terutama melalui blog-blog persendirian. Menurut beliau, PMRAM mengambil keputusan untuk bertemu sendiri dengan pihak berwajib bagi mendengar sendiri penjelasan berkenaan perkara tersebut. Jelas beliau lagi, pihak PMRAM yang menyampaikan suara kekesalan ahli PMRAM terhadap isu tersebut.

Sementara itu, Encik Zainudin turut mengalu-alukan kedatangan rombongan PMRAM tersebut yang ingin mendapatkan penjelasan berkenaan perkara tersebut. Di akhir pertemuan, Presiden PMRAM, Ustaz Abdul Mu'izz menyerahkan surat menyatakan kekesalan pihak PMRAM bersama BKAN dan DPM atas program berkenaan. Anggota Badan Pengurus lain yang turut serta ialah Timbalan Presiden, Ustaz Shahrizan Mohd Hazime, Naib-naib Presiden, Ustaz Mohd Azrul Ismail, Ustaz Nik Rosdi Nik Jusoh, Ustaz Muhamad Zuhaili Saiman, Setiausaha Agung, Ustaz Mohd Adlan Mokhtarudin dan Timbalannya, Ustaz Muhammad Abdul Malik Abdul Karim.

0 comments:

Sahabat